Thursday, July 23, 2009

Hukuman dan Keinsafan

"Saya rela diri disebat. Jika saya tidak dikenakan hukuman itu, mungkin sehingga sekarang saya tidak insaf.”

“Hukuman di dunia saya sudah terima, tetapi di akhirat kelak Allah saja yang menentukan”

“Jadi, nasihat (saya kepada) remaja di luar sana, nak berbuat apa-apa fikirkan tentang ibu bapa jika tidak mahu mereka dimalukan,"

Begitulah antara beberapa kenyataan dan penjelasan yang diberikan oleh Kartika Sari Dewi Shukarno, 32 seorang model sambilan yang dijatuhi hukuman enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Isnin lalu.


Hukuman, Antara Keperitan, Malu dan Penginsafan.

Tidak kita nafikan apa yang dinamakan sebagai ‘hukuman’ itu merupakan suatu yang memberikan keperitan atau malu kepada orang disabitkan keatasnya. Seorang guru memberikan denda kepada pelajarnya kerana tidak menyiapkan tugasan dengan meminta pelajar tersebut berdiri luar kelas, denda atau hukuman ini walau tidak memberikan keperitan fizikal tetapi ia memberikan perasaan malu pelajar tersebut kepada pelajar-pelajar lain yang memandangnya. Namun niat yang diingin oleh guru tersebut untuk pelajar tersebut menginsafi perbuatannya adakah akan tercapai dengan hukuman ini?

Sesuatu hukuman yang diberikan dalam Islam adalah untuk memberikan keinsafan dan kesedaran bukan sahaja kepada pelaku bahkan juga kepada rakyat keseluruhannya. Hukuman tersebut yang dijalankan dikalayak ramai amat bertepatan kerana ia akan menjadi iktibar dan pedoman kepada masyarakat untuk tidak mengikut jejak pelaku dan jika dituruti, hukuman yang disaksikan itulah yang bakal diterima olehnya kelak.

Adakah keinsafan hanya akan terbit dengan hukuman?

Keinsafan tidak semestinya lahir dengan jatuhnya sesuatu hukuman tetapi ia lahir diatas dasar kesedaran. Islam tidak mahu menyeksa umatnya, namun jika pesalah itu merasakan dengan hukuman tersebut mereka mendapat keinsafan dan ketenangan, Islam meraikannya.

Seorang penzina datang berjumpa Rasulullah, menyatakan kesalahan dia dengan harapan Rasulullah memberikan hukuman keatasnya. Rasulullah berpaling dan meminta perempuan tersebut pulang. Sehingga tiga kali permintaan itu diajukan setelah Rasulullah menolak taip kali pengajuan itu dibuat, maka akhirnya Rasulullah menerima kehendak perempuan tersebut untuk dijatuhkan hukuman. Dengan hukuman tersebut, keinsafan yang dikejari oleh perempuan tersebut insyaAllah akan dapat ditemui bersama ketenangan jiwa selepas penghukuman dunia yang diterima.

Hukuman bagaimanakah yang dapat memberikan keinsafan?

Kita melihat dunia jenayah sekarang semakin menjadi-jadi. Pelbagai hukuman dan denda telah dilakukan oleh pihak pemerintah bagi membendung jenayah dan kesalahan yang dibuat oleh pelaku, namun kehampaan juga yang didapati pada akhirnya.



Pencipta dan Barang Yang Dicipta

“Tolong baiki televisyen saya yang rosak ini” minta seorang pakcik tua.

“pakcik silap hantar ni, saya bukan pembaiki televisyen tapi saya membaiki peti sejuk” ujar seorang mekanik sebuah kedai membaiki peti sejuk.

Dunia dan penghuninya sekarang yang sudah tua, diibaratkan sebagai pakcik tersebut, tidak lagi dapat mengenal pasti kemanakah yang patut dituju. Siapakah yang lebih berhak dan arif untuk membuat sesuatu polisi? Undang-undang manakah yang hendak digunakan keatas pesalah-pesalah? Allah sebagai pencipta manusia, amat kenal dan mengetahui yang baik dan yang buruk kepada manusia itu sendiri. Tetapi atas dasar keangkuhan dan kesombongan manusia, mereka tidak mengiktiraf beberapa perkara yang telah ditetapkan oleh Allah sebaliknya mengiktiraf perintah atau perkara yang memberikan manfaat dan keuntungan yang selari dengan kehendak kemahuan mereka.

Satu catatan sejarah telah terpahat. Pada abad 20-an, amerika syarikat yang memandang arak ini suatu yang memburukkan masyarakatnya dan menurunkan produktiviti negera mereka , menginginkan agar arak ini diharamkan dikalangan masyarakatnya. Pelbagai kempen kesedaran, pengiklanan, pengerahan jentera kerajaan dan polis digunakan bagi memastikan masyarakat mematuhi undang-undang pengharaman arak yang digubal. Sejumlah hampir 20juta dolar telah dihabiskan bagi tujuan tersebut. Apa yang didapati, masyarakat tetap dengan pendirian dan budaya mereka. Beratus ratus orang yang tetap mengekalkan tradisi meminum arak ini ditahan dan diseksa, tetapi tiada keinsafan terukir. Kerana melihatkan tuntutan rakyatnya yang bangkit serta bertegas mahukan peraturan ini dimansuhkan, kerajaan ketika itu terpaksa akur.

Sejarah yang berbeda dikala zaman Rasulullah, tempayan-tempayan arak dihempas begitu sahaja sebaik turunnya ayat larangan meminum arak. Pada zaman tersebut, arak ini boleh diibaratkan seperti minuman harian biasa bagi mereka namun atas dasar kesedaran ini mereka menuruti perintah Allah ini.



Kesedaran

Sedarlah kita akan hakikat sebenar penciptaan diri kita. Atas dasar kesedaran inilah, seseorang itu mampu untuk terus bertahan mengharungi segala cabaran dunia yang begitu hebat pada dahulu, kini dan akan datang. Kesedaran bahawa dunia ini hanyalah sementara dan satu kehidupan yang abadi bakal ditempuhi oleh semua antara kita.

Kartika Dewi yang kemungkinan menjadi wanita pertama dikenakan hukuman sebat dijatuhi maksimum enam sebatan dan denda RM5,000, atas kesalahan meminum arak di sebuah resort di Cherating, Pahang, jam 11.40 malam, 11 Julai 2007 diharapkan memberikan pengajaran dan keinsafan kepada kita. Tahniah Kartika Dewi, semoga keinsafan yang didambakan akan dipertemukan untuk satu kehidupan bahagia yang panjang kelak.


~Yang Menginsafi Diri~

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
5.51 pm
1 Syaaban 1430H
23 Julai 2009
Pejabat, K. Terengganu

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008