Tuesday, August 31, 2010

Juara Rakyat ATAU Juara Fitnah


Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, kini beredar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyembelih lembu korban untuk umat Islam di internet.

Kesal dengan penyebaran gambar palsu yang menggunakan teknik super impose itu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendakwa ia didalangi oleh penulis upahan Umno yang dikenali sebagai 'PAS Beruk'.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kesal kerana Umno terus memainkan instrumen fitnah bagi memburukan imej PAS-Pakatan Rakyat, walaupun masih berada dalam bulan Ramadan," kata pemangku ketuanya Herman Samsudeen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Herman mendakwa gambar itu memaparkan gambar Lim yang dengan gaya tersbeut dengan tulisan: "Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP?" Katanya, gambar Lim yang ditampal itu pada asalnya merupakan gambar bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Menyifatkan perkara itu sebagai keterlaluan dan sengaja mencetus sentimen agama, Herman berkata beliau kesal kerana budaya fitnah terus membiak dalam Umno walaupun pada bulan suci Islam. "Gambar berkenaan sengaja direka dengan harapan rakyat melihat bahawa kerjasama PAS dan DAP kononnya merosakan Islam," katanya.

Herman juga berkata tindakan terbaru PAS Beruk merupakan rentetan "fantasi Umno" selepas memutarbelitkan fakta berubung kes ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching yang didakwa memberikan 'tazkirah' dalam surau.

"Kini mereka bermain gambar pula, sama seperti gambar (Penyelaras Pakatan) Zaid (Ibrahim) minum arak yang mereka cipta di Hulu Selangor. "Tindakan ini menunjukan Umno semakin kehabisan modal untuk burukkan PAS-Pakatan rakyat," kata Herman lagi.

Saturday, August 21, 2010

Mufti teliti isu khutbah


PULAU PINANG, 21 Ogos: Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Hasan Ahmad sedang meneliti dan menyiasat isu nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng ada pada doa kedua khutbah Jumaat yang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurutnya, memang dibolehkan nama orang bukan Islam jika sekiranya berdoa untuknya mendapat hidayah daripada Allah SWT.

"Jabatan Mufti sedang meneliti dan menyiasat apa yang diperkatakan itu. Semua keterangan akan dimaklumkan kemudian pada media," ujarnya yang tidak mahu mengulas lanjut.

Jelasnya, doa ada dua kategori iaitu doa untuk kesejahteraan atau mendapat hidayah manakala menukar nama Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan Ketua Menteri dianggap tidak lojik.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Rosidi Husein sanggup mengetuai pasukan penyiasat bagi mengenal pasti masjid mana yang dimaksudkan oleh Ahmad Zahid itu.

Katanya, jika didapati ia hanya mainan 'politik kebudak-budakan’, maka tunggulah satu tindakan akan diambil bagi membersihkan nama Ketua Menteri yang tidak tahu menahu namanya dibaca dalam khutbah Jumaat.

"Saya sendiri akan menghantar pasukan menyiasat di mana masjid yang dikatakan berlaku di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh. Jika tiada apa-apa berlaku kita akan lihat langkah seterusnya," tegasnya.

Menurutnya, tidak menjadi kesalahan sekiranya nama Ketua Menteri dibaca dalam khutbah supaya beliau diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT memandangkan banyak melibatkan diri dalam aktiviti Islam.

Pasukan itu, kata beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kepala Batas, akan dibentuk sejurus sahaja mendapat kata putus dalam perbincangan sesama rakan seperjuangan.

Rosidi yang juga Pengerusi Generasi Perwaris Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menyifatkan, tuduhan melulu Zahid itu berpunca dari kemelut dalaman Umno yang kemungkinan sukar berpaut pada masyarakat Melayu pada pilihan raya ke-13 kelak.

"Bila rasa tersepit, apa lagi terciptalah berbagai isu karut," tambahnya.

Tuesday, August 17, 2010

Keajaiban sedekah, terjemahan Quran terbaik dan diabetis yang terabai

Ahmad Lutfi Othman


Ramadan terbukti bulan keberkatan yang melimpah ruah. Dorongan untuk melakukan kebaikan begitu mudah diikuti. Masjid dan surau penuh bercahaya. Iktikaf dilazimi.

Kemanisan beribadah benar-benar dikecapi. Lidah basah dengan zikir. Al-Quran dibaca penuh penghayatan dan ditekuni maknanya. Ramai menempah kitab terjemahan al-Quran sejak Syaaban lagi.

Seorang sahabat dari Johor mengirim SMS: "Akhi, mahu kita berlumba khatam Quran?" Saya tahu dia sekadar mengingatkan suatu amalan mulia.

"Apa azam anta?" tanya saya.

"3 kali (khatam)," balasnya.

Jangan lupa al-Kahfi

Sebelum ini pun, hampir setiap subuh Jumaat, SMSnya tidak pernah absen: "Lutfi, jangan lupa Al-Kahfi."

Ramadan turut memancarkan keunggulan bersedekah. Berlumba-lumba masyarakat menyumbang untuk juadah berbuka, terutama di masjid.

Seorang rakan memberitahu senarai penyumbang berbuka sepanjang Ramadan di masjid dekat rumahnya sudah penuh sejak hari pertama puasa lagi.

Apabila saya minta rakan sekerja bertanyakan sebuah masjid dekat pusat bandaraya yang menjadi tumpuan ramai berbaris panjang mendapat bubur lambuk, katanya, "tiada peluang kita menyumbang sebab sudah ada penaja sepanjang Ramadan".

Maksud hadis Nabi: "Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, maka baginya pahala orang berpuasa."

Dalam pada itu, solat tarawih masjid-masjid di Selangor khabarnya meriah sekali. Fenomena ini nampak terserlah selepas Pakatan Rakyat memerintah. "Macam solat Jumaat, siap kena ada sukarelawan bagi memudahkan parking," tambah rakan tadi.

"Kita berdoa moga dapat istiqamah sampai malam Aidilfitri nanti. Tak sedap juga kalau hanya bersemangat di awal puasa sahaja," ujarnya lagi.

Gandaan pahala sedekah

Sememangnya gandaan pahala sedekah dan menderma di hari-hari biasa - apatah lagi di bulan Ramadan - dipamerkan dalam banyak hadis Rasulullah s.a.w.

Antaranya: "Sesungguhnya Allah Taala menggandakan di kalangan kamu (pahala derma) sebiji kurma atau sesuap makanan, sebagaimana digandakan di kalangan kamu ternakan anak kuda atau anak unta, sehingga derma itu menjadi sebesar gunung Uhud." Dan dalam hadis riwayat Ahmad, maksudnya: "Tidak akan berkurangan duit orang yang bersedekah."

Di sini saya nukilkan kembali kisah tentang keajaiban sedekah, yang dipetik dari buku Ajaibnya Sedekah: Semakin Bersedekah Semakin Kaya, terbitan PTS. Moga-moga kita beroleh manfaat bersama.

Kisah teladan cukup bermanfaat

Sebaik pulang dari rumah Nabi, Ali bin Abu Talib menemui isteri tercintanya, Fatimah az-Zahra dan bertanya: "Wahai wanita mulia, adakah kamu mempunyai manakan untuk suamimu?"

Fatimah menjawab: "Demi Allah, saya tidak mempunyai makana sedikit pun. Tetapi ini ada enam dirham yang saya terima daripada Salman sebagai upah memintal. Saya mahu belikan makanan untuk Hassan dan Husain." Ali berkata: "Biar saya sahaja yang pergi membeli makanan."

Fatimah segera menyerahkan enam dirham itu kepada suaminya. Ali keluar lagi bagi membeli makanan. Di tengah jalan, Ali bertemu seorang lelaki yang berkata: "Siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan selalu menepati janji?"

Tanpa berfikir panjang, Ali menyerahkan semua wangnya sebanyak enam dirham. Lalu dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah, yang melihat suaminya pulang tanpa membawa makanan, menangis. Ali pun bertanya: "Wahai Fatimah mengapa kamu menangis?"

"Wahai suamiku, kamu pulang tanpa membawa apa-apa," kata Fatimah. Ali menjawab: "Aku meminjamkan wang itu kepada Allah."

Fatimah berkata: "Sekiranya begitu, saya menyokong tindakanmu." Ali kemudian keluar rumah lagi dan berniat hendak menemui Nabi s.a.w. Di tengah jalan seorang Arab Badwi yang sedang menuntun seekor unta menghampirinya, dan berkata: "Wahai Aba-al Hassan, belilah unta ini."

Ali berkata: "Saya tidak mempunyai wang." "Kamu boleh membayarnya pada bila-bila masa," kata Badwi itu. "Berapa harganya?" tanya Ali. "Tidak mahal, 100 dirham sahaja."

"Baiklah, saya beli," kata Ali yang kemudian meneruskan perjalanannya menuntun unta. Baru beberapa langkah Ali berjalan, seorang Badwi lain menghampirinya dan bertanya: "Hai Abu Hassan, adakah kamu hendak menjual unta ini?" "Ya," jawab Ali.

"Berapa?" Tanya Badwi itu. "300 dirham," jawab Ali.

"Baiklah saya beli," kata Badwi itu dan terus memberikan wang RM300 dirham kepada Ali.

Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Setibanya di rumah, Fatimah bertanya: "Apa yang kamu bawa itu wahai Abu Hassan?" "Wahai Fatimah, saya membeli seekor unta dengan harga 10 dirham, kemudian saya menjualnya dengan harga RM300 dirham," jawab Ali.

Seterusnya Ali pergi menemui Nabi s.a.w. di masjid. Melihat Ali sampai di masjid, Nabi tersenyum dan berkata: "Wahai Abu Hassan, adakah kamu mahu bercerita ataupun biarkan saya sahaja yang bercerita?"

"Kamu sahaja yang bercerita, wahai Rasulullah," kata Ali. "Hai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?" Ali menggeleng: "Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu."

Nabi menjelaskan: "Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham. Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail."


II. TERJEMAHAN AL-QURAN TERBAIK DAN PENJAGAAN KESIHATAN

Terjemahan al-Quran yang dekat di hati saya sehingga kini masih Pimpinan Ar-Rahman, terbitan Darul Fikir yang diusahakan oleh Jakim. Versi jawinya, memang tebal, lebih 1,500 halaman, tetapi cukup memikat dan mengesankan sekali.

Saya rasa ia mungkin terjemahan terbaik dalam bahasa Melayu. Kitab besar ini diusahakan (diterjemah serta diberi penjelasan) oleh Sheikh Abdullah bin Muhammad Basmeih, yang dimulakan oleh Ustaz Faisal Othman, dan disemak dan disahkan oleh Dato' Muhammad Npor Ibrahim, bekas Mufti Kerajaan Negeri Kelantan. Cetakan pertamanya pada tahun 1968.

(Saya kira alangkah elok jika pihak penerbit dapat mengemaskinikan bentuk kitab ini, terutama dalam edisi rumi, yang lebih mesra pembaca. Untuk edisi jawi, rasanya sudah cantik. Kitab ini sepatutnya dimiliki oleh setiap rumah Muslim).

Bagaimanapun, untuk menghadiahkan kepada rakan-rakan sempena Ramadan saya berhasrat mencari yang lebih nipis dan ringan. Anak saya menunjukkan kitab terjemahan yang nampak menarik, terbitan Al-Hidayah House of Quran.

Penerbit berjaya

Pejabat penerbitnya dekat Batu Caves, berhampiran PTS juga. Saya pernah berurusan dengan pemiliknya, Kamaluddin Ibrahim, lama dahulu semasa saya aktif menerbitkan buku-buku politik dari rumah di Selayang Baru. Melihat senarai buku-buku best seller syarikatnya, ternyata beliau kini seorang penerbit yang cukup berjaya.

Lama tidak berjumpa dengannya. Namun dalam pertemuan Rabu lalu, kami lebih banyak bercerita soal kesihatan. Tentu sahaja hal pembedahan pintasan jantung saya dan perkembangan pemulihannya.

Kelihatan Kamal begitu berminat. Rupanya beliau mengikuti perkembangan saya melalui Harakah. Dia mencadangkan agar Harakah memperuntukan kolum khusus untuk kesihatan. Katanya, orang Melayu khususnya harus didedahkan dengan ilmu berkaitan penjagaan kesihatan, terutama sekali mengenai pemakanan yang sihat.

Saya segera teringat nasihat seorang ibu tua dari Surabaya, Indonesia, semasa menemani anak sulungnya menjalani rawatan angioplasti di sebuah pusat perubatan dekat KLCC.

Ketika itu saya terbaring di katil, juga menunggu giliran masuk ke bilik bedah.

"Yang penting kena jaga ini," kata ibu peramah itu kepada isteri saya, sambil melekapkan jarinya ke mulut.

Jahatnya mulut

"Jahat ini ... jahatnya mulut, di sinilah bermulanya bermacam-macam penyakit," tambahnya. Berdasarkan bual bicaranya, jelas dia mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap penjagaan kesihatan. "Selain jaga mulut, exercise juga penting, malah amat penting," pesannya lagi.

Sepanjang menunggu - dilihat daripada riak dan geraknya di hadapan katil saya, beliau pasti gementar dan cemas - ibu tadi tidak henti-henti berdoa, menurut amalan agamanya, rasanya Kristian, dalam bahasa Melayu yang fasih. Anak lelakinya tersumbat hampir 100 peratus pada empat saluran darah ke jantung.

Sebaik anaknya disorong keluar, saya pula masuk, dan 30 minit kemudian, saya dimaklumkan bahawa operasi angioplasti ketiga saya itu gagal dan perlu "by-pass".

Semasa mengucapkan selamat tinggal kerana dia dan keluarganya harus bergegas balik ke Surabaya, ibu yang sudah kembali berwajah ceria itu berkata sambil tersenyum: "Moga ketemu lagi ... tapi jangan di sini, ya."

Saya bersetuju apabila Kamal menyatakan budaya pemakanan orang Melayu perlu diperbetulkan. Katanya, lihat saja berapa ramai anak Melayu kini yang mengalami obesiti. "Ramai orang kita bukan saja gemuk, malah terlalu gemuk. Dan ia sudah satu keadaan yang biasa kita tengok di mana-mana."

"Apa tidaknya, pagi nasi lemak dengan ayam, tengahari nasi dengan ayam, malam nasi goreng dengan ayam. Di restoran pula order teh tarik gelas besar, dan kedai-kedai makan berlumba-lumba menawarkan jus gelas paling besar," tambahnya.

Kolum kesihatan dalam Harakah

Bukan Kamal seorang, ramai kawan-kawan lain juga, selain pembaca dari merata tempat, memberi cadangan agar Harakah memperkenalkan kolum khas tentang kesihatan. Media lain sudah ke hadapan, malah ada akhbar yang dicari kerana ruangan kesihatannya yang menarik dan begitu bermanfaat untuk panduan seharian.

"Maaf cakap, saya perhatikan ramai juga aktivis PAS, termasuk yang muda-muda nampak terlebih berat," telefon seorang yang menggelarkan dirinya Makcik Kedah, dari Gombak.

"Bersenam dan jagalah makan sikit, bukankah perjuangan kita masih panjang," tambahnya. Saya sekadar dapat mengiyakan, sambil dalam diam berazam untuk membuang segala tabiat buruk terutama berkaitan dengan pemakanan.

Kita terpaksa akur bahawa gejala penyakit kronik seperti diabetis, darah tinggi, kanser, kadar kolestrol yang tinggi dan serangan jantung tidak lagi mengenal usia dan profil pesakit. Kalau dahulu sebahagian penyakit itu dikatakan hanya menyerang "orang kaya" dan berumur 40 tahun ke atas, tetapi tidak lagi sekarang. Data pada tahun 2007 menunjukkan lebih 3 juta rakyat Malaysia mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.

Jangan ambil mudah diabetis

Strok boleh melumpuhkan anak-anak muda di bawah 30 tahun. Diabetis pula semakin "kejam" apabila anak-anak yang belum bersekolah pun tidak lagi selamat. Lima tahun lalu, dianggarkan 8 peratus penduduk Malaysia menghidap kencing manis dan tinjauan di hospital-hospital seluruh negara mendapati hanya 10.5 peratus pesakit diabetik berada dalam keadaan "under control". Seorang daripada 3 pesakit tidak menerima rawatan yang sepatutnya.

Sepanjang 20 tahun menghidap diabetik, selalunya semasa berjumpa doktor, saya selalunya akan ditanya soalan wajib, "jaga tak makan?"

Tersipu-sipu saya membalas perlahan, "jaga sikit-sikit."

Mendengar alasan itu, doktor cepat membidas, "tak ada jaga sikit-sikit, itu tandanya awak tak jaga makan."

Mengenali rakan-rakan yang turut menderita penyakit sama, saya perhatikan majoriti daripadanya bukan "pantang makan" tetapi "pantang tengok!"

Ramai lagi yang langsung tidak mengetahui kaedah merawat diabetis. Meskipun kesannya cukup buruk, seperti kerosakan serius pada saraf, buta mata, dipotong kaki, kegagalan buah pinggang, tersumbat arteri, mereka - termasuk saya - mengambil mudah sehinggalah petaka benar-benar terjadi!

NOTA: Sumbangan untuk golongan yang memerlukan di bulan Ramadan ini boleh disalurkan kepada akaun Maybank 564025400533 (atas nama Parti Islam Semalaysia), yang diselenggarakan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat dan Bilik Berita Harakah.

Monday, August 16, 2010

Ramadhan: Memenuhi Fitrah Manusia


Oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz


" Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." - Surah al-Baqarah, ayat 183.

Memahami tujuan hidup

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapi di antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa sebarang masalah akan dirujuk kepada pawang atau bomoh.

Selalu juga berlaku, sebahagian atau segelintir orang mengambil langkah penyelesaian kepada pelbagai masalah itu dengan cara mengadu kepada kuasa lain selain Allah SWT. Cara itu adalah khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua itu menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara fitrahnya, manusia perlu kepada Tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapa yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya Tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui Tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan jasad manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Dengan kata lain, manusia diseru agar mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Pengabdian kepada Allah SWT merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Pencipta.



Al-Quran panduan hidup

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut tujuan tanah, air, api, dan udara atau sebagainya adalah berguna kepada manusia. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, siapakah yang dapat menjelaskan tujuan hidup jika tidak Allah SWT sendiri?

Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengetahuan tentangnya.

Demikianlah tujuan hidup manusia. Mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia, iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah (para rasul) yang ditugaskan untuk memandu manusia, bagaimana hidup ini perlu diselaraskan menurut kehendak Allah SWT.

Justeru jurupandu kepada umat ini ialah para ambiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berpandukan al-Quran.

Sehubungan itu, bersempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini (1431H), maka seluruh kehidupan ini hendaklah mengambil pengajaran darinya. Antaranya mengambil ingatan sebaiknya kerana bulan Ramadhan merupakan bulan penurunan al-Qur an. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas sepertimana firman Allah SWT:

" Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)." - Surah al-Baqarah, ayat 185.



Puasa memenuhi fitrah manusia

Justeru, antara keberkatan utama bulan Ramadhan adalah difardhukan ibadat puasa sepertimana difardhukan ke atas umat terdahulu. Namun, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain juga merupakan keperluan bagi fitrah manusia. Jika sekalipun agama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas dirinya untuk berpuasa kerana banyak manfaat daripadanya, termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, maka lebih perlulah puasa ditunaikan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan.

Salah satu manfaat besar puasa ialah dapat membukti sejauh mana tanda taat dan tunduknya manusia kepada tuhannya. Manusia selaku hamba Allah, sanggup bersusah payah (dengan berpuasa), demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk menjaga anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita mengutamakan ibadat sepanjang Ramadhan ini, sanggup kita bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Dari sinilah, hati kita perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati yang memenuhi tuntutan takwa kepada Allah SWT.

Ingatlah, hilangnya keyakinan terhadap Allah, maka akan hilanglah roh dari ibadat puasa tersebut. Hilangnya roh ibadat puasa itu, maka akan menghilangkan pula ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :


"Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat
apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam." - Riwayat Ibnu Majah.


Semoga kita semua dapat memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT di sepanjang Ramadhan. Malah, semua ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita, bukan hanya ketika bulan Ramadhan. Harapan kita, agar bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan al-Quran sebagai usaha kita memenuhi apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. InsyaAllah, Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas

Tuesday, August 10, 2010

Persediaan Menghadapi Ramadhan

الَلهمَ بلَغنا رمضان

“Ya Allah Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.

Persediaan

Cara

Iman

Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).

Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.

Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).

Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu

Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.

Membaca buku-buku penyucian jiwa.

Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Dakwah

Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.

Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.

Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.

Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.

Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan.

Keluarga

Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.

Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.

Keazaman

Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.

Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.

Sentiasa berlapang dada.

Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad

Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.

Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).

Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

Menahan syahwat dari perkara yang haram.

Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

Sunday, August 8, 2010

Pelajar asing mangsa serangan di Australia

Pihak berkuasa Australia berharap satu kempen secara digital, yang dijalankannya untuk melindungi pelajar antarabangsa
daripada menjadi mangsa serangan, akan membuahkan hasil, lapor agensi berita Australian Associated Press (AAP).

Kempen berkenaan, yang bertemakan "Think Before - A Student Safety Initiative", akan menyebarkan mesej melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), YouTube, lamanweb dan tapak rangkaian sosial kepada pelajar dalam 13 bahasa sebelum dan setelah mereka tiba di Australia.

APP melaporkan bahawa kempen berbentuk animasi itu memaparkan watak seorang pelajar bernama George memperkatakan tentang isu keselamatan melibatkan golongan berkenaan.

Langkah ini diambil berikutan beberapa kes serangan terhadap pelajar asing sejak tahun lepas, terutama mereka yang berasal dari India.

Sebanyak 650,000 pelajar dari lebih 100 negara dianggarkan sedang melanjutkan pelajaran di Australia.

Polis dilaporkan bimbang tentang keselamatan sesetengah pelajar yang terdedah kepada bahaya kerana terpaksa pulang ke rumah berseorangan setelah bekerja atau menelaah pelajaran hingga lewat malam.

Inspektor Ian Geddes dari Polis Victoria berkata pelajar seberang laut lebih cenderung memberi respons terhadap maklumat yang dihantar melalui lamanweb, telefon bimbit dan media sosial berbanding saluran komuniksi tradisional.

Katanya para pelajar perlu menyedari bahawa kebanyakan jenayah dilakukan kerana terdapat peluang untuk melakukannya dan kelemahan mereka sendiri.

"Mereka terdedah kepada bahaya bukan kerana siapa diri mereka, tetapi kerana di mana mereka berada dan keadaan yang mengelilingi mereka," katanya seperti yang dipetik AAP.

Penganjur kempen Larry Anderson berkata: "Kempen ini bertujuan untuk menyatakan bahawa: Jangan bimbang, kami berusaha sedaya upaya untuk memastikan anda selamat, tapi anda sendiri perlu memastikan anda tidak meletakkan diri anda dalam keadaan yang boleh mengundang bahaya."

Pelancaran tidak rasmi kempen itu dua minggu lepas menarik lebih 2,000 pengunjung melayari lamanweb www.thinkbefore.com.

- Bernama

Wednesday, August 4, 2010

Cadangan benarkan pelajar kahwin dibidas

Keputusan kerajaan negeri Melaka bagi 'menggalakkan' ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka berkahwin walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah dibidas NGO wanita dan juga ahli politik.

B

agi tujuan berkenaan, semalam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersetuju memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan.

"Ini mengarut. Kita kembali ke zaman silam, apabila bukti yang mencukupi menunjukkan kita menolak perkahwinan kanak-kanak,” kata Ivy Josiah, dari Pertubuhan Bantuan Wanita kepada Reuters.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, prosedur permohonan bernikah bagi pelajar terbabit masih dikekalkan iaitu perlu dibuat melalui Mahkamah Syariah tetapi kelonggaran diberi untuk memudahkan mereka bernikah jika mendapat persetujuan ibu bapa masing-masing.

"B
agi kerajaan negeri, ini adalah langkah terbaik menangani gejala buang bayi dan kes hamil serta melahirkan anak luar nikah. Adalah lebih baik ibu bapa memberi kebenaran kepada anak mereka yang hendak sangat berkahwin daripada mereka melakukan zina,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Melaka sebelum ini mengumumkan penubuhan sekolah khas bagi pelajar mengandung di Jasin yang akan dibiayai oleh kerajaan negeri.

"Dasar seperti ini tidak sepatutnya dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri tetapi seharusnya terletak di tangan menteri persekutuan yang bertanggungjawan terhadap hal ehwal wanita, pendidikan dan kesihatan,” kata Josiah.

Bag
i Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perkahwinan bawah umur adalah “secara moral dan sosial tidak dapat diterima”.

Menurut perangkaan, jumlah wanita hamil luar nikah di Malaysia meningkat kepada 111 bagi empat bulan pertama tahun ini berbanding 107 pada tahun 2008.Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkatakKebenaran berkahwin untuk pelajar di bawah umur bukan untuk semua tetapi ditentukan mengikut kesesuaian kes.

Kat
anya, mahkamah syariah berhak meneliti setiap permohonan berkahwin awal yang diterimanya dan memutuskan sama ada keizinan layak diberi atau tidak.

"Dalam Enakmen Majlis Agama Islam dan peruntukan agama Islam hanya lelaki 18 tahun dan perempuan 16 tahun ke atas dibenarkan kahwin tetapi ada kekecualian yang dibenarkan oleh mahkamah syariah untuk mereka yang di bawah umur.

"Tindakan Majlis Agama Islam Melaka itu ada peruntukan undang-undang jadi undang-undang akan tapis mengikut kes," katanya kepada pemberita, di Putrajaya.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata tindakan itu tidak akan dapat mengatasi masalah tersebut secara keseluruhan tetapi hanya membantu bagi kes-kes tertentu.

Sunday, August 1, 2010

Upacara anti-ISA dihalang polis, 36 ditangkap

Polis telah bertindak menyurai serta menghalang para aktivis daripada mengadakan upacara memasang lilin di lapan tempat di seluruh negara bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini berusia 50 tahun.

Me

nurut laporan yang diperolehi, beberapa anggota polis diletakkan di beberapa tempat bagi menghalang upacara memasang lilin itu diadakan.

Di Dataran MBPJ, Padang Timur di Petaling Jaya - di mana upacara memasang lilin bermulajam 8 malam - anggota polis bertindak menyuraikan kira-kira 300 yang hadir sambil menyanyikan lagu Negaraku.

Anggota polis kelihatan mengejar beberapa peserta upacara tersebut dari kawasan Dataran, di tengah-tengah laungan "Hidup, hidup! Hidup rakyat!” manakala anggota polis yang lain, membentuk barisan bagi menghalang orang ramai masuk ke kawasan dataran tersebut

Ser

amai 30 aktivis termasuk lapan wanita ditahan polis kerana menyertai satu perhimpunan haram anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Perhimpunan ini yang dipanggil upacara nyalaan lilin diadakan sebagai simbolik bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disertai kira-kira
100 orang.

Antara yang ditahan dalam perhimpunan secara aman ini adalah Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Majlis Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin, setiausaha GMI Nalini Elomalai dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.

Mereka yang lain ditahan dikenali sebagai Suresh Kumar, 34, Mohd Fiqtriey, 25, Naqiuddin Sahar, 23, Albert Ang Yik Chuan, 24, Yew Hun Ng, 24, Y Kohita, K Bawani, E Parames, MSivaranjani dan Lee Wei Ni.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed memberitahu pemberita bahawa polis terpaksa bertindak menahan individu terbabit selepas mereka enggan mematuhi arahan supaya bersurai selepas perhimpunan bermula seawal jam 7 malam.

Beliau berkata pada mulanya semua aktivis berkumpul di tempat letak kereta pusat membeli belah terbabit sebelum berarak beramai-ramai menuju ke Dataran Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya, mereka kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk disoal siasat.

Di Ipoh, anggota polis bertindak menutup Dataran Majlis Bandaraya Ipoh dan melarang orang ramai memasuki kawasan tersebut.

Di Pulau Pinang pula, anggota polis sebelum ini telah menampak notis - yang ditandatangani oleh OCPD George Town, Penolong Pesuruhjaya Gan Kong Meng - di sekitar Sudut Pidato di Georgetown, melarang sebarang perhimpunan haram diadakan di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya lima orang terus ditangkap temasuk pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh, setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin.

Selain Ibrahim, Arutchelvan dan Badrul Hisham, turut ditahan dan dibawa ke balai polis Petaling Jaya termasuklah Suresh Kumar, Mohd Fiqtriey, Naqiuddin Sahar, Albert Ang Yik Chuan, Yew Hun Ng, Ng Yap Hwa, Tsuing Han See, Enalini Elumalai, Mien Lor, Thilaga Sokiapillay, Kohila Y, Bawani K, Parames E, Sivaranjani, Lee Wei Ni, E Sarawanen, Xavier Sim Yoon Han dan Aiman Siew Teck Meng.

Siti Kasim (kanan) dari Majlis Peguam berkata ini adalah kali pertama beliau melihat polis bertindak ganas, sehingga bertindak menangkap orang ramai walaupun mereka masuk ke sebuah pusat membelibelah Amcorp berhampiran.

Pengarah Suaram, Kua Kia Soong turut mengecam kekerasan polis dalam kejadian tersebut.

Pada sekitar jam 9:15 malam, polis menghentikan tindakan menyurai dan menangkap.

Dalam sidang akhbar sejurus selepas itu, ketua polis Petaling Jaya Arjunaidi Mohamed berkata pihak penganjur tidak mendapat permit polis dalam mengadakan perhimpunan malam ini.

"Tidak ada permit polis yang dipohon," katanya.

Beliau juga berkata pihak penganjur mendakwa telah mendapat permit daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tetapi MBPJ bukan pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan permit tersebut," katanya sambil menambah MBPJ seharusnya tahu perkara itu.

Beliau juga mempertahankan tindakan polis kerana peserta perhimpunan itu enggan mematuhi arahan polis supaya bersurai.

"Kita telah meminta mereka bersurai, tetapi mereka enggan dan masuk ke dalam Amcorp Mall," katanya.

Arjunaidi berkata apabila keluar, mereka mengkritik dan mencabar polis yang kemudiannya menangkap mereka.

Menuutnya, seramai 25 orang dewsa - enam wanita dan 19 lelaki - ditahan kerana menyertai perhimpunan haram.

Katanya, walaupun terdapat kanak-kanak dalam perhimpunan tersebut, tetapi tidak ada yang ditahan.

Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kemudiannya berkata polis menangkap 30 orang di Petaling Jaya - 22 lelaki dan lapan wanita.

Di Pulau Pinang, empat orang ditangkap termasuk Choo Choon Kai dan Kris Khaira dari PSM.

Seorang lagi - Darshan Singh - ditangkap kemudiannya. Manakala yang keempat ditangkap ialah Ong Jing Cheng dari Suaram.

Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan sejurus selepas tengah malam selepas polis mengambil kenyataan mereka.

Lau Shu Shi dari Suaram juga ditahan selepas diserahkan waran tangkap, tetapi ia dikatakan berkaitan kes lain sebelum ini.

Di Kelantan, polis menangkap penyelaras upacara memasang lilin - Zaidi Musa dan Hamidi Musa - ditahan selepas ianya selesai diadakan.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Suaram mengecam tindakan polis yang menurutnya terus menerus menyerang kebebasan bersuara, hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Deklarasi Hak Manusia Sejagat.

Template by - Abdul Munir - 2008