Thursday, October 28, 2010

Hab hiburan tetap salah, ulama tegur secara 'sir'

Ulama muda Umno akan sentiasa menegur segala kesilapan pemerintah, termasuk berhubung rancangan mewujudkan hab hiburan sekiranya ia bercanggah dengan ajaran Islam, kata Fathul Bari Mat Jahya.

Bagaimanapun, menurut pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) itu lagi, teguran yang dibuat mestilah dalam bentuk sir atau rahsia bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar.

“Secara prinsipnya, pusat hiburan, tidak kira di mana pun ia berada, tidak kira dibina oleh sesiapa pun, selagi ia bercanggah dengan hukum Allah, secara dasarnya ia tetap salah.

“Tetapi soal menegur, itu (hal) antara kami dan pemerintah dan tidak sewajarnya didedahkan (kepada orang ramai),” kata Fathul Bari yang menyertai Umno Jun lalu bagi tujuan “menasihati” pemimpin.

Menurut perancangan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan Isnin lalu, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, dicadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Bercakap kepada Malaysiakini lewat petang semalam, Fathul Bari menjelaskan, pandangannya itu dibuat berdasarkan contoh daripada atsar atau pertuturan sahabat Nabi Muhammad yang bernama Usamah bin Zaid.

Fahtul Bari berkata, sahabat Rasulullah itu memilih menegur kelemahan khalifah ketika itu Usman bin Affan secara tertutup dan tidak dihebahkan kepada orang ramai.

Sementara itu, mengulas bantahan pelbagai NGO Islam terhadap perkara itu, Fathul Bari berharap persoalan kepentingan Islam diutaran tanpa sikap prejus dan merentasi kepentingan politik kepartian kerana menurutnya “yang benar itu tetap benar”.

Semalam, kecuali Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), pelbagai NGO Islam mula menyuarakan bantahan keras terhadap rancangan yang disediakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Pertubuhan terbabit antaranya, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPPM) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Dijangkakan, rancangan 'kontroversi' itu bakal mengundang lebih bantahan dalam masa terdekat, termasuk daripada kalangan parti pembangkang.

Thursday, October 14, 2010

Pilihan raya Batu Sapi serentak dengan Galas

Tarikh pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi di Sabah akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil dewan undangan negeri Galas iaitu pada 4 November ini.

Manakala tarikh penamaan calon juga diadakan pada hari yang sama, iaitu 26 Oktober ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.

"Sebanyak 25,582 pemilih yang melibatkan 24,047 pengundi biasa dan 1,535 pengundi pos layak mengundi dalam pilihan raya ini," katanya.

Menurutnya, daftar pemilih yang digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan bersama dengan daftar pemilih suku tahun pertama dan kedua tahun ini yang dikemaskini pada 9 Oktober lalu.

"Sebanyak 45 saluran akan dibuka manakala 405 petugas telah dilantik bagi mengendalikan perjalanan pilihan raya ini," kata Abdul Aziz.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Mendiang menduduki kerusi itu sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

Wednesday, October 6, 2010

“Aku Bukan Insan Gagal”

“ Secara kesimpulannya saya katakan awak bertiga gagal” ucapan Pengetua Cemerlang dalam mesyuarat hari itu betul-betul mengetuk hatiku.

Persoalan mendidik dan mentarbiah adik-adik diasrama sentiasa sahaja berlegar-legar dalam benak pemikiranku. Aku adalah insan tarbiah dan aku mahu lahirkan orang yang lebih hebat dengan tarbiah yang seumpama pernahku lalui ketika dahulu dan yang bersesuaian dengan waqi’ semasa.


Namun masa yang ketat dengan jadual waktu persekolahan, aktiviti selepas waktu persekolahan, kerja-kerja persekolahan yang dibawa pulang, mesyuarat kawasan dan negeri serta beberapa lagi taklifan diperingkat alumni kampus dan alumni matrik betul-betul membutuhkan masa-masaku yang ada. Bukan niat ingin mempersoalkan segala hal-hal yang berikut, semuanya adalah baik dan perlu untuk dilalui serta dilaksanakan. Ku akui diriku masih lemah dalam bab pengurusan waktu dan perancangan akan datang.


Sejenak aku berfikir, kesibukan yang dirasai kini sampaikan usrah diasrama makin jarang dapat dilaksanakan berbanding masa terdahulu adalah kerana pengurusan waktu yang lemah ini.


Menulis Vs Semangat

Aku rasai semangat dan menulis sentiasa berkadar terus. Jika salah satunya meningkat, secara automatiknya yang satu lagi akan turut meningkat. Sekiranya salah satunya jatuh menjunam maka pasti yang satunya lagi akan turut sama jatuh tersungkur.


Begitulah halnya berkenaan diri ini. Ku kira sudah sekian lama jari jemari ini tidak pantas menari diatas keyboard ini, menghasilkan perkongsian sama kepada para pengunjung lantaran semangatku yang luntur. Kegiatan dan kerja amal Islami tetap berjalan namun semangat didalamnya kurang terasa.


Teringat kepada satu tulisan daripada seorang sahabatku yang bertajuk “mencari ghairah”. Ya, ghairahku juga kurang. Kalau dahulu hebat dikampus dalam mengejar maklumat dan isu semasa, kini ia seakan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kalau dahulu hebat dikampus mengatur perjalanan waktu daripada terbuang, kini waktu telah kerap memotong tanpa sempatku mengejarnya. Kalau dahulu hebat dikampus mengutarakan pandangan dan buah fikiran dalam mesyuarat, kini ia seakan membisu seribu bahasa.


“Ana rasa diri ini kurang performe la abang, masihkah membaca suasana lagi?” pertanyaan ini ku utarakan kepada Pengerusi PASTI Kawasanku sewaktu pulang bermesyuarat PASTI Negeri semalam. Menjadi Setiausaha tetapi tidak banyak yang aku sumbangkan dalam memperbaiki dan meningkatkan mutu serta pencapaian PASTI Unit yang ada.


Aku Bukan Insan Gagal

Iman Yazid wa Yankus, iman itu bertambah dan berkurang. Begitu juga semangat dan keteguhan hati seseorang, ia mampu meningkat dan berkurang pula pada waktu yang lain.


Kata-kata pengetua melabelkan aku gagal dalam menguruskan asrama aku nafikan dan akan aku buktikan bahawa aku bukan insan gagal. Semalam yang lepas, telah kutegaskan kepada para pelajar aspura berkenaan perkara ini.


“Cikgu tidak boleh terima kata-kata tersebut. Kalau pengetua nak labelkan orang gagal, yang pasti cikgu bukan orangnya. Selagi cikgu ada disini, insyaAllah cikgu akan perbaiki yang lemah dan kurang untuk menjadi lebih baik.. Aku bukan insan gagal!” Ujarku dengan penuh semangat kepada adik-adik asrama dalam proses pentarbiahan mereka.



Mengharapkan Bukan Insan Gagal di Akhirat Kelak,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad

10.10pm

Asrama Yam Tuan Radin

Port Dickson, Negeri Sembilan

Template by - Abdul Munir - 2008