Sunday, January 30, 2011

TENANG TAPI RESAH


Sepanjang perjalanan meredah beberapa kawasan felda dalam menuju ke kawasan pengundian, hujan turun berderai-derai tanpa henti.


Perjalanan yang mengambil masa selama 2jam lebih sejauh 182km (mengikut bacaan kilometer yang direkod oleh keretaku) tidak terasa kepenatan yang sangat kerana perjalanan kali ini membawa seorang teman istimewa. Pendamping yang menjagaku ini menyantuniku dengan baik sekali. Kerepek ubi pedas menjadi juadah pembuka mata, penyegar minda dan pengikat kasih sayang antara kami.


Malamku Bersama Haura’

“cantik sekali nama itu” balasku kepada si isteri yang mencadangkan nama Haura’ sebagai nama panggilan kereta Viva 850 putihku. Haura’ yang bermaksud bidadari, menggambarkan peribadi yang lembut, menawan dan suci. Haura’ inilah satu-satunya yang berjantina Perempuan yang kami miliki. Antara rakan seperjuangannya yang lain adalah Hamzah, Huzaifah dan Hanzalah.


Malamnya yang tidak dapat lari daripada kesejukan menyebabkan kami berasa amat selesa bila merehatkan minda dan badan bersama Haura’. Ketiadaan gangguan daripada makhluk pengacau utama saat ketiduran iaitu nyamuk menyebabkan kami lena bersamanya.


5.00am aku menyiapkan diri untuk bermunajat bersama-sama mereka yang turut sama dalam merasakan sifat kehambaan dan memohon bantuan kepada Sang Pencipta.


Terengganu Negeri Imanku

Upu Chempelak merupakan upu yang dijaga oleh Negeri Terengganu manakala Upu Chempelak Barat merupakan upu yang dijaga oleh Negeri Sembilan. Seusai beralas perut, aku bergegas mencari kawasan bernama Chempelak. Berputar – putar di dalam kawasan felda yang jalannya menghubungkan antara satu lorong dengan lorong yang lain dengan harapan menemui Teman-teman seperjuangan di Negeri Imanku.


“Ana tidur dirumah Negeri Sembilan, tapi tak kan boleh lupa Negeri Terengganu Ustaz..” ujarku kepada Ust Wan Sukairi bilamana ditanya datang dari mana. Menemui rakan-rakan dan Ustaz-ustaz Terengganu mengubat rinduku pada negeri kelahiran walaupun keesokaannya kami akan pulang ke sana.


Proses pengundian berjalan dengan lancar walaupun sesekali wujud provokasi hasil perbalahan mulut antara dua parti ini.


Hujan masih turun tiada henti..




Tenang Tapi Resah

Hujan yang kadang-kadang lebat dan jarang-jarang renyai menyebabkan air mulai menaiki jalan untuk menyeberangi ke kawasan yang lebih rendah. Aku mendapat panggilan pada jam 3.02 menasihatiku untuk bersegera pulang kerana dibimbangi tersangkut di dalam felda ini kerana telah ada tempat-tempat yang dilaporkan telah banjir dan kenderaan tidak boleh melepasinya lagi.


Alhamdulillah Haura’ telah meredah dua kawasan air tinggi dan berjaya menembusi ujian tersebut. Hati ini berdebar-debar saat melewati kawasan air melintas jalan dengan arusnya yang agak deras. Masakan tidak, andai tersangkut disana pasti pelbagai lagi kesukaran yang kami hadapi. Namun Allah memberikan kelepasan dalam Haura’ mengharungi arus deras tersebut.


Berita kekalahan Parti Islam Semalaysia kepada Barisan Nasional dengan majoriti yang lebih besar bukan suatu kejutan buatku. Keterbuakaan minda dan penyampaian maklumat benar tidak berlaku dikalangan masyarakat felda, justeru yang mereka rasa dan harap adalah bantuan dan sumbangan daripada parti Barisan Nasional yang sekarang memegang tampuk pemerintahan Negara.


Merlimau masih menanti dan Pilihanraya Umum ke-13 dalam perkiraan. Hujan lebat, majoriti meningkat, berjaya lepas, Kerajaan akan datang belum pasti. Itulah pengalamanku di PRK N05 Tenang. Tenang Tapi Resah…


Coretan Si Pengkelana,

Tg Abd Ghafar Tg Ahmad

7.55am,

31 Januari 2011.

Springhill, Port Dickson,

Negeri Sembilan

Wednesday, January 26, 2011

Kawal media Internet: Lebih ramai bantah


Langkah terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperluaskan penguatkuasaan merangkumi ruang maya Internet hari ini menerima bantahan keras daripada golongan pendukung kebebasan media.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyuarakan rasa bimbang dan kesal dengan tindakan KDN yang ingin meminda Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 (PPPA) untuk terus mengawal kebebasan media di negara ini.

Presidennya, Hata Wahari berkata ia satu "usaha ke kebelakang" yang akan menghalang aliran maklumat kepada masyarakat dan seterusnya memundurkan Malaysia.Beliau mengulas tindakan KDN untuk meminda akta tersebut supaya meliputi media dalam talian dan juga pengenalan satu garis panduan baru berkaitan kesalahan hasutan di ruang maya Internet.

"Sehubungan itu NUJ Malaysia meminta KDN agar menghentikan segala usaha untuk meminda PPPA bagi tujuan mengawal kandungan Internet termasuk laman berita, blog dan Facebook.

"Sebaliknya NUJ Malaysia menuntut agar KDN melakukan pindaan bagi memberikan kebebasan kepada media cetak untuk beroperasi dengan lebih bebas," kata Hata lagi dalam satu kenyataan hari ini.Tambahnya, kerajaan juga perlu menghapuskan ketetapan kepada pengusaha media supaya memperbaharui permit akhbar setiap tahun dan memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menerbitkan akhbar berkenaan tanpa permit KDN.


'Bantahan akan lebih meluas'

Sementara itu, seorang lagi pengamal media yang sering berdepan dengan undang-undang PPPA pula memberi peringatan kepada kerajaan bahawa beliau menjangkakan bantahan yang lebih meluas akan timbul, susulan daripada langkah penguatkuasaan baru itu.

Ketua pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman menjelaskan, peruntukan PPPA sedia ada sudahpun cukup mengekang pengusaha dan pengamal media tradisional.

Sebaliknya, penguatkuasaan ke atas laman sosial seperti Facebook akan bersifat lebih meluas kerana ia melibatkan rakyat biasa yang tidak berkepentingan politik.

Katanya, golongan yang telah mengusahakan laman web juga akan berasa marah apabila terpaksa mendapatkan permit penerbitan untuk mengendalikan laman web.

"Orang di dunia siber mudah untuk beroperasi sendiri, tiba-tiba mereka disekat, jadi saya rasa bantahan akan lebih meluas.

"Saya rasa kerajaan tidak akan dapat menduga sejauh mana bantahan ini. Saya optimis kalau kerajaan meneruskan tindakan ini, mereka akan terima bahana yang cukup teruk.

"Ini bukan lagi membabitkan sekelompok usahawan atau golongan yang ada kepentingan politik tertentu tapi membabitkan rakyat yang lebih luas," katanya lagi.


'Sikap bacul kerajaan'

Tambahnya, beliau juga akan bekerjasama dengan NGO yang mendukung kebebasan media, termasuk NUJ Malaysia untuk mendapatkan sokongan masyarakat bagi membantah tindakan kerajaan itu.Beliau turut menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan peruntukan baru seperti itu sebagai "sikap bacul kerajaan" untuk berhadapan dengan realiti politik semasa.
Jelasnya, pada waktu ini laman web dan blog dikendalikan oleh golongan yang umumnya mempunyai asas penulisan.

"Tapi laman sosial seperti Facebook dan Twitter sudah jadi proses pendemokrasian yang terbuka dan merakyatkan.

"Adakah kerajaan takut kepada suara rakyat yang kebanyakannya tidak ada motif politik untuk naikkan orang-orang tertentu?," katanya lagi.

Ahmad Lutfi juga menyifatkan pengenalan undang-undang dan garis panduan baru itu sebagai "langkah tergesa-gesa" BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Tambahnya, beliau melihat langkah itu "sarat dengan motif politik BN untuk mengekang pengaruh dan momentum Pakatan Rakyat."BN sepatutnya mengambil sikap yang lebih terbuka, sesuai dengan suasana dunia maya yang "cukup demokratik," katanya lagi.

"Siapa saja boleh hasilkan blog, jadi sepatutnya BN sendiri boleh menampilkan media (Internet) yang lebih berwibawa dan berpengaruh, bukan dengan menghalang (media pro-Pakatan Rakyat)," tambahnya.


Janji Dr M

Sementara itu, seorang lagi pengamal media yang juga penulis blog popular Datuk Ahirudin Attan berkata, tindakan kerajaan itu bertentangan dengan janji oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menapis media dalam talian.

Tambahnya, beliau memahami langkah kerajaan untuk memperketat kawalan ke atas media berkenaan disebabkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakannya.
Namun, langkah memperluas definisi 'penerbitan' untuk merangkumi kandungan dalam talian itu merupakan satu tindakan yang "bercita-cita terlalu tinggi," kata penasihat Redberry Media Group itu lagi.

Sebagai seorang wartawan dan juga seorang pengarang, beliau turut menasihati ketua setiausaha KDN supaya bertindak lebih berhati-hati dalam menangani media.

Sementara itu, pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula memerhatikan, kerajaan sebelum ini telah berkali-kali menyatakan hasrat untuk "menyekat Internet," terutama selepas kemenangan besar Pakatan pada pilihan raya umum 2008.

Cadangan 'Green Dam'

Katanya, tindakan itu juga bertentangan dengan jaminan kerajaan untuk tidak menyekat Internet melalui Rang Jaminan MSC Malaysia.

"Contohnya pada tahun 2009, Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan rancangan untuk sebuah sistem tapisan Internet, seperti perisian 'Green Dam' di China, tetapi membatalkanya selepas tentangan daripada rakyat.

"Pengumuman terbaru ini membuktikan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak putus asa dalam usaha mereka untuk menyekat hak asasi dan kebebasan politik di Malaysia.
"Di sebalik manipulasi dan kempen kerajaan, pengumuman terbaru ini membuktikan BN masih lagi terperangkap di dalam politik lama untuk mengawal dan menekan rakyat," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini.

ADUN Seri Setia itu juga berkata, kerajaan sebelum ini juga telah bertindak mengenakan tekanan ke atas pengamal media Internet.

"(Ini) termasuk penangkapan blogger, serbuan polis ke atas Malaysiakini pada tahun 2003 dan penutupan Malaysia Today," katanya lagi.

Template by - Abdul Munir - 2008