Tuesday, December 22, 2009

Gaji Pertamaku..




“Mak, nak berapa?” tuturku dengan mak melalui telefon sebaik sahaja mengetahui bahawa gaji pertamaku telah masuk.

“Ikut Pa la. Mak tak boleh minta berapa-berapa. Atas Pa nak bagi berapa untuk gaji sulong ni”. Itulah jawapan ibu yang sememangnya tidak pernah mengharapkan balasan apa-apa daripada seorang anak. Jawapan ini juga menyebabkan aku tertanya-tanya berapakah sebaiknya aku berikan kepada orang yang sangat berjasa sehingga aku menerima gaji sebanyak ini pada hari ini. Jika aku berikan semuanya pun belum dapat aku membalas segala jasa dan pengorbanan insan ini.

Sebaik sahaja pulang dan sampai dirumah, aku terus menemui mak didepan tangga luar rumah. Lantas aku berikan beberapa not kertas berjumlah RMxxxx. Mak tidak bersuara dan menunjukkan apa-apa reaksi. Tanpa mengujarkan apa-apa perkataan, aku kucup kedua belah pipi dan dahi insan tersayang ini. Mak menuturkan perkataan terima kasih.

Gaji Pertama Kemana Harus Ditumpukan
Setiap orang yang mula-mula bekerja dan bakal mendapat gaji yang pertama pastinya sudah meletakkan satu matlamat dan tujuan kemana gaji pertama ini akan mereka gunakan. Ada yang bercita-cita untuk menukar handset baru, ada yang berhajat untuk membeli motor atau kereta, ada juga yang mengimpikan untuk melancong ke destinasi menarik dan pelbagai lagi hajat, keinginan dan impian diletakkan untuk digunakan gaji pertama ini. Masing-masing bergantung kepada apa perkara pertama yang diletakkan dalam diri. Dan bagi diriku, gaji pertamaku ini kupasakkan untuk diberikan kepada ibuku.

Keduniaan Yang Menutupi
Berapa ramai manusia meletakkan keduniaan dalam hati mereka lantas hajat keduniaan ini menjadi perkara dan tujuan utama kepada diri mereka. Allah menyebut dalam al-Quran, surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud:

”Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sendagurau, perhiasan dan saling berbangga diantara kamu serta berlumba-lumba dalam kekayaan dan anak keturunan...”

Sememangnya dunia ini sungguh indah dan mempersonakan pada pandangan mata lahiriah. Segala nikmat yang ada diatas muka bumi ini dirasakan untuk dimiliki dan dikecapi. Dengan hajat yang menebal dalam diri, sesetengah manusia sanggup melakukan apa sahaja agar keinginan ini tercapai hatta sanggup melakukan kerosakan dan pengkhianatan kepada makhluk-makhluk lain. Itulah sejelek-jelek manusia.

Entah kenapa diri ini terasa tidak teruja sangat dengan gaji pertama ini. Bukan tidak gembira dengan perkara ini tetapi diri terasa tidak segembira kawan-kawan lain yang sentiasa bertanya-tanya tentangnya sebelum kemasukannya, bersoal-soal kawan lain sewaktu kemasukkannya dan berbincang-bincang kemana hendak dibelanjakan setelah kemasukkannya. Buat diriku gaji ini tidak lain adalah untuk diberikan kepada ibu tersayang.

Pengorbanan Ibu Yang Tiada Tara
Secebis sahaja aku rasakan apa yang telah diberikan kepada insan yang semakin lanjut usia ini. Aku tidak merasakan bebanan jika seluruhnya diberikan kepada beliau kerana yang ingin aku lihatkan adalah insan ini sentiasa dalam keadaan gembira dan ceria. Pengorbanan insan yang bernama ibu ini boleh dilihat oleh kita melalui pengamatan kepada ibu yang mempunyai anak kecil. Apatah lagi jika diri sendiri adalah ibu kepada anak kecil, pastinya pengorbanan ibu kepada diri kita semakin dirasai. Berjaga malam, membersihkan badan, pakaian dan kotoran kita, memberikan kita makan minum, membawa kita kesana kemari dan dalam setiap keadaan tersebut keselamatan kita pasti merupakan agenda yang pertama.

Aku pasti tiap daripada kita yang menerima gaji pertama ini punyai hasrat masing-masing untuk dipenuhi melalui penggunaannya. Aku mengharapkan insan yang bernama ibu ini tidak kita letakkan ditempat yang terkebelakang dalam penggunaan gaji pertama ini tetapi seharusnya ia merupakan tempat pertama. Selamat Menerima Gaji Pertama.


Yang Bergaji Antaranya Kerana Pengorbanan Ibuku,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
4.35pm
5 Syawal 1431H
22 Disember 2009
Rumah Luqman,
Tanjong Malim, Perak

6 comments:

MiSS WaNa HeRMan said...

salam cikgu...
bukan skrg baru 5 Muharram 1431H ka?

syahir Mohamad said...

salam..
pengorbanan ibu bapa sukar dibandaing dgn apa yg kita bagi. namun ia bukan ukuran. ia tanggungjawab kita semua. semoga gaji anta membawa keberkatan usaha anta.. chaiyok2...

Pemuda@gamA said...

salam...
gaji pertama, gaji kedua, gaji ketiga, gaji keempat,...sampai gaji terakhir pun, ada bahagiannya untuk ibu bapa.

Pun begitu, jasa budi mereka tidak ternilai harganya. Berapa benyak pun diberi tak cukup untuk membayarnya.

Kasih sayang paling bermakna untuk mereka...

tashazameri said...

cepatnye dapat gaji tg? tasha ingat pas 3 bulan baru dpt. pepun, alhamdulillah atas rezeki yg Allah berikan.... =))

Takeey @ Adin said...

pa, semoleknye gaji pertama mu blanje aku pasor malam pasir panjang.hehe

anyway, Tan sri Mokhtar Al-Bukhary pernah bercerita. separuh gaji pertamanya adalah untuk kebajikan.bukannya miliknya.tapi milik orang2 yg lagi berhak.sehingga sekarang pon sebahagian dari harta kekayaannya adalah untuk kebajikan.

itulah pesan ibuanda nya yang dipegang sampai ke hari ini.

bersama kite teladani. =)

Anonymous said...

betol 2...
niatkan gaji pertama kedua ketiga dan seterusnya utk kebajikan InsyaAllah dengan restunya rezeki akan selalu brtambah..
lebih berkat org kate...hehe

Template by - Abdul Munir - 2008