Ribuan orang menyertai demontrasi Pakatan Rakyat di ibu negara selepas  solat Jumaat bagi membantah serangan berdarah tentera Israel terhadap  flotila bantuan kemanusiaan pro-Palestin Isnin lalu.
  Kumpulan itu membanjiri Masjid Kampung Baru untuk menunaikan solat  Jumaat sebelum berarak beramai-ramai ke kedutaan Amerika Syarikat di  Jalan Ampang, sejauh hampir 5 kilometer.
 Dipimpin  Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka bergerak lancar  apabila tidak dihalang polis, seperti kebiasaan dalam demontrasi besar  Pakatan Rakyat sebelum ini.
 Memorandum bantahan  mereka berjaya disampaikan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat  kira-kira jam 3.30 petang tadi tanpa sebarang insiden yan tidak  diingini.
Selain itu, satu lagi kumpulan NGO  melibatkan jumlah yang lebih kecil turut berarak daripada Masjid Tabung  Haji dan berarah menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan  tersebut. GALERI FOTO
Berikut kronologi perhimpunan tersebut:
2.00pm Demonstrasi anti-Israel bermula  di Masjid Kampung Baru tanpa sebarang sekatan daripada pihak polis,  walaupun amaran telah dikeluarkan semalam.
2.30pm: Berbeza dengan perhimpunan pembangkang, perhimpunan Pemuda BN di Masjid Negara telah pun tamat. Ia hanya berlangsung 30 minit dan diisi dengan ucapan pemimpin Pemuda BN. [Baca berita penuh]
Mereka kelihatan bertakbir dan melaungkan slogan anti-Israel.
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddn dalam ucapannya berkata pihaknya berharap kerajaan sentiasa memberikan keutamaanya dan memastikan kepentingan rakyat Palestin terbela.
Slogan anti-Israel seperti "hancur Israel" dan "Khaibar ya Yahud" (perang Khaibar wahai Yahudi) dilaungkan.
Sementara satu lagi demonstrasi oleh sekumpulan aktivis NGO di Masjid Tabung Haji pimpinan Lifeline4Gaza sejak jam 2 petang tadi juga berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang.
2.55pm: Anwar dan pemimpin kanan Pakatan tiba di bangunan Tabung Haji dengan trak pikap. Mereka kini berada kira-kira 100 meter daripada kedutaan AS.
3.07pm: Kumpulan daripada Masjid Tabung Haji bersurai setelah wakil mereka Zulkifli Nani berjaya menyerahkan memorandum kepada kedutaan negara sekutu rapat Israel itu lima minit sebelum jam 3 petang tadi.
Selepas rundingan, 12 pemimpin Pakatan dibenarkan masuk bagi menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan AS.
Dalam cuaca mendung di  ibu negara, kelihatan beberapa helikopter polis berlegar di angkasa.
Selain Anwar, pemimpin Pakatan lain yang turut serta  ialah pemimpin popular DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS  Nasharuddin Mat Isa.
3.40pm Anwar  berucap kepada ribuan rakyat Malaysia setelah berjaya menyerahkan  memorandum kepada wakil kedutaan itu.
Dalam masa yang  sama, beberapa orang kelihatan membakar bendera Israel dan gambar  Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
"Saudara-saudara adalah pahlawan rakyat," kata anwar.
Katanya, dalam pertemuan dengan wakil kedutaan sebelum ini, beliau menegaskan mengutuk tindakan Israel tanpa tolak ansur.
"Amerika telah berlembut menyebabkan keganasan Israel. Kita minta Amerika mengekang kezaliman dan mendengar suara rakyat," katanya.
Anwar menjelaskan kedutaan Amerika berjanji akan membawa memorandum mereka ke Washington minggu depan.
3.50pm Kumpulan tersebut bersurai setelah mengutip kain rentang dan sampah yang dihasilkan.

0 comments:
Post a Comment