Sunday, January 30, 2011

TENANG TAPI RESAH


Sepanjang perjalanan meredah beberapa kawasan felda dalam menuju ke kawasan pengundian, hujan turun berderai-derai tanpa henti.


Perjalanan yang mengambil masa selama 2jam lebih sejauh 182km (mengikut bacaan kilometer yang direkod oleh keretaku) tidak terasa kepenatan yang sangat kerana perjalanan kali ini membawa seorang teman istimewa. Pendamping yang menjagaku ini menyantuniku dengan baik sekali. Kerepek ubi pedas menjadi juadah pembuka mata, penyegar minda dan pengikat kasih sayang antara kami.


Malamku Bersama Haura’

“cantik sekali nama itu” balasku kepada si isteri yang mencadangkan nama Haura’ sebagai nama panggilan kereta Viva 850 putihku. Haura’ yang bermaksud bidadari, menggambarkan peribadi yang lembut, menawan dan suci. Haura’ inilah satu-satunya yang berjantina Perempuan yang kami miliki. Antara rakan seperjuangannya yang lain adalah Hamzah, Huzaifah dan Hanzalah.


Malamnya yang tidak dapat lari daripada kesejukan menyebabkan kami berasa amat selesa bila merehatkan minda dan badan bersama Haura’. Ketiadaan gangguan daripada makhluk pengacau utama saat ketiduran iaitu nyamuk menyebabkan kami lena bersamanya.


5.00am aku menyiapkan diri untuk bermunajat bersama-sama mereka yang turut sama dalam merasakan sifat kehambaan dan memohon bantuan kepada Sang Pencipta.


Terengganu Negeri Imanku

Upu Chempelak merupakan upu yang dijaga oleh Negeri Terengganu manakala Upu Chempelak Barat merupakan upu yang dijaga oleh Negeri Sembilan. Seusai beralas perut, aku bergegas mencari kawasan bernama Chempelak. Berputar – putar di dalam kawasan felda yang jalannya menghubungkan antara satu lorong dengan lorong yang lain dengan harapan menemui Teman-teman seperjuangan di Negeri Imanku.


“Ana tidur dirumah Negeri Sembilan, tapi tak kan boleh lupa Negeri Terengganu Ustaz..” ujarku kepada Ust Wan Sukairi bilamana ditanya datang dari mana. Menemui rakan-rakan dan Ustaz-ustaz Terengganu mengubat rinduku pada negeri kelahiran walaupun keesokaannya kami akan pulang ke sana.


Proses pengundian berjalan dengan lancar walaupun sesekali wujud provokasi hasil perbalahan mulut antara dua parti ini.


Hujan masih turun tiada henti..




Tenang Tapi Resah

Hujan yang kadang-kadang lebat dan jarang-jarang renyai menyebabkan air mulai menaiki jalan untuk menyeberangi ke kawasan yang lebih rendah. Aku mendapat panggilan pada jam 3.02 menasihatiku untuk bersegera pulang kerana dibimbangi tersangkut di dalam felda ini kerana telah ada tempat-tempat yang dilaporkan telah banjir dan kenderaan tidak boleh melepasinya lagi.


Alhamdulillah Haura’ telah meredah dua kawasan air tinggi dan berjaya menembusi ujian tersebut. Hati ini berdebar-debar saat melewati kawasan air melintas jalan dengan arusnya yang agak deras. Masakan tidak, andai tersangkut disana pasti pelbagai lagi kesukaran yang kami hadapi. Namun Allah memberikan kelepasan dalam Haura’ mengharungi arus deras tersebut.


Berita kekalahan Parti Islam Semalaysia kepada Barisan Nasional dengan majoriti yang lebih besar bukan suatu kejutan buatku. Keterbuakaan minda dan penyampaian maklumat benar tidak berlaku dikalangan masyarakat felda, justeru yang mereka rasa dan harap adalah bantuan dan sumbangan daripada parti Barisan Nasional yang sekarang memegang tampuk pemerintahan Negara.


Merlimau masih menanti dan Pilihanraya Umum ke-13 dalam perkiraan. Hujan lebat, majoriti meningkat, berjaya lepas, Kerajaan akan datang belum pasti. Itulah pengalamanku di PRK N05 Tenang. Tenang Tapi Resah…


Coretan Si Pengkelana,

Tg Abd Ghafar Tg Ahmad

7.55am,

31 Januari 2011.

Springhill, Port Dickson,

Negeri Sembilan

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008