Saturday, February 6, 2010

Wujudkan Suasana Beragama

Dalam menggalas taklifan sebagai seorang warden, diri sering memikirkan cara yang terbaik untuk mendidik adik-adik di asrama ini. Sekolah harian amat berbeda dengan sekolah agama. Selain matapelajaran yang diambil berbeza, suasana persekitaran dan aktiviti harian juga sangat jelas berbeda. Namun mungkin latar belakang peribadi dan keluarga pelajar itu ada yang sama.

Dimana-mana asrama atau dalam satu kelompok mereka yang ramai pasti ada mereka yang berjiwa sedikit nakal. Mereka ini tidak perlu dibenci ataupun diusirkan mereka, namun perhatian dan didikan yang lebih perlu diterapkan. Dekati dan damping mereka, pasti kita mengetahui disebalik peribadi berikut.

Antara lain yang menjadi polemik dalam mendidik para pelajar adalah bagaimana ingin menjaga pelajar-pelajar yang berjiwa suci. Mereka yang dimaksudkan adalah mereka yang berada ditingkatan satu. Mereka ini baru ingin mengenal erti hidup beramai-ramai dan hidup berjauhan daripada ibubapa. Jelas mana-mana pelajar yang berada ditingkatan satu punyai peribadi dan akhlak yang baik namun kenapakah pelajar yang kini berada di tingkatan 2, 3, 4 dan 5 berbeda akhlak dan perilakunya semasa mereka di tingkatan 1?

Pengaruh Rakan

Berada diasrama, rakan dan suasana sangat memainkan peranan penting dalam mewujudkan peribadi dan sahsiah para pelajar. Antara sebab berlakunya perubahan kepada mereka yang dahulunya berada ditingkatan satu adalah kerana pengaruh abang-abang atau kakak-kakak senior mereka. Mereka yang kini berada ditingkatan satu sering membaca dan menganalisis pergerakan senior-senior ini. Justeru, mereka menerapkannya pula dalam peribadi mereka.

Jiwa remaja sangat inginkan sesuatu yang baru.

Jika baiklah semaiannya maka baik jugalah hasil yang didapati. Namun jiwa ini lebih mudah terdorong kepada keburukan berbanding kebaikan.

Solusinya, wujudkan suasana beragama. Bila jiwa ini tepu dan terbiasa dengan suasana yang sememangnya fitrah setiap insan, pastinya dorongan kebaikan itu lebih kuat berbanding keburukan.

Moga suasana beragama menyinari asrama SMK Lukut dan hasilnya lahirlah peribadi-peribadi muslim dan muslimah sejati yang meletakkan agama sebagai asas dalam setiap tindak tanduk mereka. Keredhaan Allah jualah matlamat mereka kelak.

Selesai mengadakan Qiamunlail bersama-sama pelajar, dalam usaha mewujudkan suasana beragama,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,
6.57am,
20 Safar 1431 H
7 Februari 2010
Rumah Warden,
Asrama SMK Lukut,
Port Dickson, Negeri Sembilan

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008