Monday, September 14, 2009

Rahsiakan Pertunangan, War-warkan Perkahwinan

"Tg, jemput ke majlis kesyukuran rumah kak Aisyah yer sempena kepulangan abang dan kakak akak yang pulang dari Mesir pada akhir bulan depan. Tarikh sebenarnya nanti akak bagitahu kembali" jemput seorang kakak seniorku.

"InsyaAllah akak, jika tak ada masyaqqah apa-apa saya akan cuba datang" jawabku bagi menyenangkan hatinya yang berharap.

Selang sebulan kemudian...

"Pa, ada surat untuk kamu ni" kakakku memaklumkan kepadaku.

"Wah, tak sangka dapat juga kad raya tahun ni!. Ni mesti anak murid masa praktikal dulu yang bagi" ujarku dengan perasaan gembira melihat kad yang sedang ku buka itu.

"Ha!, La kad kak Aisyah rupanya" aku tersentak melihat kad yang ku sangkakan kad raya tersebut merupakan kad jemputan perkahwinan.

Tanpa berlengah panjang, terus ku capai telefon bimbitku Nokia 3200, mencari nama 'Kak Aisyah' dalam senarai contact lalu ku tekan butang call.

"Pandai betul kak aisyah ni, kata majlis kesyukuran sempena abang dan kakak nak pulang. alih-alih majlis akak rupanya" ujarku kepada kak Aisyah tatkala merasakan diri bagaikan tertipu dengan jemputannya yang terdahulu.

"Betullah majlis kesyukurankan dan memang abang dan kakak akak dari Mesir pulang InsyaAllah. Tg jangan marah yer. Bukan ke kita diminta untuk rahsiakan pertunangan dan war-warkan perkahwinan?" jawab kak Aisyah penuh hikmah.

"Erm..memang betul tu kak. Rasulullah pesan macam tu. Tahniah yer kak.." Aku mengiyakan sambil hati memuji keberjayaan kak Aisyah mengikuti pesanan Insan Kamil, contoh terbaik buat semua umat.

Pertunangan zaman sekarang yang sudah dipakejkan

Rahsiakan Pertunangan, War-warkan Perkahwinan

Kekadang diri kehairanan melihat umat akhir zaman meninggalkan pesanan Rasulullah s.a.w dalam bab merahsiakan pertunangan ini. Zaman sekarang pertunangan sahaja sudah dihebahkan seakan majlis perkahwinan. Meriah dan publisitinya usah dikata. Media dan akhbar menjadi penyiar berita yang menglebarkan lagi perkhabaran peristiwa tersebut. Belanjanya juga tidak kurang hebatnya, semua orang yang dikenalinya dijemput hadir menyaksikan dan menjamukan hidangan yang disediakan.

Ada juga yang menggunakan networking dalam internet seperti friendster dan facebook sebagai medium penyebaran hari bersejarah dalam hidup mereka ini. Diletakkan gambar pertunangan merata-riti buat tontonan umum tanpa perasaan gundah bahawa ikatan itu bukanlah suatu yang pasti terjadi.

Cincin disarung kejari menjadi lambang bahawa dirinya telah pun dipinangi orang.

Cincin lambang pertunangan

Islam Itu Indah

Islam amat menitik beratkan maruah peribadi seseorang . Dalam maqasid syariah, maruah, keturunan atau zuriat berada pada tangga keempat selepas Agama, Nyawa dan Akal. Selepas maruah, disusuri pula dengan harta.

Islam menyuruh kita merahsiakan pertunangan kerana pertunangan itu bukanlah suatu ikatan mutlak dan kekal sebagaimana perkahwinan. Ia merupakan perjanjian awal kepada suatu ikatan yang menghalalkan hubungan. Justeru, dalam pertunangan adab-adab sebagai orang asing tetaplah harus dijaga. Walau bagaimanapun, disana ada sedikit kelonggaran berhubung dalam beberapa hal seperti berurusan membincangkan majlis perkahwinan akan datang dan sebagainya.

Oleh kerana ikatan pertunangan itu bukan merupakan suatu yang pasti, justeru Islam memelihara maruah pasangan-pasangan ini agar ia tidak menjadi buah mulut orang tatkala ikatan yang cuba dibina itu terputus ditengah jalan. Lebih-lebih lagi maruah si anak dara, teramat perlu dijaga kerana ia bakal disunting oleh si kumbang yang lain pula. Bayangkan jika berita terputus pertunangan ini tersebar ke merata tempat. Bagaimana perasaan dan kecurigaan yang bakal timbul kepada si kumbang baru yang ingin melamar si bunga yang telah disebut ramai akan peristiwa luka yang kadangnya bukan merupakan kesilapannya.

Sungguh indah Islam ini, menjaga dan memelihara pelbagai aspek dalam kehidupan. Hatta suatu yang akan datang, telah diambil langkah berjaga-jaga diperingkat awal lagi.



Justeru, saya menasihatkan kepada diri saya sendiri dan kepada mereka-mereka yang bakal menjalani kehidupan berumah tangga kelak agar menjaga perihal kerahsiaan ini. Usah diwarkan-warkan pertunangan itu kepada orang ramai. Yang dimaksudkan merahsiakan pertunangan itu adalah dengan merahsiakan peribadi insan yang diikatkan tali pertunangan tersebut. Jangan disalah tafsirkan pula kerahsian tersebut dengan tujuan ingin mengambil hati dan membiarkan orang lain menaruh perasaan kepada diri. Jika sudah berpunya, katakan sudah berpunya.

Ikhlaskan niat dihati, moga Allah memelihara kita semua dan menunjuki yang terbaik buat diri kita ini..


Rahsiakan pertunangan dan war-warkan (maklumkan) tentang perkahwinan
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)




Insan dalam penantian,
Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
12.00am
25 ramadhan 1430H
15 September 2009
Pasir Panjang, Kuala Terengganu.


Bersama ini saya lampirkan dan war-warkan perkahwinan sahabiah yang bakal berlansung pada syawal tahun ini. Sesungguhnya isteri Rasulullah, Siti Aisyah, menyukai jika perkahwinan umat baginda dilansungkan pada bulan syawal.


Dari Aisyah r.a katanya: “Rasulullah s.a.w mengahwiniku pada bulan Syawal dan serumahtangga denganku pada bulan Syawal. Maka manakah isteri Rasulullah s.a.w yang lebih dicintainya daripadaku?” (Riwayat Muslim)


5 Syawal 1430H

Nurul Huda Bt Aziz@Salim dengan Muhammad Ikram B Ishak

Kota Bharu, Kelantan.


6 Syawal 1430H

Kak Faasila

Kelantan


7 Syawal

Nurul Aisyah Aklima Binti Azieh dengan Abu Khuhafah B Abu Bakar.

Maran, Pahang.


Tahniah kepada mereka semua.Nampaknya raya tahun ini, jauh la saya berjalan. Ke kelantan dan ke pahang memenuhi undangan sahabiah bagi mendoakan mereka..


“Allahumma barikfikum wa jamaa’ alaikum bikhoir”

Semoga Allah berkati mereka, dan melimpahkan keatas mereka dengan kebaikan

5 comments:

Anonymous said...

erm..
ade lagi sorang..
abg nik khairul asyraf..
nie x kmph..
klu kenal lah..
rumah dia , pada 24 september juga..

ummie azilah said...

Assalammualaikum TG,
Memang betul Islam itu indah dan ianya mudah,tidak membebankan umatnya.Budaya melayu memang cantik majlis pertunangan dibuat atas dasar memberitahu bahawa anaknya telah bertunang supaya org lain tidak meminang atas pinangan orang lain CUMA kdg2 keterlaluan.Yang baiknya biarlah sederhana ,adat boleh dibuat asalkan tidak bercnggah dengan Islam.InsyaAllah.
Kalau TG bertunang jgnlah dirahsiakan takut ramai yang terus merana....menanti . Maaf jika gurauan yg melampau. Wassalam.

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad said...

Abg nik Khairul Asyraf ni kat mana? Kelantan atau pahang juga?

Betul apa yang ummie katakan tu, cuma kadang-kadang keterlaluan. bertunang semacam berkahwin sudah. InsyaAllah ummie, jika ana sudah bertunang akan dikhabarkan sebetulnya jika ditanya.

Tulisan ini juga peringatan untuk diri sendiri..

Fizul Al-Mempelami said...

salam ramdhan sahabat seperjuangan..pengalaman mendewasakan kita

Unknown said...

Assalamu'alaikum...

Tumpang lalu jap...wah...nama ana pun naik kat sini...

Template by - Abdul Munir - 2008