Monday, November 21, 2011

MEMALI: Sejarah Berdarah Melawan ISA

Genap 26 tahun lalu, terjadi satu peristiwa penting dalam sejarah politik negara. Sejarah berdarah menyayat hati dan tidak mungkin akan dilupakan.

Pada ketika itu, Malaysia dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri manakala Tun Musa Hitam adalah timbalannya dan menteri hal ehwal dalam negeri.

Peristiwa yang dikenali sebagai "Tragedi Memali" ini berlaku di Kampung Memali yang terletak di bawah mukim Siong, Baling, Kedah.

Daerah Baling merupakan satu daerah yang istimewa kerana banyak peristiwa bersejarah berlaku di situ, seperti Rundingan Baling pada 1955 antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Demonstrasi Baling pada 1974 ekoran isu kemiskinan juga berlangsung di tempat sama.

As-Syahid Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya terkorban di tangan anggota keselamatan lengkap dengan pelbagai senjata termasuk senjata automatik dan kereta kebal.

Diberitakan lebih 3,500 anggota keselamatan dikerah oleh kerajaan Malaysia untuk berhadapan dengan Ibrahim Libya dan pengikutnya serta penduduk Kampung Memali.

Pada ketika itu, kerajaan Malaysia menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai itu dengan alasan Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud membawa ajaran sesat.

Kemudian pertuduhan diubah - as-syahid dikatakan membawa fahaman subversif yang berniat untuk mencetuskan huru-hara.

Siapa Ibrahim Libya?

Almarhum Ibrahim dilahirkan pada tahun 1944 ketika Malaya masih lagi dalam genggaman Jepun di Kampung Carok Putih berhampiran dengan Kampung Memali.

Mendapat pendidikan awal tentang Islam dari ayahnya sendiri Tuan Haji Mahmud - seorang guru agama yang disegani di kampungnya.

Ibrahim kemudian melanjutkan pengajian Islamnya di India, Mesir dan Libya. Selepas tamat pengajian, beliau pulang ke tanah air pada awal 1970-an.

Selepas pulang, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai pendakwah di Pusat Islam. Populariti beliau meningkat naik oleh kerana syarahan-syarahan agama yang diberikan dan seringkali diundang untuk berbicara mengenai Islam di RTM1.

Beliau kemudiannya berhenti dari JPM dan bekerja sebagai pegawai dakwah dengan kerajaan Libya. Selepas tamat berkhidmat dengan kerajaan Libya, beliau pulang ke Kampung Memali.

Madrasah didirikan untuk Ibrahim memulakan kelas pengajian agama. Bermulalah kariernya sebagai pendakwah bebas. Kepetahannya berceramah menyebabkan beliau sering diundang berceramah di sekitar negeri Kedah.

Ibrahim Libya kemudiannya menyertai PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya tahun 1978 di kawasan Bayu yang terletak dalam daerah Baling.

Beliau mendapat undi sebanyak 5,081 manakala calon BN mendapat 6,169 undi. Dalam pilihan raya tahun 1982 beliau turut bertanding di kawasan yang sama tetapi kalah.

'Dosa' Ibrahim Libya

Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada "pihak-pihak tertentu" yang risau dengan popularitinya. Jika dibiarkan terus berleluasa, beliau akan menjadi ancaman yang lebih besar.

Menurut Senator Yusuf Husin yang penulis temui berberapa tahun lalu, selepas menyertai PAS, Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada pemerintah oleh kerana gesaannya dalam setiap ceramah agar perubahan dilakukan terhadap kepimpinan negara.

Inilah puncanya sehingga akhirnya Ibrahim Libya dikehendaki oleh kerajaan Malaysia untuk ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Jika tidak menggunakan ISA, sudah pasti Ibrahim Libya akan memberikan kerjasama dengan syarat beliau dibicarakan di mahkamah.

Oleh kerana ISA menjadi pilihan kerajaan, beliau tidak mahu menyerah dan tunduk kepada undang-undang yang dianggap sebagai kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Pengikut-pengikut dan anak-anak murid Ibrahim Libya juga tidak mahu beliau menyerah diri dan bertindak mempertahankannya.

Kampung Memali di kepung oleh ribuan anggota keselamatan untuk menangkap Ibrahim Libya dan pengikutnya.

Pada 19 November 1985, akhirnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya gugur ke bumi sebagai syuhada selepas bertempur dengan anggota keselamatan.

Orang-orang kampung yang hidup ditahan oleh kerajaan Malaysia di bawah ISA termasuklah Yusuf Husin.

Simbol perlawanan terhadap ISA

Ibrahim Libya dan 13 orang lagi yang gugur di Kampung Memali merupakan simbol perlawanan terhebat terhadap ISA.

Seperti yang dikatakan oleh Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam tulisannya sempena ulang tahun ke 25 tragedi Memali tahun lalu:

"Beliau (baca: Ibrahim Libya) menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod 'termahal' dalam usaha menyanggah ISA."

Benar apa yang dikatakan oleh Ahmad Lutfi itu, tindakan Ibrahim Libya dan para pengikutnya mengorbankan nyawa kerana tidak sujud kepada ISA adalah satu tindakan yang mulia.

Para syuhada Memali sebagai adalah simbol perlawanan terhebat rakyat Malaysia terhadap ISA.

Jika satu hari nanti ISA dimansuhkan, muzium bagi memperingati para syuhada Memali harus dibina agar generasi akan datang tahu bahawa ISA bukan sahaja telah merampas kebebasan ribuan orang tanpa dibicarakan di mahkamah, ISA juga telah menyebabkan nyawa melayang.

Secara peribadi, saya menganggap Tragedi Memali ini masih belum selesai.

Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian atau Truth and Reconciliation Comission harus ditubuhkan untuk menyiasat kembali peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali yang berlaku pada tahun 1985 itu.

Hasil penyiasatan haruslah didedah kepada orang ramai dan pesalah-pesalah yang terlibat secara langsung dalam kezaliman ini harus diheret ke mahkamah untuk dibicarakan.

Selepas 26 tahun sejarah berdarah ini berlalu, tragedi Memali terus dikenang. Kampung tempat gugurnya 14 orang syuhada itu menerima pelawat yang ramai sepanjang tahun untuk melihat sendiri saki baki sejarah tragedi Memali yang masih tertinggal.

Begitulah hebatnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya. Salut kepada para syuhada. Salut kerana melawan ISA. Salut kepada penduduk Kampung Memali yang berani.

Oleh: Amin Iskandar
http://www.aminiskandar.blogspot.com/

Saturday, November 19, 2011

Tengku Anis Insyirah Berusia 2 Bulan




Friday, October 14, 2011

10 Sifat Calon Suami Yang Baik



Terbaca di facebook, 10 Sifat Calon Suami Yang Baik, sangat bermakna untuk muahasabah diri sendiri sebagai seorang suami sekarang..

Jika anda seorang wanita, carilah lelaki yang mempunyai sifat-sifat berikut.
Jika anda seorang lelaki, jadilah seorang lelaki yang mempunyai sifat-sifat berikut.

1. Kuat amalan agamanya. Menjaga solat fardhu, kerap berjemaah dan solat pada awal waktu. Auratnya juga sentiasa dipelihara dan memakai pakaian yang sopan. Sifat ini boleh dilihat terutama sewaktu bersukan.

2. Akhlaknya baik, iaitu seorang yang nampak tegas, tetapi sebenarnya seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Pertuturannya juga mesti sopan, melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia.

3. Tegas mempertahankan maruahnya. Tidak berkunjung ke tempat-tempat yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.

4. Amanah, tidak mengabaikan tugas yang diberikan dan tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

5. Tidak boros, tetapi tidak kedekut. Tahu membelanjakan wang dengan bijaksana.

6. Menjaga mata dengan tidak melihat perempuan lain yang lalu lalang ketika sedang bercakap-cakap.

7. Pergaulan yang terbatas, tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun dia tahu dirinya mampu berbuat demikian.

8. Mempunyai rakan pergaulan yang baik. Rakan pergaulan seseorang itu biasanya sama.

9. Bertanggungjawab. Lihatlah dia dengan keluarga dan ibu bapanya.

10. Wajah yang tenang, tidak kira semasa bercakap atau membuat kerja atau masa kecemasan.
By: PadaMu Ku Bersujud

Sunday, October 9, 2011

Suasana PMR(Pelajar Makin Rosak)


~Suasana sunyi sewaktu Peperiksaan PMR dijalankan~

Tahun ini merupakan tahun kedua saya menjadi pengawas bagi Peperiksaan PMR. Tahun lalu, 2010 menyaksikan sekolah yang diawasi mempunyai pelajar-pelajar perempuan melayu yang sangat gedik. Sukar memikirkan cara terbaik merawat penyakit mereka ini kerana lukanya bukan luaran tetapi dalamannya, bukan sedikit tetapi telah membarah.

Pergaulan lelaki dan perempuan yang tiada batasan lagi membuktikan kesan zahirnya dengan pelbagai masalah jenayah rogol,perkosa dan liwat dinihari dikalangan pelajar sekolah itu sendiri. Bagaimana malu yang menjadi pakaian kepada wanita itu telah lusuh dan ada yang sudah tercabut terus daripada membaluti batang tubuh mereka,yang akhirnya menyebabkan kerakusan jiwa panas anak muda lebih cepat membesar lebih daripada usia yang sepatutnya.

Indahnya bila membayangkan para wanita ini, bersifat dengan malu dan penuh kelembutan. Maka tiadalah penyerahan jiwa dan kelakuan kelakian yang ganas dan bebas dizahirkan pada diri mereka yang secara tidak langsungnya membuatkan para lelaki sukar bukan sahaja untuk memiliki mereka bahkan bagi mendekati mereka.

Tahun 2011 yang menyaksikan PMR sedang berjalan menghampiri kepada penghujungnya pada keesokkan harinya, saya mengalami pula kelakuan samseng yang ditonjolkan oleh kaum cina dan india. Sekolah ini yang mempunyai populasi kaum yang boleh dikatakan seimbang diantara melayu, cina dan india ini menghadapi permasalahan berbeza pula.

Pelajar yang baru berusia 15 tahun telah berani untuk bersikap biadap dan kurang ajar dengan guru-guru pengawas, yang merupakan guru-guru asing bagi mereka. Entahlah bagaimana sikap mereka sewaktu berhadapan dengan guru-guru harian mereka.

Kesimpulan daripada pemerhatian dan pengawasan peperiksaan PMR yang saya awasi buat sesi kedua ini, boleh dirumuskan dalam singkatan PMR itu sendi, Pelajar Makin Rosak..

Guru Pengawas PMR 2011,
Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,
3.21pm,
15 Zulkaedah 1432 H,
10 Oktober 2011
SMK .....,(dirahsiakan)
Port Dickson.

Thursday, September 22, 2011

Tengku Anis Insyirah Namanya..



Menamakan Anak
Islam mementingkan syariat dan tasyri' dalam memberikan nama kepada anak. Secara umumnya, ada dua persoalan utama dalam hal ini:

1. Waktu pemberian nama
Samurah bin Jundub melaporkan, Nabi Muhammad berkata,"Setiap anak itu ditebus dengan akikah yang disembelih pada hari ketujuh. Pada hari itu juga, ibubapa mencukur kepala anaknya dan memberikannya nama".

Hadis itu menetapkan menamakan anak pada hari ketujuh.

2. Nama yang baik dan nama yang tidak baik.
Ibubapa wajib memilih nama yang baik dan indah sesuai dengan petunjuk yang mereka terima dan sejalan dengan anjuran Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad bersabda:"Sesungguhnya pada hari kiamat, kamu dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama orang tua kamu. Dengan itu, pilihlah nama-nama yang baik"






Mencukur Rambut
Mencukur rambut ataupun membotakkan kepala pada hari ketujuh kelahiran anak termasuk dalam hukum yang disyariatkan Islam. Ibubapa kemudian boleh menimbang rambut itu dan membeli perak yang sama timbangannya. Seterusnya mereka dapat menyedekahkan perak itu kepada fakir miskin ataupun orang yang berhak menerimanya.

Anis :Teman akrab, Peramah
Insyirah :Kegembiraan, Kelegaan hati

Anis Insyirah=Peneman Kegembiraan.Moga menggembirakan abi,ummi dan ummat kelak

Yang cuba mengikuti sunnah Baginda Rasulullah s.a.w, mencukur rambut dan menamakan dengan nama yang baik, Tengku Anis Insyirah Binti Tengku Abdul Ghafar namanya..

12.42pm,
25 Syawal 1432H,
23 September 2011,
Rumah Mak Mertuaku,
Kuala Terengganu.

Wednesday, September 21, 2011

Kuning,Warna BERSIH Mengalir Dalam Mujahidah Kecil Kami.



"Ha, baju kuning. Ni sokong BERSIH la tu", seloroh seorang guru tatkala melihat saya memakai baju berwarna kuning.

Warna kuning pada ambang BERSIH 2.0 sangat popular dan menggerunkan banyak pihak sehinggakan memakainya boleh dikaitkan dengan BERSIH dan boleh ditahan jika tersilap hari memakainya(9/7/2011).

Hari ini genap hari ke-5, puteri sulung kami perlu ke klinik kesihatan gara-gara warna Kuning. Bukan BERSIH, tetapi Jaundis.

Apa itu Jaundis? Atau lebih dikenali dengan penyakit Kuning. Kebanyakan ibubapa mengetahui berkenaan penyakit ini kerana ia sering menyerang kepada anak yang baru dilahirkan, termasuk puteri sulung kami.

Lebih kurang 50% ke 60% bayi yang lahir cukup bulan mengalami demam kuning atau jaundis semasa minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas lahir. Ianya kerap berlaku kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan. Namun sebenarnya hampir semua bayi baru lahir mengalami jaundis tetapi tidak kelihatan dengan jelas. Pada setengah bayi, ia berlaku sekejab, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau hilang dengan rawatan yang ringkas sahaja. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian mata putih dan kulit berwarna kekuningan. Kesan ini akan dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagaian bawah badan. Bayi jaudis juga akan kerap tidur.

Kenapa berlakunya jaundis?

Jaundis berlaku apabila bilirubin iaitu pigmen yang berwarna kuning berkumpul di bawah kulit. Kadarnya yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan kekuningan. Apabila sel darah merah dileraikan, ia menghasilkan bilirubin. Semua darah mengandungi bilirubin dan kebiasaannya akan diproses oleh hati dan disingkir melalui pembuangan najis dan air kencing.

Ketika bayi dalam kandungan ibu, proses ini dilakukan oleh hati ibu. Jadi apabila berada diluar, proses ini mula dilakukan oleh hatinya sendiri. Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses dan membuang bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas dilahirkan. Ini menyebabkan jaundis terjadi.

Hari kelima puteri sulung kami perlu ke klinik kesihatan ini, diharapkan adalah hari pengakhiran kepada pemeriksaan penyakit kuning ini. Semalam, bacaan bilirubin menunjukkan penurunan 6mata daripada bacaan sebelum ini.

Kesian melihat ibu jari kaki puteri kami sudah kelihatan kebiruan akibat dicucuk untuk pengambilan darah.

Mudahan-mudahan Mujahidah kecil kami tabah dan kuat semangat menghadapi hari-hari awal kehadirannya di alam dunia ini.

Tabahkan hati, cekalkan semangat, warna Kuning BERSIH sudah mengalir dalam darahmu,wahai puteriku..

Yang kini bergelar Abi,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,
7.16am,
24 Syawal 1432H,
22 September 2011,
Rumah Mak Mertuaku

Friday, September 16, 2011

Lahirnya Penyeri Sulung Rumahtangga Kami



Bermula jam 4.30pagi tadi, isteriku sudah menampakkan tanda-tanda yang bakal menamatkan penantian kami. Sakitnya menjadi-jadi.

Seusai solat subuh dan berkesempatan menjamah nasi dagang dan nasi kunyit yang dimasak oleh ummi, kami bergegas ke Klinik Keluarga yang pada ketika itu kesakitan yang dirasai sudah berkurangan, tidak seperti sebelum ini.

Menemui Doktor Wan pada pagi itu, beberapa nasihat telah diberikan. Doktor menyatakan bahawa isteriku ini masih boleh bertahan lagi beberapa hari jika mahu bayi keluar dengan sendiri namun beberapa kemungkinan buruk bakal berhadapan, antaranya ialah bayi berkemungkinan terkena jangkitan kuman dan boleh menyebabkan meninggal di dalam rahim. Bayi yang sudah boleh dilahirkan pada saat ini kerana telah cukup minggunya, doktor menasihatkan agar dilahirkan segera dengan memasukkan ubat. Keputusan untuk dilahirkan segera diambil bersama.

Bermula jam 8pagi, 'contraction' pada rahim sudah mula menampakkan kesan. Jangkauan kami untuk menimang cahaya mata telah dipermudahkan oleh Allah. Hanya dalam masa hanya 3jam.

Jam 11.38, lahirlah puteri sulung kami. Dengan berat sebanyak 3.4kg, bayi ini kelihatan besar dan cukup sihat.

Mengikuti sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah, azan dilaungkan ketelinga kanan dan diiqamatkan ketelinga kiri.Moga-moga dengan diperdengarkan nama-nama kebesaran Allah ini, insan sulung kami tidak akan lalai daripada mengingati Allah dan berada dalam rahmatNya sentiasa.

Kepada juaNyalah doa yang sering dilafazkan dipinta,

"Ya Tuhan kami, kurniakan kami daripada isteri-isteri kami dan daripada zuriat keturunan kami, sebagai penyejuk mata bagi kami. Dan jadikan kami imam kepada orang-orang bertaqwa."

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
5.30pm,
14 Syawal 1432H,
16 September 2011
Klinik Keluarga, K.Terengganu.

Template by - Abdul Munir - 2008