Wednesday, September 21, 2011

Kuning,Warna BERSIH Mengalir Dalam Mujahidah Kecil Kami.



"Ha, baju kuning. Ni sokong BERSIH la tu", seloroh seorang guru tatkala melihat saya memakai baju berwarna kuning.

Warna kuning pada ambang BERSIH 2.0 sangat popular dan menggerunkan banyak pihak sehinggakan memakainya boleh dikaitkan dengan BERSIH dan boleh ditahan jika tersilap hari memakainya(9/7/2011).

Hari ini genap hari ke-5, puteri sulung kami perlu ke klinik kesihatan gara-gara warna Kuning. Bukan BERSIH, tetapi Jaundis.

Apa itu Jaundis? Atau lebih dikenali dengan penyakit Kuning. Kebanyakan ibubapa mengetahui berkenaan penyakit ini kerana ia sering menyerang kepada anak yang baru dilahirkan, termasuk puteri sulung kami.

Lebih kurang 50% ke 60% bayi yang lahir cukup bulan mengalami demam kuning atau jaundis semasa minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas lahir. Ianya kerap berlaku kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan. Namun sebenarnya hampir semua bayi baru lahir mengalami jaundis tetapi tidak kelihatan dengan jelas. Pada setengah bayi, ia berlaku sekejab, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau hilang dengan rawatan yang ringkas sahaja. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian mata putih dan kulit berwarna kekuningan. Kesan ini akan dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagaian bawah badan. Bayi jaudis juga akan kerap tidur.

Kenapa berlakunya jaundis?

Jaundis berlaku apabila bilirubin iaitu pigmen yang berwarna kuning berkumpul di bawah kulit. Kadarnya yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan kekuningan. Apabila sel darah merah dileraikan, ia menghasilkan bilirubin. Semua darah mengandungi bilirubin dan kebiasaannya akan diproses oleh hati dan disingkir melalui pembuangan najis dan air kencing.

Ketika bayi dalam kandungan ibu, proses ini dilakukan oleh hati ibu. Jadi apabila berada diluar, proses ini mula dilakukan oleh hatinya sendiri. Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses dan membuang bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas dilahirkan. Ini menyebabkan jaundis terjadi.

Hari kelima puteri sulung kami perlu ke klinik kesihatan ini, diharapkan adalah hari pengakhiran kepada pemeriksaan penyakit kuning ini. Semalam, bacaan bilirubin menunjukkan penurunan 6mata daripada bacaan sebelum ini.

Kesian melihat ibu jari kaki puteri kami sudah kelihatan kebiruan akibat dicucuk untuk pengambilan darah.

Mudahan-mudahan Mujahidah kecil kami tabah dan kuat semangat menghadapi hari-hari awal kehadirannya di alam dunia ini.

Tabahkan hati, cekalkan semangat, warna Kuning BERSIH sudah mengalir dalam darahmu,wahai puteriku..

Yang kini bergelar Abi,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,
7.16am,
24 Syawal 1432H,
22 September 2011,
Rumah Mak Mertuaku

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008