Sunday, July 6, 2008

Semester Akhirku, bagaimana pengakhirannya?


Alhamdulillah syukur pada Allah s.w.t kerana masih memberi peluang kepada diri ini untuk terus menuntut ilmu sehingga ke semester 7 di Universiti Pendidik yang sarat dengan ilmu dan sejarah gemilang tokoh-tokoh terdahulu.

Menghadapi semester akhir belajar di U ini mendatangkan perasaan yang pelbagai dan sukar untuk diri sendiri mentafsirnya. Perasaan sedih menyelubungi bila memikirkan pengakhiran bagi sebuah zaman mahasiswa yang makin hampir kunjung tiba. Ilmu yang ditimba masih belum mencukupi dan terasa kerugian kerana tidak memanfaatkan masa yang lalu untuk menimba sebanyak mungkin ilmu daripada pensyarah mahupun daripada bacaan peribadi. Penyesalan juga timbul kerana terasa sedikitnya sumbangan yang diberikan kepada mereka yang disekeliling, juga kepada persatuan, kolej dan organisasi lain.

malam pertandingan nasyid antara kolej


Sejarah suatu suntikan semangat atau suatu kekecewaan

Mengimbau kembali zaman pra persekolahan, sekolah rendah dan sekolah menengah, masing-masing memberikan satu pengalaman dan perasaan yang menarik untuk difikirkan kembali. Bercakap atas dasar akademik, zaman-zaman tersebut boleh dikatakan penciptaan sejarah tersendiri dalam hidup apabila dinobatkan dengan kecemerlangan akademik dan sahsiah. Anugerah yang hanya untuk julung-julung orang sahaja bagi setiap sesi pengajian.

Sejarah silam yang lalu mampu memberikan kekuatan dan juga kelemahan jiwa pada diri seseorang. Kenangan manis, pengalaman menarik dan anugerah yang dikecapi dimasa lalu mampu mengurniakan suatu suntikan semangat (spiritual) yang tersendiri kepada diri seseorang. Justeru, aku suka untuk membelek kembali album-album gambarku disaat semangat diri ini terasa luntur. Menilik wajah kawan-kawan seperjuangan yang kini berada di bidang yang kurasakan membanggakan, cukup membuatku meneruskan perjalanan kehidupan dengan lebih cekal apabila berhadapan dengan ujian dan kelemahan jiwa.

Namun, kenangan pahit, pengalaman ngeri dan sejarah hitam seseorang mampu membuatkan seseorang itu semakin tertekan dan mengalami kemurungan bergantung kepada fikiran yang diberikan kepada perkara tersebut samada positif ataupun negatif. Memikirkan berkaitan kematian seseorang contohnya, jika diberikan sifat negatif atasnya maka akan merasakan kesedihan meratapi pemergian arwah. Jika diberikan sifat positif atas perkara tersebut, maka akan merasakan dirinya perlu lebih berusaha menjalani kehidupan yang masih ada dengan sebaiknya dan persediaan menghadapi kematian sebagaimana arwah perlu ditingkatkan agar mempunyai pengakhiran yang baik disana kelak.



Pencapaian pengajianku

Pengajianku di Universiti ini mempunyai pengalaman pahit dan manisnya tersendiri. Darisegi akademik, aku mengakui bahawa aku tidak boleh membanggakan atas pencapaianku yang tidak seberapa ini. Tidak secemerlang di zaman-zaman dahulu, mampu bersaiang dengan rakan seperjuangan, berlumba-lumba dalam belajar dan pencapaian peperiksaan. Aku meratapi sendirian...



Darisegi penglibatanku dengan aktiviti kokurikulum dan aktiviti luaran daripada akademik, tidak juga mampu dibanggakan namun pengalaman yang mengajar cukup beerti pada diri. Memegang jawatan bagi aktiviti Universiti dalam kelab yang mengurus kemasukan pelajar baru, menjadi Rakan Exco Kerohanian Kolej disepanjang sesi pengajian, menyertai pertubuhan silat gayong sepanjang sesi pengajian dan memegang jawatan tertinggi dalam Persatuan Mahasiswa Sains banyak mengajarku tentang kehidupan ini.

mesyuarat ajk kerohanian kolej


Pengajian Semester akhir

Esok bermulalah pengajian semester baru, berikut adalah beberapa subjek yang akan aku hadapi peperiksaan terakhirku disini:

BIL KOD SUBJEK SUBJEK JAM KREDIT
1. TBF 3033 Fisiologi Haiwan 3
2. TBP 3013 Perancangan & Perlaksanaan Kurikulum Bio 3
3. TBT 3013 Bioteknologi 3
4. TSE 2013 Sains Alam Sekitar 3
5. TSR 3023 Projek Penyelidikan 3

Jumlah jam kredit 15

gambar dimakmal FST bagi subjek TSR


Melihat kepada jam kredit yang diambil, iaitu hanya 15 jam kredit, aku merasakan masa yang ada akan sedikit berkelapangan berbanding sesi sebelumnya. Justeru, bagi sesi kali akhir ini, aku berazam untuk mencapai keputusan PNGS 3.70 dan keatas.

Usaha dan pengorbanan harus aku pergiatkan disamping pengharapan dan doa serta tawakkal kepada Allah, Sang Penentu Segalanya akan dipanjatkan sentiasa. Doakan buatku sahabat-sahabatku sekalian..

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
1.38 am 7 Julai 2008
3 Rejab 1429 H
2.1.7. KHAR, UPSI

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008