Sunday, March 28, 2010

Pengawas Asrama Tonggak Pembentukan Pelajar Lain


“Seringkali saya ingatkan kepada awak semua, awak adalah role model atau contoh teladan kepada pelajar lain. Justeru, saya mengharapkan awak menunjukkan akhlak dan peribadi yang baik buat ikutan adik-adik awak”.

Pengalaman 5 tahun berada di asrama suatu ketika dahulu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mendidik pelajar asrama SMK Lukut ini. Walaupun saya tidak diamanahkan untuk memegang jawatan sebagai salah seorang warden di asrama ini namun diri yang sememangnya mengharapkan agar dapat mendidik para pelajar menjadikan saya memikul tanggungjawab mengendalikan badan pengawas asrama. Perjumpaan pengawas asrama akan diadakan sebulan sekali bagi pengawas aspura dan aspuri. Perjumpaan ini dibuat secara diberasingan agar segala permasalahan berlainan gender ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Kuliah mingguan diKOSPINT

Pengalamanku

Sekolah berasrama penuh dan amat berbeda dengan sekolah harian berasrama. Perbezaan yang lebih ketara antara sekolah agama dan sekolah harian biasa. Itulah yang dapat saya simpulkan setelah hampir berada diasrama ini hampir 6 bulan. Suasana dan akhlak para pelajarnya berbeza sekali. Perbezaan ini saya anggap sebagai satu cabaran bagi diri ini untuk mendidik mereka sekaligus memperbaiki diri sendiri.

Menjadi seorang ketua pelajar (asrama dan sekolah) sewaktu berada disekolah menengah dahulu, mengajarkan saya betapa besarnya pengaruh pengawas sekolah keatas pembentukan akhlak dan sahsiah pelajar-pelajar lain. Jika pengawas ini memainkan peranan mereka sebaik mungkin, pasti kehidupan dan pencapaian para penghuninya mencapai tahap cemerlang.

Contoh Teladan Terbaik

“ Bukan saya tidak mampu untuk mengawal pelajar-pelajar lain tetapi perbezaan title memberikan mereka alasan untuk mereka pertikaikan. Seelok-eloknya pelajar jugalah yang menjadi contoh kepada pelajar lain. Cikgu berikan satu contoh, kenapa Allah utuskan Rasul itu daripada manusia bukan malaikat? Jawapannya tidak lain kerana persamaan fitrah sesama manusia, justeru Rasul itu dapat dijadikan contoh teladan terbaik” ujarku bagi memberikan mereka merasakan peranan mereka sangat besar dalam membawa suasana persekitaran asrama yang kondusif.

Memang penat jika seorang dua warden hendak mengawal hampir 80orang pelajar aspuranya, tidak termasuk lagi pelajar aspuri yang bilangannya juga 80 orang. Pengurusan yang baik, pastinya menggunakan organisasi pengawas sebagai satu jalan bagi melancarkan segala perjalanan aktiviti dan pengurusan kehidupan berasrama.

Pengawas yang dilantik pastilah mempunyai kredibiliti dan dipandang tinggi oleh pelajar-pelajar lain. Menjadi seorang ikutan tidak perlu melalui kata-kata tetapi lebih berkesan jika melalui tindakan sendiri. Orang akan lebih percaya mata berbanding daripada telinga. Setelah pelajar lain memberikan kepercayaan dan penghormatan kepada badan ini, dengan itu pastinya setiap arahan akan dituruti tanpa merasakan bebanan kerana ia sememangnya untuk kebaikan. Peribadi melalui arahan itu telah jelas didepan mata pelajar lain,

iaitu peribadi pengawas itu sendiri.

Bersama Ust Aziz (pengetua KOSPINT Pertama) pada majlis hari raya Reunion Anak KOSPINT

Pengharapan

Hari demi hari, saya perlu sentiasa memikirkan jalan dan cara bagi membentuk peribadi para pengawas ini terlebih dahulu tanpa mengabaikan bimbingan keseluruhan pelajar lain. Peranan warden sangat penting dalam menentukan hala tuju pembentukan akhlak para pelajarnya serta pencapaian akademik mereka. Warden yang mendekati jiwa-jiwa mereka pasti meninggalkan satu impak yang besar dalam sejarah kehidupan mereka kelak. Semoga pengawas-pengawas ini dapat saya bentuk peribadi mereka agar mereka menjadi satu kelompok yang sering diidamkan oleh pelajar lain untuk dijadikan contoh dalam kehidupan berasarama ini.

Pengamalan itu mendewasakanku..

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,

Pembantu warden,

Asrama SMK Lukut,

12.54am

Rumah warden,

Asrama SMK Lukut,

Port Dickson, Negeri Sembilan


2 comments:

qaseh mas said...

Salam Cikgu
Memang penat menjadi warden.
Apapun, pengurusan masa itu yang penting agar diri sendiri dapat jua berehat.
pengalaman sya menjadi pembantu warden sendiri, ia memang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad said...

JazakAllah atas perkongsian sama. Doakan Allah kuatkan hati utk terus mendidik adik-adik disini

Template by - Abdul Munir - 2008