Pengurangan peruntukan buat Kementerian Pelajaran berikutan kesan kegawatan ekonomi global sama sekali tidak menjejaskan aktiviti ko-kurikulum pelajar di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementerian itu sama sekali tidak akan meminggir keperluan pelajar, agar perkembangan mereka selari dengan aspirasi meningkatkan mutu pendidikan seterusnya merealisasikan hasrat pemupukan ke arah perpaduan kaum.
"Aktiviti ko-kurikulum adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat, bermula di peringkat sekolah apabila semua pelajar berbilang bangsa dan agama dapat bersama-sama dengan satu semangat perpaduan.
"Walaupun dengan perlaksanaan langkah penjimatan, kerajaan yakin ia tidak akan menjejaskan hasrat untuk mewujudkan negara yang harmoni," katanya ketika berucap merasmikan Gala Ko-Kurikulum Peringkat Kebangsaan 2010 di Pusat Ko-Kurikulum Kem Tangok, di Bachok, hari ini.
Hari ini dan 3hari seterusnya, saya telah ditugaskan untuk menjadi pegawai dan hakim kepada kejohanan Olahraga peringkat Daerah yang berlansung di SM Tinggi Teknik Port Dickson.
Berkaitan berita yang disiarkan diatas, sememangnya pengurangan peruntukan buat Kementerian Pelajaran pada tahun ini masih menyebabkan aktiviti kokurikulum masih berjalan tetapi perjalanannya boleh diibaratkan sebagai dahulunya berlari dan sekarang sudah mengensot. sampai memang akan sampai ke destinasi namun penat dan sangat sukar. perit dan jerihnya sangat terasa.
Andai dahulunya kita berlari, kemudian diminta untuk berjalan pastinya perubahan itu tidak terasa begitu drastik. jika pun selepas itu diminta untuk merangkak pula, pastinya tidak ramai yang mengeluh kerana peringkat kesukaran itu berperingkat. Berbeda dengan apa yang berlaku sekarang. Dari atas terus menjunam ke bawah, jika tersilap mendarat pasti ada yang akan patah kakinya.
Dalam 4hari kejohanan ini, berpanas-panasan dibawah mentari tanpa dibekalkan apa-apa pakaian seperti t-shirt dan topi kejohanan(pengubat kepenatan) serta peruntukan makanan juga tiada, pengorbanan dan kekuatan semangat sebagai seorang guru baru pastinya masih tabah cekal bertahan. Bagaimana dengan guru-guru lama yang dulu dilimpahkan dengan segala kemudahan dan pertolongan sekarang yang hanya dapat adalah elaun bertugas sebanyak RM5 sehari.
Semoga semua guru tidak kira yang baru atau lama terus tabah menghadapi segala perubahan angin orang atasan yang memberikan impak besar kepada orang bawahan. Guru mesti memainkan peranan mendidik para pelajar sebaik mungkin agar mereka menjadi insan yang punyai bukan hanya tinggi inteleknya tetapi yang lebih penting adalah nilai keperibadian mereka dahulu mesti jernih dan suci daripada segala perkara kerosakan yang membawa keburukan.
Guru Yang Bertugas Dibawah Amanah Allah,
Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,
8.09am,
5 April 2010,
Rumah Warden,
SMK Lukut,
Port Dickson, Negeri Sembilan.
0 comments:
Post a Comment