KOTA BHARU, 20 Sept: Penggunaan gelaran Sultan Muhammad V mula digunapakai dalam upacara rasmi kerajaan hari ini apabila Timbalan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan istilah tersebut dalam perhimpunan bulanan kakitangan Kota Darulnaim pagi ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata dengan pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru bergelar Sultan Muhammad V dalam suasana merayakan Aidilfitri baru-baru ini akan menambahkan lagi kekuatan rakyat dan negeri Kelantan dalam mewujudkan persekitaran Islam yang telah dibina sejak 20 tahun lalu.
“Sepanjang Ramadan yang baru saja berlalu, masyarakat Kelantan dapat merasai dengan jelas persekitaran baru yang ada di negeri ini yang begitu jauh berbeza dengan apa yang ada sebelum ditadbir dengan pendekatan Islam,” kata beliau di hadapan lebih seribu kakitangan awam.
Masjid-masjid menurut beliau dipimpin oleh imam-imam yang menghafal 30 juzuk al-Quran dan mendapat latihan kepimpinan Islam yang berkualiti.
“Bandar kita bergema dengan laungan zikir dan suasana ibadah yang mampu manjauhkan segala bentuk keburukan dan maksiat yang dimurkai,” ujar beliau.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa penjawat awam Kelantan akan muncul sebagai pasukan terbaik dengan kualiti tinggi selepas sebulan menyertai tarbiyah Ramadan.
“Pelbagai program Ramadan seperti Qiamullail, tadarus Quran, solat sunat Tarawih dan pelbagai lagi sudah pasti akan mengangkat darjat kita semua menjadi mereka yang siap sedia memikul beban berkhidmat untuk rakyat sebagai hamba Allah yang terbaik (ahsanu amala),” jelas beliau lagi.
Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias yang menjelaskan kronologi pemasyhuran Sultan baru-baru ini berharap setiap anggota kakitangan memahami dengan baik isu ini agar dapat menjadi jurucakap kerajaan jika terdapat suara-suara sumbang yang cuba mengelirukan perkara sebenar.
“Kita sedar ada pihak yang cuba menggunakan akhbar untuk menimbulkan keraguan berkaitan pemasyhuran baginda Sultan, dan menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penjelasan supaya semua pihak mendapat gambaran yang sebenar,” kata beliau.
Beliau kemudian menjelaskan dengan terperinci kaedah perlantikan Sultan yang baru berdasarkan pindaan kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri yang telah diwartakan pada 20 Julai yang lalu.
“Kita turut sukacita kerana Duli Yang Maha Mulia Sultan yang baru berkenan untuk meminda beberapa kebiasaan supaya lebih bertepatan dengan kehendak Islam,” ujar beliau.
Antara lain, Aiseri mengumumkan penggantian penggunaan Daulat Tuanku dengan Allahu Akbar dan penggunaan gelaran Sultan Muhammad ke V bagi diri baginda.
1 comments:
=)
Post a Comment