Friday, November 27, 2009

KHUTBAH RAYA IDULADHA 1430H



KHUTBAH IDULADHA 1430H

KHUTBAH PERTAMA

Wahai hamba-hamba Allah!, bertaqwalah kamu semua kepada Allah dengan mengikut segala perintahNya dan ,meninggalkan segala laranganNya, dan carilah bekalan (dalam kehidupan didunia dan hari akhirat) maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa.

Marilah kita bersama umat Islam yang berhimpun ditanah suci Mekah al-Mukarramah kerana mengerjakan ibadat haji. Berhimpun ditempat terletaknya kiblat umat Islam seluruh dunia apabila mengerjakan sembahyang, menyembah Tuhan yang satu. Walaupun umat Islam ini terdiri daripada berbagai bangsa daripada suluruh dunia, yang datang daripada seluruh pelosok benua, mereka bercakap dengan berbagai bahasa, tetapi Allah mewajibkan mereka bersatu padu diatas iman yang ada dalam diri mereka. Allah menjadikan orang-orang Islam itu bersaudara, walaupun mereka berbagai bangsa dan mazhab dalam amalan agama Islam, samaada berada ditempat yang sama, dekat atau jauh. Firman Allah:

Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dikalangan saudara-saudara kamu. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu diberi rahmat”.
(Al-Hujurat:10)

Sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: “Bandingan orang-orang yang beriman itu dari segi berkasih sayang, bertimbang rasa dan bersimpati, seperti satu jasad, apabila satu anggota daripadanya mengadu sakit, maka seluruh anggota berjaga malam dan demam.

Umat Islam dizaman dahulu berpegang teguh dengan Al-Quran dan hadis nabi s.a.w, termasuk dalam perkara bersaudara diantara satu sama lain, walaupun mereka berselisih pendapat dan berbeza pemimpin, mazhab dan guru, tetapi mereka berkasih sayang dan bermaafan. Kalau mereka berselisih pendapat atau berkelahi dengan mudah sahaja mereka berdamai, kerana mereka menyelesaikan masalah dengan kembali kepada Al-Quran dan hadis nabi s.a.w. Mereka taat kepada perintah Allah dalam al-Quran:


Ertinya: “Maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam satu perkara maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (hadis Nabi s.a.w) sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itulah dia yang terbaik dan penyelesaian yang sebaik-baiknya.
(An-Nisa’: 59)



Muslimin dan muslimat yang dikasihi,
Marilah kita mengingatkan diri kita dengan wasiat Rasulullah s.a.w yang diucapkan ketika menunaikan haji selamat tinggal:

Ertinya: “Janganlah kamu menyeleweng menjadi kafir selepas aku wafat, sehingga ada dikalangan kamu memancung leher dengan pedang-pedang diantara satu sama lain”.

Perkara yang diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w telah berlaku kepada umat Islam. Perkara ini telah menjadi percakapan umum, dan semuanya sedar dan insaf. Maka semua pihak mengajak supaya bersatu padu. Sehingga hari ini masing-masing menyalahkan pihak yang lain. Kebanyakan tidak bersedia untuk mengaku bersalah dan balik semula kepangkal jalan, seperti kata Saidina Umar RadiAllahuanhu:

Ertinya: “kembali kepada yang benar itu lebih baik daripada berterusan(berpanjangan) dalam kesalahan”.


Muslimin dan muslimat yang dihormati,
Apabila kita berusaha bagi menyatukan umat Islam, hendaklah kita mengetahui punca berlakunya perpecahan dan perbalahan. Al-Quran menjelaskan bahawa punca perbalahan dikalangan manusia sama sahaja sebabnya, samaada dizaman dahulu atau dizaman sekarang. Firman Allah dalam al-Quran:


Ertinya: “Adalah manusia itu pada mulanya satu umat sahaja, maka Allah membangkitkan kepada mereka nabi-nabi, supaya nabi-nabi itu memberitahu berita baik(kepada mereka yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh) dan memberi amaran(kepada mereka yang kafir(melawan dan mengerjakan maksiat), dan Allah menurunkan kepada nabi-nabi itu kitab yang memberitahu perkara yang benar(betul), supaya menghukum dan memerintah dikalangan manusia berkenaan perkara-perkara yang menjadi perbalahan sama-sama mereka. Dan tidaklah menjadi perbalahan melainkan kerana ada dikalangan mereka yang telah diberi kitab(Allah) itu orang yang melampaui batas(tidak mahu mengikut kitab Allah itu). Maka Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman(percaya), dapat menyelesaikan perkara-perkara yang menjadi pertelingkahan(perbalahan) dengan mengetahui perkara yang sebenar(betul) dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendakinya supaya mengikut jalan yang betul”.
(Al-Baqarah: 213)


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Dengan ayat-ayat al-Quran itu sepatutnya kita mengetahui dan faham, bahawa punca perbalahan dan perpecahan apabila adanya orang yang tidak mahu mengikut kitab Allah, dan kalau kita hendak mengetahui dimana silap dan salahnya, maka hendaklah kembali kepada kitab Allah juga, seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Semua perkara ini telah ditulis oleh para ulama’ yang amanah didalam kitab-kitab karangan mereka. Oleh itu, kepada mereka yang benar-benar hendak bersatu padu maka hendaklah kembali semula kepada kitab Allah dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Kalau ada orang-orang yang mengajak bersatu padu dengan dengan cara yang lain hendaklah ditolak, kerana jalannya salah dan tidak berjaya, dan kalau dilihat berjaya pun, sementara waktu sahaja, tidak boleh bertahan lama, kalau bersatu dan bertolong menolong dikalangan manusia itu hendaklah diatas kebajikan dan bertaqwa dan Allah melarang bertolong menolong dalam perkara-perkara yang lain daripadanya, kerana firman Allah:

Ertinya: “dan bertolong-menolonglah kamu dalam perkara baik dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah itu sangat keras balasanNya”.
(Al-Maidah: 2)


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Hari ini kita melakukan ibadah korban dengan menyembelih binatang untuk beramai-ramai melakukan kerja menyembelih dan membahagikan dagingnya, dengan tujuan menghampirkan diri kepada Allah, melalui amalan berbelanja oleh mereka yang berada, supaya bersama-sama dengan masyarakat menikmati cara bekerja bergotong-royong menguruskan ibadah korban itu dan sama-sama menikmati dagingnya, bertujuan untuk mengeratkan kasih sayang diantara satu sama lain dengan ikhlas kerana Allah, bukan kerana menunjuk-nunjuk kepada sesama manusia. Sebenarnya Allah tidak berhajat kepada kita dan kitalah yang sangat berhajat kepada Allah. Firman Allah:

Ertinya: “Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarka kepada taqwa daripada kamu. Begitulah ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”. (Al-Hajj: 37)

Ketika kita berhari raya, ingatlah juga nasib yang menimpa umat Islam dibeberapa daerah dunia ini, seperti diPalestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Filipina dan lain-lain, mereka dibunuh, disembelih, diseksa dan dihalau daripada rumah dan kampung halaman. Walaupun berjuta-juta ada orang dapat mengerjakan haji, dan beratus ribu juta umat Islam diseluruh dunia pula, seolah-olah boleh diratah dan dimakan dengan mudah oleh musuh-musuh Islam, maka apalah gunanya jumlah yang ramai itu? Benarlah berlakunya hadis Rasulullah s.a.w:

Ertinya: “Umat yang lain akan berebut-rebut memakan kamu seperti orang-orang yang mengelilingi hidangan makanan. Seorang yang hadir bertanya: adakah keadaan kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w: Tidak! Bahkan kamu pada masa itu ramai, tetapi keadaan kamu seperti banyaknya buih dalam air banjir(ringan dan hanyut). Kerana Allah telah mencabut kehebatan kamu yang dirasa oleh musuh, dan Allah mengcampakkan didalam diri kamu penyakit ‘wahan’. Orang itu bertanya lagi: apakah dia ‘wahan’ itu? Jawab Rasulullah s.a.w: iaitu kasih kepada dunia (tanpa batas) dan takutkan mati”.


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Betul dan benarlah perkara yang disebut dalam hadis itu, penyakit gilakan kebendaan tidak kira halal dan haram, asalkan dapat sahaja, inilah penyakit yang ada dalam diri umat Islam dizaman ini, sehingga meninggalkan petunjuk Allah dan ajaran Nabi s.a.w, sehingga berkelahi dan berperang sama-sama Islam dengan meminta bantuan daripada musuh-musuh Islam, dalam masa yang sama perintah jihad ditinggalkan kerana takutkan mati menegakkan agama Allah.

Sepatutnya pada hari yang mulia ini, hendaklah kita mengambil contoh daripada nabi Ibrahim Alaihi Salam yang berpegang dengan agama Islam sehingga dihalau oleh ayahnya dan Raja Namrud, maka akhirnya mendapat tempat yang mulia dalam kehidupan dunia dan syurga diakhirat.

Ertinya: “dan setiap yang tidak suka kepada ajaran agama(Islam) yang dipegang oleh nabi Ibrahim, maka dia adalah orang yang membodohkan dirinya sendiri. Sesungguhnya kami memilih Ibrahim didunia ini(menjadi Rasul) dan diakhirat nanti dia termasuk dikalangan orang-orang yang soleh”. “Ingatlah apabila tuhan berkata kepadanya: serahlah dirimu(menjadi Islam yang sebenar), Ibrahim menjawab: saya Islam kerana Tuhan yang menjadi dan mentadbir ala mini”. “Ibrahim memberi wasiat kepada anak-anaknya, begitulah juga Nabi Ya’kub: Wahai anak-anak yang aku kasih, sesungguhnya Allah telah memilih kepada kamu satu agama sahaja(iaitu agama Islam), maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan menjadi orang-orang Islam”.
(al-Baqarah: 130-132)



KHUTBAH KEDUA

Muslimin dan muslimat sekalian,
Marilah pada hari raya ini, kita merasakan betapa besarnya nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah Taala, bahkan kita patut berbangga kerananya. Hanya kematian didalam Iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah sebagaimana firmanNya:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu didalam keadaan beragama Islam”.
(Al-Imran: 102)

Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan didalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan itu, hendaklah lahir didalam hati setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala bencana dan kesusahan yang menimpa umat Islam diserata pelosok dunia, sama ada mereka ditimpa bencana gempa bumi, kemiskinan dan kebuluran dinegara-negara Afrika, dan umat Islam yang sedang dijajah, dizalimi dan dibunuh serta ditindas seperti diPalestin, Iraq, Selatan Thailand dan sebagainya. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membantu mereka daripada terus ditimpa kesusahan. Jika tidak mampu membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya melalui doa dan munajat kepada Allah supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia.



Muslimin dan muslimat sekalian,
Pada hari yang mulia dan penuh barakah ini, marilah kita membanyakkan ucapan selawat dan salam keatas Nabi Muhammad s.a.w yang telah menyampaikan Islam kepada kita setelah melalui berbagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada Baginda dirakamkan melalui ucapan selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah didalam al-Quran :

Ertinya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat keatas Nabi, maka wahai orang-orang beriman, ucapkan selawat dan salam keatasnya dengan sesungguh-sungguhnya”.
(Al-Ahzab: 56)


0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008