Thursday, September 22, 2011

Tengku Anis Insyirah Namanya..



Menamakan Anak
Islam mementingkan syariat dan tasyri' dalam memberikan nama kepada anak. Secara umumnya, ada dua persoalan utama dalam hal ini:

1. Waktu pemberian nama
Samurah bin Jundub melaporkan, Nabi Muhammad berkata,"Setiap anak itu ditebus dengan akikah yang disembelih pada hari ketujuh. Pada hari itu juga, ibubapa mencukur kepala anaknya dan memberikannya nama".

Hadis itu menetapkan menamakan anak pada hari ketujuh.

2. Nama yang baik dan nama yang tidak baik.
Ibubapa wajib memilih nama yang baik dan indah sesuai dengan petunjuk yang mereka terima dan sejalan dengan anjuran Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad bersabda:"Sesungguhnya pada hari kiamat, kamu dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama orang tua kamu. Dengan itu, pilihlah nama-nama yang baik"






Mencukur Rambut
Mencukur rambut ataupun membotakkan kepala pada hari ketujuh kelahiran anak termasuk dalam hukum yang disyariatkan Islam. Ibubapa kemudian boleh menimbang rambut itu dan membeli perak yang sama timbangannya. Seterusnya mereka dapat menyedekahkan perak itu kepada fakir miskin ataupun orang yang berhak menerimanya.

Anis :Teman akrab, Peramah
Insyirah :Kegembiraan, Kelegaan hati

Anis Insyirah=Peneman Kegembiraan.Moga menggembirakan abi,ummi dan ummat kelak

Yang cuba mengikuti sunnah Baginda Rasulullah s.a.w, mencukur rambut dan menamakan dengan nama yang baik, Tengku Anis Insyirah Binti Tengku Abdul Ghafar namanya..

12.42pm,
25 Syawal 1432H,
23 September 2011,
Rumah Mak Mertuaku,
Kuala Terengganu.

Wednesday, September 21, 2011

Kuning,Warna BERSIH Mengalir Dalam Mujahidah Kecil Kami.



"Ha, baju kuning. Ni sokong BERSIH la tu", seloroh seorang guru tatkala melihat saya memakai baju berwarna kuning.

Warna kuning pada ambang BERSIH 2.0 sangat popular dan menggerunkan banyak pihak sehinggakan memakainya boleh dikaitkan dengan BERSIH dan boleh ditahan jika tersilap hari memakainya(9/7/2011).

Hari ini genap hari ke-5, puteri sulung kami perlu ke klinik kesihatan gara-gara warna Kuning. Bukan BERSIH, tetapi Jaundis.

Apa itu Jaundis? Atau lebih dikenali dengan penyakit Kuning. Kebanyakan ibubapa mengetahui berkenaan penyakit ini kerana ia sering menyerang kepada anak yang baru dilahirkan, termasuk puteri sulung kami.

Lebih kurang 50% ke 60% bayi yang lahir cukup bulan mengalami demam kuning atau jaundis semasa minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas lahir. Ianya kerap berlaku kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan. Namun sebenarnya hampir semua bayi baru lahir mengalami jaundis tetapi tidak kelihatan dengan jelas. Pada setengah bayi, ia berlaku sekejab, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau hilang dengan rawatan yang ringkas sahaja. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian mata putih dan kulit berwarna kekuningan. Kesan ini akan dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagaian bawah badan. Bayi jaudis juga akan kerap tidur.

Kenapa berlakunya jaundis?

Jaundis berlaku apabila bilirubin iaitu pigmen yang berwarna kuning berkumpul di bawah kulit. Kadarnya yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan kekuningan. Apabila sel darah merah dileraikan, ia menghasilkan bilirubin. Semua darah mengandungi bilirubin dan kebiasaannya akan diproses oleh hati dan disingkir melalui pembuangan najis dan air kencing.

Ketika bayi dalam kandungan ibu, proses ini dilakukan oleh hati ibu. Jadi apabila berada diluar, proses ini mula dilakukan oleh hatinya sendiri. Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses dan membuang bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas dilahirkan. Ini menyebabkan jaundis terjadi.

Hari kelima puteri sulung kami perlu ke klinik kesihatan ini, diharapkan adalah hari pengakhiran kepada pemeriksaan penyakit kuning ini. Semalam, bacaan bilirubin menunjukkan penurunan 6mata daripada bacaan sebelum ini.

Kesian melihat ibu jari kaki puteri kami sudah kelihatan kebiruan akibat dicucuk untuk pengambilan darah.

Mudahan-mudahan Mujahidah kecil kami tabah dan kuat semangat menghadapi hari-hari awal kehadirannya di alam dunia ini.

Tabahkan hati, cekalkan semangat, warna Kuning BERSIH sudah mengalir dalam darahmu,wahai puteriku..

Yang kini bergelar Abi,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,
7.16am,
24 Syawal 1432H,
22 September 2011,
Rumah Mak Mertuaku

Friday, September 16, 2011

Lahirnya Penyeri Sulung Rumahtangga Kami



Bermula jam 4.30pagi tadi, isteriku sudah menampakkan tanda-tanda yang bakal menamatkan penantian kami. Sakitnya menjadi-jadi.

Seusai solat subuh dan berkesempatan menjamah nasi dagang dan nasi kunyit yang dimasak oleh ummi, kami bergegas ke Klinik Keluarga yang pada ketika itu kesakitan yang dirasai sudah berkurangan, tidak seperti sebelum ini.

Menemui Doktor Wan pada pagi itu, beberapa nasihat telah diberikan. Doktor menyatakan bahawa isteriku ini masih boleh bertahan lagi beberapa hari jika mahu bayi keluar dengan sendiri namun beberapa kemungkinan buruk bakal berhadapan, antaranya ialah bayi berkemungkinan terkena jangkitan kuman dan boleh menyebabkan meninggal di dalam rahim. Bayi yang sudah boleh dilahirkan pada saat ini kerana telah cukup minggunya, doktor menasihatkan agar dilahirkan segera dengan memasukkan ubat. Keputusan untuk dilahirkan segera diambil bersama.

Bermula jam 8pagi, 'contraction' pada rahim sudah mula menampakkan kesan. Jangkauan kami untuk menimang cahaya mata telah dipermudahkan oleh Allah. Hanya dalam masa hanya 3jam.

Jam 11.38, lahirlah puteri sulung kami. Dengan berat sebanyak 3.4kg, bayi ini kelihatan besar dan cukup sihat.

Mengikuti sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah, azan dilaungkan ketelinga kanan dan diiqamatkan ketelinga kiri.Moga-moga dengan diperdengarkan nama-nama kebesaran Allah ini, insan sulung kami tidak akan lalai daripada mengingati Allah dan berada dalam rahmatNya sentiasa.

Kepada juaNyalah doa yang sering dilafazkan dipinta,

"Ya Tuhan kami, kurniakan kami daripada isteri-isteri kami dan daripada zuriat keturunan kami, sebagai penyejuk mata bagi kami. Dan jadikan kami imam kepada orang-orang bertaqwa."

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
5.30pm,
14 Syawal 1432H,
16 September 2011
Klinik Keluarga, K.Terengganu.

Thursday, September 15, 2011

Bersantai Petang Dengan Si Dia Yang Menanti Saat Kelahiran




Telah sekian lama diri ingin menyentuh air pantai yang telah lama ditinggalkan. Seingat diri kali terakhir bermandi pantai ini adalah semasa praktikal di perak hampir 4tahun lalu. Bersama kawan-kawan praktikal merancang berkelah dipantai Bidor.

Semalam berkesempatan menjamah kembali laut yang seringkali ditenung tiap kali lalu di tepi pantai Port Dickson, namun pantai di Terengganu juga yg menjadi pilihan untuk dibasahkan badan ini.

Bersama isteri tersayang dan 3orang anak saudara sebagai peneman dan penyeri sebelum ketibaan cahaya mata sulong kami yang bakal diumumkan sehari dua lagi. Kalau diikutkan tarikh yang diberikan oleh Doktor, 15/9 iaitu keesokkan harinya. Namun isteriku ini masih kuat dan gagah menjalani kehidupan sehari-hari dan masih boleh bersantai bersamaku dipetang ini..

Yg menunggu hari,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
4.52pm,
15 September 2011,
Klinik Bahagia, K. Terengganu

Template by - Abdul Munir - 2008