Wednesday, August 19, 2009

Permusafiran demi Permusafiran

Assalamualaikum wbt kepada semua pembaca. Kali ini tulisan saya berbeda sedikit dengan yang sebelumnya. Saya ingin merakamkan sedikit catatan hidup yang berlaku dalam masa terdekat agar ia terus subur dalam ingatan buat tatapan pada masa akan datang.

Sahabat UITM Arau & Shah Alam + PC Fair
Bulan Ogos ini menyaksikan saya banyak bermusafir dalam menyelesaikan beberapa perkara penting dalam hidup. Bermula 1 Ogos lagi diri ini telah berada di Kuala Lumpur. Berkenalan dengan sahabat-sahabat UITM Arau dan UITM Shah Alam menambahkan kenalan rakan seperjuangan. Sungguh baik layanan mereka tatkala saya bertandang kerumah sewa mereka. Dalam perkenalan itu, saya sempat mengisi masa bersama mereka ke PC Fair yang diadakan di KLCC. Terasa berat ingin meninggalkan mereka atas perasaan indahnya ukhuwwwah yang terbina walau sempat bersama selama dua hari dua malam. Smoga kita berjumpa lagi suatu masa akan datang.

Ziarah Mengeratkan Silaturrahim
Beberapa hari selepas itu, diri terus berkunjung ke Teluk Intan bagi menziarahi guru-guru di Sek Men Hutan Melintang yang mana saya berpraktikum selama empat bulan yang lepas. Kedatangan ke sekolah memang mengejutkan banyak pihak. Bermula dengan guru-guru, para pelajar, makcik dewan makan asrama, kak cleaner, guru pengajian Tajwid dan tidak lupa kepada pak guard asrama. sekunjungan saya disana disambut baik oleh semua mereka. Dalam menjaga hubungan yang terbina walau hanya empat bulan, saya belikan sedikit buah tangan buat mereka semua. Buah tangan yang tidak mahal, tetapi cukup untuk menghiburkan hati mereka dan sebagai tanda bahawa saya selalu mengingati jasa budi mereka.

Konvokesyen UPSI
Selang beberapa hari sebelum hari konvokesyen bermula, para bakal graduan mula sibuk dengan urusan-urusan yang perlu diselesaikan dalam proses penerimaan segulung ijazah nanti. Mengambil jubah, membayar duit gambar, menghadiri rehearsal majlis merupakan antara perkara-perkara yang dilakukan bagi melicinkan perjalanan konvokesyen nanti.

Peristiwa memboikot majlis konsert pada hari perasmian konvokesyen juga menyaksikan satu antara catatan hidup yang tidak mungkin dapat dilupakan. Sahabat sahabiah dengan jiwa cekal menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan penganjuran konsert tersebut berlalu tanpa sebarang suara, memberi isyarat kepada mereka pembesar universiti agar perkara yang sama tidak diulang pada majlis konvokesyen akan datang.

Konvokesyen UKM
Selang dua hari balik ke Terengganu seusai majlis konvokesyen diri sendiri, diri sekali lagi menjadi main driver ke bangi pula. Kali ini bagi menghadiri majlis konvokesyen adik di UKM. Bermusafir dengan family sangat indah kerana boleh dibilang dalam hayat ini berapa lama sangat masa diluangkan bersama keluarga. Semenjak memasuki sekolah menengah berasrama selama lima tahun, menyambung pengajian di Matrikulasi setahun dan meneruskan menuntut ilmu di UPSI selama empat tahun, tak banyak masa yang diluangkan bersama dengan keluarga. Justeru inilah saya merasakan bahawa keluarga sanggup menghabiskan banyak duit untuk menyewa van, mengisi minyaknya, menyewa chalet & hotel dan belanja makan minum yang semestinya kesemua ini memerlukan kewangan yang tidak sedikit nilainya. Demi meraikan kami dua beradik paling bawah dan mengisi masa bersama-sama.


Ramadhan selangkah tiba
Dua hari lagi, bulan yang menjadi kerinduan buat para mukmin akan berkunjung tiba. mohon dipanjangkan umur untuk terus menjejakkan kaki di bulan penuh barakah ini. Persiapan rapi diatur sebaiknya agar ramadhan ini merupakan ramadhan yang terbaik dalam usaha mengislahkan diri mencari keampunan dan keredhaan Allah.

"Allahummabariklana fi Syaaban wa barlighrna Ramadhan"


Musafir dalam kehidupan dunia,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
1.11 am
29 Syaaban 1430H
20 Ogos 2009
Hotel Lanai Bangi, Selangor
20 Ogos 2009

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008