Friday, July 4, 2008

Takziah Buat Keluarga Allahyarhamah (Anak tahanan ISA)…

Pemergian Allahyarhamah mengadap Ilahi semalam mengundang suasana pilu dan sedih kepada semua warga yang menziarahi tanah perkuburan. Jenazah anak sulung mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Shahrial Sirin, Aina Mardiah, 17, yang meninggal dunia akibat pendarahan otak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Serai jam 11.30 pagi tadi.

Setengah jam sebelum itu, jenazah Aina disembahyangkan hampir 200 jemaah di masjid Sungai Serai kira-kira satu kilometer dari rumahnya. Turut serta menyembahyangkan jenazah anak kesayangan Fatma Masrum itu ialah Adun Hulu Klang, Saari Sungib yang juga bekas tahanan ISA; Adun Chempaka merangkap Exco Kerajaan Negeri, Ir. Iskandar Abdul Samad; Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dan lima orang bekas tahanan ISA.

Pengebumian Aina turut disaksikan berpuluh-puluh rakan sekolahnya dari Sek. Men. Keb. Dusun Nanding termasuk beberapa orang guru. Sementara itu, sebaik keluar dari van jenazah, Shahrial yang masih mengenakan pakaian yang dipakai sewaktu tiba dari Kementa semalam bersama-sama ahli jawatankuasa khairat kematian menurunkan jenazah anaknya ke liang lahat.

Suasana bertambah pilu tatkala, Shahrial mencuri sedikit masa meriba, memeluk dan mencium kedua-dua anak perempuannya, Izzatul Zahrah, 12 dan Arfah, 9 sebaik sahaja jenazah kakak mereka dikebumikan.

Suatu Yang Pasti

Pemergian ke alam abadi adalah suatu yang berkewajipan bagi setiap daripada kita, namun masanya yang belum diketahui bila akan tiba. Manusia diingatkan untuk sentiasa mengingati akan saat ini kerana sesungguhnya ia adalah kesudahan kepada masa hadapan tiada lagi pengharapan. Dunia ini sebagai tempat ujian atau boleh disebut sebagai dewan peperiksaan dan akhirat kelak adalah tempat pengadilan, juga boleh diandaikan sebagai tempat menerima slip peperiksaan yang tiada boleh diubah lagi akan keputusannya.

Justeru, ana menginatkan diri ini juga buat sahabat-sahabat sekalian agar kita sentiasa beringat akan ketibaan kepada saat kematian ini yang boleh kunjung tiba pada bila-bila masa tanpa mengira usia dan keadaan kesihatan kita. Sentiasa memperbaharui taubat akan dosa-dosa lalu, memperbanyakkan amal soleh dan menghindari diri daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah s.w.t.


Doa buat Arwah & keluarga


Sama-sama kita doakan agar Allahyarhamah ditempatkan dikalangan orang-orang soleh dan mendapat rahmat Allah sentiasa. Juga diharapkan keluarga arwah diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. Takziah buat keluarga Allahyarhamah.


Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
10.21am
5/7/08
2.1.7 KHAR UPSI

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008