Sunday, June 14, 2009

Kemanakah Mereka Ingin Bawakan Bahtera Itu?

Alhamdulillah saya berkesempatan mengunjungi bumi Serambi Mekah baru-baru ini. Kedatangan saya ke satu-satunya negeri yang mempunyai Bandaraya Islam selama 5hari dengan tujuan utama untuk memenuhi undangan walimah sahabat-sahabat UPSI memberikan banyak manfaat.

Saya doakan kepada sahabat sahabiah yang telah memulakan second step, pembinaan Baitul Muslim ini meneruskan perjuangan mereka. Semoga langkahan ke peringkat seterusnya ini memberikan sumbangan yang besar demi kegemilangan Islam dan mengembalikan masyarakat yang kini makin hanyut dengan dunia yang amat memukau ini.

“Semoga Allah memberkatimu, dan memberkati kedua-duamu dan melimpahkan kepada kamu berdua dengan kebaikan”
- Riwayat Ahmad-


Berakhirnya cuti sekolah hari ini, menandakan berakhirnya perayaan ‘makan gulai’ Sebelum ini, sepanjang musim cuti sekolah setiap hari pasti ada jemputan undangan menghadiri walimah. Melihat kepada pasangan yang diijab kabulkan ini, terfikir difikiran saya kemana mereka ingin bawa bahtera yang dibina ini?

Atas Dasar Cinta



Melihat kepada masyarakat umum sekarang ini, apa yang boleh saya konklusikan bahawa bahtera yang dibina ini adalah atas dasar cinta sesama manusiawi. Menyintai sesama manusia itu tidaklah salah kerana sememangnya sifat ini merupakan fitrah manusia yang telah dicampakkan oleh Allah kedalam setiap hati manusia sebagaimana firmanNya:

“Wahai manusia, sungguh Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.”
Surah al-Hujurat, ayat 13.

Namun adakah sekadar itu perkahwinan itu disyariatkan? Adakah kerana sifat kecintaan sesama makhluk yang hanya bersifat keduniaan ini? Atau hanya untuk meneruskan zuriat? Atau untuk mengumpulkan harta kekayaan? Dan lebih malang untuk memuaskan nafsu semata?


Siapa yang lebih menyintai?

Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti satu kuliah subuh yang disampaikan oleh seorang ustaz yang mengajar disalah sebuah IPTA. Dalam tazkirah beliau, dilontarkan satu persoalan yang saya tidak terfikir jawapannya. Siapakah yang lebih menyintai? Si suami atau si isteri? Si anak atau mak ayahnya? Seorang adik atau abg kakaknya? Satu konsep kecintaan yang menarik telah dihuraikan. Untuk mengetahui siapakah yang lebih menyintai, perlu melihatkan tahap kecintaannya kepada Allah. Jika insan itu lebih dekat hatinya kepada Allah, nescaya lebih tinggi dan utuh kecintaannya kepada orang yang terdekat. Itulah ukuran kecintaan yang sebenar, berpaksikan kepada cinta Ilahi.

Masyarakat hari ini telah hanyut dengan duniawi yang bersifat sementara, justeru mereka meletakkan segala-galanya dihadapan demi kesejahteraan mereka di alam nyata ini. Namun sedarkah mereka bahawa mereka dan kita semua akan dikembalikan kepada Allah, suatu kehidupan yang abadi. Sedarkah? Ramai mana? Dan pasangan yang kian hari terbina ini, bahtera yang dibentuk saban hari ini, sekadar belayar di lautan dunia atau mereka punyai matlamat destinasi yang lebih jauh? Ke lautan abadi menuju kepada Yang Maha Esa…


Yang mengamati dan menginsafi,

Tengku Abdul Ghafar B Tengku Ahmad
5.57 pm
14 jun 2009
20 Jamadil akhir 1430H
Pasir Panjang,
Kuala Terengganu

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008