Saturday, May 15, 2010

Hari Guru Pertamaku



Meniti hari-hari dalam kehidupan singkat ini, tidak pernah terlintas dipemikiran sebelum ini aku bakal menjadi seorang guru dan disambut dalam satu hari yang paling bersejarah dalam kehidupan setiap orang yang melalui alam persekolahan.

Hari Guru Pertama Hidupku
Setelah hampir 6 bulan diri bergelar seorang guru, title 'cikgu' semakin sebati dirasakan. Bertahun-tahun sebelum ini, hari guru adalah satu hari yang sangat aku nantikan untuk aku menghubungi kembali guru-guru yang sangat berjasa dalam mendidik aku sama ada guru-guru sekolah rendah mahupun guru-guru di sekolah menengah. Menghubungi mereka menerusi sms dan panggilan telefon cukup terasa seronok bilamana mereka masih mengingatiku dan mendoakan kesejahteraanku kini.

Sambutan Hari Guru Sekolahku diadakan pada esok hari iaitu pada 17 May 2010. Hari Guru pertama dalam kehidupan ini membuka satu lembaran baru dalam sejarah kehidupan ini untuk aku melihat kembali tanggungjawab dan amanah yang kini terpikul dibahu. Guru yang ku kenali dalam istilah sebenar adalah mereka yang bukan hanya mengajar kandungan matapelajaran tetapi lebih daripada itu adalah mereka yang mendidik perilaku dan akhlak serta peribadi diri seseorang pelajar.



Aku dan Guru
Guru pasti akan menerima cabaran dan ujiannya yang tersendiri. Proses mendidik bukan satu proses yang senang dan mudah. Setiap yang baik pasti akan ada penghalangnya sebagaimana Islam kini semakin dagang dimata hati umat akhir zaman. Membawanya kini ibarat menggenggam bara api. Ketabahan dan kecekalan dalam menahan panas dan pedihnya haruslah dilalui dengan kebergantungan yang tinggi kepada Sang Pencipta.


Title guru sangat baru lagi dalam kamus kehidupan ini. Menyelami guru-guru veteran, raut wajah mereka sahaja sudah jelas menggambarkan betapa mereka telah melalui satu kehidupan yang sangat mulia. Jerihnya bukan stakat keringat yang dikeluarkan tetapi lebih daripada ini, pelbagai permasalahan yang bersangkutan dengan manusia sekeliling telah mereka lalui. Aku bakal menempuhi ini semua jika hayat ini masih diberikan peluang olehNya..



Sempena Hari Guru ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guruku yang masih hidup dan yang telah selamat meninggalkan alam fana ini. Jasamu wahai guru-guru tidak akan terhenti setakat mendidikku ini sahaja tetapi akan aku pastikan pahalamu akan berterusan melalui ajaranmu yang bakal aku sampaikan pada anak didikku pula kini. Kesinambungan dalam salah satu daripada jambatan yang Rasulullah pesan yang mana tiada lagi amalan selepas kematian melainkan tiga perkara, iaitu salah satunya adalah ilmu yang bermanfaat. Jambatan ini kini ku dokong bukan buat diri semata tetapi atas dasar amanah dan tugas sebagai seorang hamba yang lemah. Tanggungjawab membawa anak didik mengenali Sang Pencipta suatu yang bukan terletak pada mereka yang bergelar guru tetapi title 'guru' merupakan satu peluang untuk menjalankan amanah ini dengan lebih baik dan berkesan.

Buat para guru dan bakal guru, pesanku kepada anda semua, jalankanlah amanah ini dengan sebaik mungkin. hayatilah sirah dan perjalanan kehidupan para sahabat dan orang-orang soleh. Guru kini semakin kurang penghormatannnya tidak lain kerana guru telah meninggalkan Islam dalam ajarannya. Mengajar konten semata tanpa membangunkan emosi dan rohani, tidak akan membawa kepada kebaikan yang menyeluruh dan berkesan. Kita akan dimuliakan oleh Allah andai kita memuliakan Islam dan membangunkannya. Andai Ia ditinggal dan dikesampingkan, pasti diri ini tidak punyai makna. Bentukkan peribadi pelajar bukan dengan setakat mengajar tetapi mendidik mereka melalui akhlak dan tauladan diri sendiri.

Guru Baru Yang Mencari Erti Sebenar 'CIKGU',

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
7.21am
16 Mei 2010
Teras Jernang, Bangi,
Selangor Darul Ehsan.

3 comments:

Anonymous said...

guru dalam ajrnya ada harapan,
dalam tegurnya ada doa,
dalam marahnya ada sayang,
dalam diamnya adabijaksana

selamat hari guru...

erm..teras jernang bangi tue kat maner.
-mjaa-

Sifu Mirza said...

selamat hari guru cikgu...

moga jihad cikgu dipermudahkan dan cikgu diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini..

insya allah.

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad said...

salam anynomous,
tau ke area teras jernang kat bangi tu?

JazakAllah sifu mirza. Moge ana terus istiqamah dalam jln perjuangan ini insyaAllah..

Template by - Abdul Munir - 2008