Wednesday, September 29, 2010

Kekosongan kerusi Galas dimaklum kepada SPR

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengesahkan sudah menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Galas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Katanya surat pemakluman itu dihantar pada 12.45 tengah hari semalam sejurus selepas pihaknya menerima surat pengesahan kematian penyandang kerusi itu, Chek Hashim Sulaima.

"Kita telah terima sijil kematian pagi semalam dan sudah menghantar surat makluman kekosongan kerusi selepas itu kepada pihak SPR, melalui pos dan faks," katanya di Rantau Panjang hari ini.

Chek Hashim, 46, meninggal dunia di Hospital Al-Islam Kampung Baru di Kuala Lumpur pada Ahad lalu akibat barah usus.
Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memenangi kerusi DUN Galas setelah menewaskan calon Barisan Nasional Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi apabila beliau memperoleh 4,399 undi manakala Mohamad Saufi mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

- Bernama

Monday, September 20, 2010

Gelaran Sultan Muhammad ke V mula digunapakai

KOTA BHARU, 20 Sept: Penggunaan gelaran Sultan Muhammad V mula digunapakai dalam upacara rasmi kerajaan hari ini apabila Timbalan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan istilah tersebut dalam perhimpunan bulanan kakitangan Kota Darulnaim pagi ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata dengan pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru bergelar Sultan Muhammad V dalam suasana merayakan Aidilfitri baru-baru ini akan menambahkan lagi kekuatan rakyat dan negeri Kelantan dalam mewujudkan persekitaran Islam yang telah dibina sejak 20 tahun lalu.

“Sepanjang Ramadan yang baru saja berlalu, masyarakat Kelantan dapat merasai dengan jelas persekitaran baru yang ada di negeri ini yang begitu jauh berbeza dengan apa yang ada sebelum ditadbir dengan pendekatan Islam,” kata beliau di hadapan lebih seribu kakitangan awam.

Masjid-masjid menurut beliau dipimpin oleh imam-imam yang menghafal 30 juzuk al-Quran dan mendapat latihan kepimpinan Islam yang berkualiti.

“Bandar kita bergema dengan laungan zikir dan suasana ibadah yang mampu manjauhkan segala bentuk keburukan dan maksiat yang dimurkai,” ujar beliau.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa penjawat awam Kelantan akan muncul sebagai pasukan terbaik dengan kualiti tinggi selepas sebulan menyertai tarbiyah Ramadan.

“Pelbagai program Ramadan seperti Qiamullail, tadarus Quran, solat sunat Tarawih dan pelbagai lagi sudah pasti akan mengangkat darjat kita semua menjadi mereka yang siap sedia memikul beban berkhidmat untuk rakyat sebagai hamba Allah yang terbaik (ahsanu amala),” jelas beliau lagi.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias yang menjelaskan kronologi pemasyhuran Sultan baru-baru ini berharap setiap anggota kakitangan memahami dengan baik isu ini agar dapat menjadi jurucakap kerajaan jika terdapat suara-suara sumbang yang cuba mengelirukan perkara sebenar.

“Kita sedar ada pihak yang cuba menggunakan akhbar untuk menimbulkan keraguan berkaitan pemasyhuran baginda Sultan, dan menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penjelasan supaya semua pihak mendapat gambaran yang sebenar,” kata beliau.

Beliau kemudian menjelaskan dengan terperinci kaedah perlantikan Sultan yang baru berdasarkan pindaan kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri yang telah diwartakan pada 20 Julai yang lalu.

“Kita turut sukacita kerana Duli Yang Maha Mulia Sultan yang baru berkenan untuk meminda beberapa kebiasaan supaya lebih bertepatan dengan kehendak Islam,” ujar beliau.

Antara lain, Aiseri mengumumkan penggantian penggunaan Daulat Tuanku dengan Allahu Akbar dan penggunaan gelaran Sultan Muhammad ke V bagi diri baginda.

Wednesday, September 1, 2010

Kes 'bini puaka': Mahkamah putuskan 24 Sept

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan memutuskan pada 24 September ini sama ada wujud kes terhadap lima mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang menghadapi dakwaan cubaan khianat dengan api dan menceroboh sebuah dewan kuliah di universiti itu.

Hakim Rozana Ali Yusoff berkata, beliau akan meneliti hujah pihak peguambela dan pendakwaraya serta bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah.

Seramai 19 saksi pendakwa telah memberi keterangan. Saksi terakhir memberi keterangan di mahkamah pagi ini ialah Detektif Koperal Mohd Yaakob Ramli.

Beliau merupakan pegawai siasatan jenayah di ibu pejabat polis Daerah Brickfields yang membuat tangkapan terhadap Mohd Saufi Jelani pada 19 November tahun lalu.

Sebelum itu, mahkamah diberitahu wujudkan keraguan sama ada jenayah itu dilakukan oleh tertuduh, sedangkan ia tidak dilihat pengawal keselamatan yang menjadi saksi pendakwaraya

"Yang cuma dibawa (keterangan bahawa) oleh kerana tertuduh 1 (Mohd Izzuddin Helmi Mohd Zaini ) berada di situ pada jam 2 hingga 4 pagi pada 24 Jun dan berada di situ (kerana) menunggang motosikal, OKT telah dituduh melakukan khianat," kata peguam Mohd Arfizi Ramli yang mewakili Mohd Izzuddin Helmi.

Dalam hujahnya pagi tadi, Mohd Arfizi berkata Mohd Izzuddin berada dalam keadaan resah sewaktu ditahan oleh pengawal keselamatan merupakan satu "reaksi biasa".

"(Ini kerana) beliau ditahan dan ditanya kenapa digelapkan (nombor pendaftaran motosikal). Sudah tentu OKT berada resah.

"Di dewan, OKT kata, (dia) sanggup padam tulisan. Ketika disoal balas oleh pihak pembelaan, tiada keterangan yang jelas bahawa beliau melakukannya," hujah Mohd Arfizi lagi.

"Beliau dikelilingi lima pengawal keselamatan UM dan meletakkan kesalahan kepada OKT, sudah tentu beliau merayu dan tolong untuk memadam tulisan itu," tambahnya.

Kelima-lima mahasiswa UM itu - Mohd Izzuddin, Shazni Munir Mohd Ithnin, Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli, Muhammad Aizat Roslan dan
Muhammad Saufi Jelani - dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri perdana menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan Akademi Pengajian Islam UM pada 24 Jun tahun lalu.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Sementara itu, peguam Mohd Razlan Jalaluddin mewakil Shazni Munir, dalam hujahnya berkata, saksi pertama pendakwaraya iaitu seorang ahli kimia, dalam keterangannya sebelum ini mendakwa "tidak ada kesan bahan hidrokarbon mudah terbakar" pada barang kes.

"Kajian secara jelas tidak ada kehadiran hidrokarbon mudah terbakar," katanya sambil mendakwa kehadiran bahan yang meruap atau meresap adalah "satu anggapan".

Manakala peguam Zulhasmi Shariff yang mewakili Muhammad Aizat dan Muhammad Saufi pula, dalam hujahnya, bersetuju dengan Mohd Razlan bahawa tidak ditemui bahan untuk mencetuskan api pada permaidani.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Aidatul Azura Zainal Abidin pula menyampaikan hujahnya apabila perbicaraan bersambung petang ini.

Katanya, bau petrol yang dihidu itu, berdasarkan keterangan beberapa saksi pendakwaraya dalam prosiding tersebut.

"Dalam kes ini, bau petrol yang dihidu adalah satu fakta yang tidak perlu dijelaskan kewujudannya.

"Sebilangan saksi pendakwaan adalah pengguna (petrol) dan (dalam) keadaan biasa, pada setiap hari, (mereka) menggunakan petrol dan mengenalpasti bau petrol yang melekat pada fikiran mereka," katanya.

Menurutnya lagi, walaupun keputusan ujian kimia menemui keputusan negatif terhadap calitan petrol yang diambil, beliau memohon "budi bicara dan ketelitian mahkamah untuk menentukannya".

Template by - Abdul Munir - 2008