Menyertai proses penyembelihan dan melapah daging lembu bersama masyarakat taman perumahan Bandar Springhill ini, terasa hubungan erat makin terjalin walaupun baru sebulan berada dikawasan ini.
Aku selalu ingatkan kepada adik-adik, jangan segan untuk memulakan perkenalan dan seharusnya kitalah yang memulakan untuk bertegur sapa dengan orang lain. Hasan al-Banna ada berpesan, seawal ukhuwwah adalah berkasih sayang. Sebagaimana kita ingin diri kita dihargai, kita patut dahulu menghargai orang lain. Berikan segala khidmat yang mampu diberi, usah ditunggu untuk disuruh tetapi carilah peluang untuk memberi dan berkhidmat. Bersegeralah dalam membuat kebaikan.
Pengorbanan, Mengerti dan Menghayatikahku?
Hari Raya korban menyahut kita untuk mengenangkan pengorbanan Para Rasul dan pejuang-pejuang Islam yang lain dalam membawa dan menyampaikan Islam sehingga kita dapat mengecapinya pada hari ini. Bagaimana caranya kita menghayati semangat pengorbanan ini? Apakah yang harus dibuat untuk membuktikan bahawa kita menghayati erti pengorbanan ini?
Ia bukan hanya dengan lafaz, takbir dan tulisan semata-mata pada hari raya korban, tetapi seseorang yang menghayati erti pengorbanan seseorang pasti dapat dibaca melalui tindak tanduk dan kerja buatnya. Perbuatan dan peribadinya menggambarkan dia mengerti pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan, justeru perasaan penghargaannya kepada apa yang telah dia kecapi hasil pengorbanan itu diluahkan dengan pengamalan dan sumbangannya yang dapat memberi manfaat pada orang lain.
Dalam kehidupan kita, ramai insan telah wujud disekeliling kita. Bermula celiknya mata kita didunia ini hingga terpejamnya kelak mata yang sama ini, mungkin tidak terkira insan yang telah kita ketemui. Ada dikalangan insan tersebut kita telah lupakan lantaran tiada rasa kepentingan pada dirinya dan lamanya tidak bersua. Tiap daripada insan yang hadir dalam kehidupan ini, pasti ada pengorbanannya yang tersendiri.
Pengorbanan Ibu yang melahirkan, pengorbanan Ayah yang mencari nafkah, pengorbanan adik beradik yang membesar bersama, pengorbanan teman sewaktu menuntut ilmu, pengorbanan guru yang mendidik, pengorbanan ulama’ yang menyampaikan, pengorbanan Rasul yang memimpin dan pengorbanan demi pengorbanan yang tiada boleh kita ungkapkan kerana banyaknya insan yang telah berkorban. Tiap pengorbanan ini menuntut untuk kita menghargainya dan belajar daripadanya untuk berkorban pula tanda penghargaan kita. Menghayatikahku erti pengorbanan?
Yang Mencari Erti Pengorbanan Sebenar,
Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,
9.08 pm,
11 Zulhijjah 1430H
28 November 2009
Rumah Warden,
SMK Lukut,
Port Dickson, Negeri Sembilan
2 comments:
Berkorban apa sahaja untuk agama.
Berkorban apa sahaja keranaNya.
Bila berkorban, tak mengharap apa pun melainkan keranaNya.
Memberi bukan untuk meminta.
Memberi adalah kerana kita cintakanNya.
Berilah apapun. Belajar untuk menghargai, walaupun kita tidak dihargai.
Wallahua'lam.
JazakAllahh Ya Akhi..
Post a Comment