Sunday, March 20, 2011

Pengguna tol diperbodohkan?



Sejak kebelakangan ini, kita sering melihat iklan yang berikut: “Bagi Perjalanan yang Lancar, Belilah ...”.

Iklan ini biasanya dipaparkan di lebuhraya sekitar negara. Persoalannya adakah pengguna tol sedang cuba diperbodohkan? Bagi menjawab soalan ini, kita perlu mengenalpasti terlebih dahulu matlamat lebuhraya dibina.

Matlamat lebuhraya dibina adalah bagi melancarkan perjalanan pengguna jalan raya. Dalam kes ini, 'kelancaran perjalanan' adalah perkhidmatan yang diberikan oleh pengendali lebuhraya.

Kita sebagai pengguna pula membayar tol sebagai 'bayaran' bagi mendapatkan 'kelancaran perjalanan'. Bagi mereka yang tidak mahu membayar tol, mereka boleh menggunakan jalan alternatif.

Saya tidak mahu bangkitkan persoalan mengenai kos lebuhraya yang tinggi, tanggungjawab kerajaan, kenaikan kadar tol yang tidak adil dan sebagainya. Mungkin itu akan dibicarakan di lain kesempatan. Namun fokus saya bagi coretan ini hanyalah mengenai iklan tersebut yang seolah cuba memperbodohkan pengguna.



Hakikatnya adalah pengguna sudah pun membayar tol. Sebagai balasan, pengendali lebuhraya perlu memberikan kelancaran perjalanan kepada pengguna.

Maka mengapakah kini pengguna seperti dipaksa pula untuk membeli kad tertentu bagi mendapatkan kelancaran perjalanan? Bayaran tol sepatutnya sudah memadai bagi pengguna mendapatkan hak mereka, iaitu kelancaran perjalanan.

Janganlah pengguna dipaksa membeli kad berkenaan pula atau bermacam lagi peralatan lain, sedangkan pengendali lebuhraya perlu menunaikan tanggungjawab mereka memberikan kelancaran perjalanan, yakni sebagai balasan bagi bayaran tol oleh pengguna.

Jika perkara ini dibiarkan berterusan, maka tidak lama lagi, akan ada pula iklan yang berbunyi: “Bagi Perjalanan yang Lancar, Belilah pula...”.

Penggunalah yang akhirnya terpaksa membayar lebih, dan lebih, dan lebih.

oleh: nisa' abdullah

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008