Thursday, September 25, 2008

Menjejaki LailatulQadar


Sedar tak sedar malam ni sudah masuk malam ke 26 kita berpuasa. Hanya tinggal beberapa malam sahaja lagi daripada 10mala terakhir yang dijanjikan kepada umat Islam satu ganjaran yang amat besar iaitu malam Lailatuqadar.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).

Ramadhan kali ini yang sudah menghampiri kepada pengakhirannya sudah dapat melihatkan kesan-kesan perubahan pada diri dalam kita menilai sejauh manakah amalan dan ibadat kita sepanjang hari-hari yang berlalu dalam bulan Ramadhan ini. Bagi diriku, impaknya masih jauh dirasakan, banyak perkara yang kurasakan masih aku kekalkan dalam bulan Ramadhan ini walhal bulan ini sepatutnya aku jadikan sebagai satu batu loncatan dalam meninggalkan perkara-perkara tersebut.

Ya, sebagai batu loncatan kerana bulan mulia lagi penuh keberkatan ini, syaitan-syaitan telah pun dibelenggu maka tiada lagi hasutan jahat dibisikkan kepada telinga dan hati kita pada bulan ini. Cuma yang tinggal adalah nafsu kita yang mungkin masih boleh mengajak kita kearah kemungkaran. Walaupun begitu, nafsu ini sedikit sebanyak telah dilemahkan dengan kelaparan yang kita alami pada siang hari kita berpuasa. Nah, apa lagi yang kita kehendaki dengan segala kelebihan dan ganjaran yang diberikan, kita masih tidak menggunakan peluang ini. Ayat ini lebih ditujukan kepada diriku sendiri..



Syaitan yang dibelenggu sudah bersiap sedia untuk dilepaskan kembali. Bayangkan bagaimana perasaan dan sikap syaitan saat mereka dilepaskan kelak? Sangat bengis dan penuh dengan kebencian serta dendam kepada umat manusia. Ibarat seekor anjing ganas yang telah diikat selama sebulan, penuh dengan perasaan lapar dan dahaga, walaupun tidak bertenaga tetapi atas dasar kebencian dan perasaan membuak-buak mencari makanan serta habuan, seluruh tenaga akan digunakan untuk menerkam sesiapa sahaja yang boleh dijadikan mangsanya. Justeru, marilah sama-sama kita beringat akan saat perlepasan syaitan daripada belenggu mereka pada tibanya hari Raya Aidilfitri nanti. Perubahan yang ketara akan dapat dilihatkan kepada mereka yang tidak mempunyai persiapan yang cukup sepanjang bulan Ramadhan ini dan mereka yang memanfaatkan ramadhan ini dengan sebaiknya akan dapat menangkis segala macam serangan awal daripada makhluk yang dilaknat Allah ini.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan,maka sesungguhnya dia(syaitan)menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar.kalu bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu,nescaya tidak seorang pun di antara kamu bersih(dari perbuatan keji dan mungkar itu)selama-lamanya ,tetapi Allah bersihkan siapa yang Dia kehendaki.Dan Allah Maha Mendengar,Maha Mengetahui"..(an-Nur:21)

Justeru, ana menyeru kepada diri sendiri yang masih lemah dalam memanfaatkan Ramadhan 1429H ini untuk menggunakan masa-masa berbaki ini untuk memfokuskan segala tenaga dan upaya kita meningkatkan ibadat dalam menuju ketaqwaan natijah daripada ibadat puasa ini. Lebih-lebih lagi kita sekarang berada dalam 10 malam terakhir Ramadhan, ayuh sama-sama kita menjejaki Lailatulqadar yang dijanjikan Allah Taala kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Smoga kita menemuinya dalam hayat kita ini…

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
12.47pm
26 Ramadhan 1429 H
25 / 9/ 2008
2-1-7 KHAR, UPSI

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008