Wednesday, July 28, 2010

Liwat II: 'Hubungan romantis' jadi tumpuan

Pemindahan timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif dari Bahagian Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara berhubung dakwaan 'hubungan romantis' dengan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah yang kedua buatnya dalam tempoh beberapa bulan.

Menurut sumber, beberapa bulan lalu, Farah pernah dipindahkan dari Bahagian Rayuan dan Perbicaraan kepada Unit Jenayah Komersial di bawah Bahagian Pendakwaan setelah dinaikkan pangkat.

Bagaimanapun setakat ini belum dipastikan kali ini bahagian mana beliau akan dipindahkan berikutan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Selasa lalu.

Selain Bahagian Pendakwaan, Rayuan dan Perbicaraan, terdapat lapan lagi bahagian, termasuk Hubungan Antarabangsa, Penggubalan, Penasihat, Kajian, Semakan dan Reform Undang-undang, Sivil dan Pengurusan.

Dua hari lalu, Abdul Gani, pada sidang akhbranya, mengesahkan Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Anwar.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.Pertunangan dibatalkan

Sebelum kejadian itu, Farah Azlina dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan tetapi membatalkannya seminggu sebelum tarikh yang dijadualkan itu. Sebab pembatalan itu juga tidak diketahui.

Sesetengah pihak juga dikatakan tidak senang dengan tindakan Abdul Gani yang memindahkan Farah Azlina dari Bahagian Pendakwaan sebelum siasatan terperinci dijalankan.

Adalah dipercayai Mohd Saiful yang dikatakan telah bertunang dengan seorang personaliti media mungkin mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan apabila “kena pada waktunya.”

Farah Azlina pada mulanya bukan sebahagian daripada pasukan asal pendakwaan dalam kes perbicaraan Anwar tetapi dibawa kemudiannya selepas seorang daripada timbalan pendakwa raya yang ditugaskan mengambil nota perbicaraan meletakkan jawatan.

Beliau mengambil alih tugas itu tetapi tidak terlibat dengan pendakwaan, kata Abdul Gani.

Perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar bersambung Isnin ini dan isu 'hubungan romantis' Farah Azlina dengan Mohd Saiful dijangka akan menjadi tumpuan.

Ini berikutan surat dari peguam Anwar kepada Abdul Gani dan Peguam Cara II Negara, Datuk I Mohd Yusof Zainal Abiden, yang juga adalah ketua pendakwa -- menuntut penjelasan berhubung 'hubungan romantis' itu.

Monday, July 26, 2010

Guru siswazah dibenarkan berpolitik semula

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di
bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

Thursday, July 15, 2010

5-dalam-1: Harga petrol, diesel, gula dan gas naik

diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.

Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.

Menurut perdana menteri, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Ia merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai esok.

Bagaimanapun, tambanya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010.

Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.

Berikut adalah harga baru:

* Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
* Diesel - RM1.75 seliter.
* Gula - RM1.70 sekilogram
* Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

* Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)

* Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)

* Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Persoalannya, walaupun dikatakan kenaikan ini adalah demi mengelakkan pengaliran subsidi kepada sasaran yang salah, tetapi akhirnya beban akan ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah.

Kerajaan perlu menjelaskan secara tepat bagaimana penjimatan dari subsidi ini akan dibelanjakan untuk faedah golongan berpendapatan rendah. Masih kita ingat ketika kenaikan harga petrol dan diesel secara besar-besaran beberapa tahun dahulu, dijanjikan wang penjimatan akan digunakan untuk memajukan perngangkutan awam tapi janji tinggal janji.

Kini dijanjikan pula penjimatan subsidi akan diagihkan kepada bidang pelajaran dan kesihatan. Umum sedia maklum kos pendidikan di Malaysia dan belanja untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan adalah di antara dilema bagi rakyat berpendapatan rendah.

Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.

Kalau benar bagai dikata, jelas rakyat bawahan telah terpaksa memikul beban ekoran ketidak mampuan pihak keselamatan menguatkuasakan undang-undang dan menjaga kedaulatan sempadan negara. Apa jaminan selepas kenaikan ini penyeludupan tidak akan berlaku lagi? Kalau penyeludupan masih berlaku, apakah harga akan dinaikkan lagi?

Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.

Benarkah harga bahan bakar di Malaysia terlalu murah sehingga dibazirkan sewenangnya oleh rakyat? Selalu kita dengar kempen jimatkan elektrik dan air tapi tidak pernah kita dengar ada kempen jimatkan penggunaan petrol dan gas.

Petrol dan diesel yang diisi ke dalam kenderaan adalah berdasarkan keperluan dan perjalanan juga berdasarkan keperluan. Amat jarang dan hampir tidak pernah terdengar rakyat yang secara suka-suka membazirkan petrol dan gas.

Hujah yang mendakwa gejala berat badan berlebihan dan diabetes mempunyai kaitan dengan harga gula perlu diperkemaskan dengan kajian saintifik dan disokong dengan fakta ilmiah. Saya berpendapat fakta ini terlalu umum dan sangat lemah untuk dipertahankan.

Tuesday, July 13, 2010

Enakmen kebebasan maklumat

Apa itu kebebasan maklumat?

Undang-undang kebebasan maklumat menetapkan peraturan dalam pemerolehan maklumat yang dipegang oleh badan-badan kerajaan. Undang-undang ini menjelaskan proses perundangan yang mewajibkan maklumat kerajaan dibuka kepada orang awam.

Tujuannya untuk menggalakkan ketelusan dan menangani rasuah. Lebih dari 70 negara di dunia, termasuk negara China, India dan negara Thai telah melaksanakan undang-undang kebebasan maklumat, dan banyak lagi dalam proses untuk berbuat demikian. Malaysia merupakan antara negara terakhir yang masih belum memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat.

Apakah Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010?

Enakmen ini bertujuan untuk “mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri.” Enakmen ini hanya berkuatkuasa kepada Kerajaan Negeri Selangor dan jabatan-jabatan di bawahnya. Jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan walaupun bertempat ataupun bertugas di negeri Selangor tidak termasuk dalam enakmen ini. Maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) juga tidak termasuk.

Bagaimanakah permohonan untuk maklumat dibuat?

Setiap jabatan kerajaan akan melantik seorang Pegawai Maklumat yang berfungsi sebagai perantara jabatan dengan orang awam dalam permohonan maklumat. Permohonan perlu dituju kepada Pegawai Maklumat yang berkenaan, dan maklumbalas wajib diberi dalam masa 30 hari ataupun 7 hari dalam kes-kes kecemasan. Sebab dan tujuan mendapatkan maklumat perlu dinyatakan dan bayaran fi yang munasabah mungkin dikenakan.

Adakah maklumat peribadi dilindungi di bawah rang undang-undang yang dicadangkan?

Maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga memang dilindungi. Sesuatu jabatan berhak menolak permohonan maklumat peribadi pihak ketiga seperti alamat rumah, maklumat yang boleh menyebabkan satu tindakan pecah kerahsiaan yang boleh didakwa, dan rahsia-rahsia perniagaan.

Walau bagaimanapun, pengecualian akan dibuat jika pihak ketiga memberi kebenaran.

Bolehkah orang kurang upaya (OKU) ataupun mereka yang buta huruf membuat permohonan?

Ya. Permohonan secara lisan boleh dibuat oleh mereka yang tidak dapat memohon secara bertulis.

Apakah had terhadap maklumat yang dapat diperolehi?

Jika maklumat yang dipohon tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis, seperti OSA, maka akses kepada maklumat tersebut juga akan tertakluk kepada undang-undang yang sama. Walau bagaimanapun, kebanyakkan maklumat kerajaan tidak tertakluk di bawah OSA. Rang undang-undang ini memudahkan akses kepada maklumat yang tidak menjejaskan operasi Kerajaan Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Permohonan boleh ditolak jika pemohon didapati tidak berhak memperolehi maklumat tersebut, maklumat tersebut tidak wujud ataupun berada di luar bidangkuasa jabatan. Permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah atau berulang juga boleh ditolak.

Bolehkah rayuan dibuat ke atas penolakan permohonan?

Ya. Satu Lembaga Rayuan yang terdiri dari bekas hakim, dan/atau peguamcara dan peguambela yang mempunyai pengalaman yang berkaitan akan ditubuhkan. Rayuan mesti dibuat dalam tempoh 21 hari selepas tarikh penerimaan keputusan.

Bilakah rang undang-undang ini akan dilaksanakan?

Proses rang undang-undang ini adalah seperti berikut:

1) Dibentangkan untuk Bacaan Pertama dan Kedua di Sidang Dewan pada Julai 2010;

2) Perundingan awam, penyelidikan dan kajian melalui Jawatankuasa Pilihan Khas;

3) Jawatankuasa Pilihan Khas akan membentangkan keputusan, cadangan dan/atau pindaan di Dewan untuk Bacaan Ketiga selewat-lewatnya pada bulan April 2011.

Maka rang undang-undang yang bakal diluluskan merupakan hasil cabang eksekutif, perundangan dan rakyat Selangor.

Friday, July 2, 2010

Buli: 59 sekolah dapat 'peringatan'

Kementerian pelajaran telah menghantar satu surat peringatan kepada 59 buah sekolah berasrama penuh di bawah seliaannya minggu lalu berhubung kegiatan buli ke atas pelajar baru, kata seorang pegawai kanan kementerian itu.

Ketua unit pengurusan disiplin sekolah berasrama penuh kementerian itu, Samsuri Omar berkata, surat peringatan berkenaan dihantar pada setiap awal sesi persekolahan.

Namun, peringatan itu penting kali ini, dengan mengambil iktibar daripada satu kejadian disyaki buli yang berlaku di Maktab Tentera Diraja (MTD) minggu lalu -- mengakibatkan seorang pelajarnya meninggal dunia.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak bertanggungjawab ke atas pengurusan disiplin di maktab berkenaan, kata Samsuri ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Jelasnya, maktab tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan, manakala Kementerian Pelajaran hanya menyelia soal kebitaraan (prestasi akademik).

Sungguhpun begitu, kementerian itu tetap menitikberatkan soal keselamatan pelajar dengan mengedarkan peringatan berkenaan minggu lalu, kata Samsuri lagi.

Menurutnya, peringatan itu adalah sebahagian daripada langkah pencegahan berterusan yang dijalankan oleh kementerian bagi membendung perbuatan buli oleh para pelajar di sekolah berasrama penuh.

"Peringatan ini adalah supaya sekolah mematuhi punca kuasa dan surat-surat pekeliling oleh kementerian pelajaran," katanya lagi.

Tambahnya, dokumen berkenaan antara lain menggariskan tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah dalam menangani kes-kes disiplin melibatkan perbuatan buli.

"(Antaranya), siasatan perlu dijalankan berdasarkan aduan yang diterima. Sekolah tidak boleh ambil tindakan sebelum tamat siasatan.

"Tapi apabila pelajar sudah didapati bersalah, mereka masih boleh buat rayuan," katanya lagi dan menambah, hukuman paling keras untuk kesalahan seperti itu adalah penyingkiran daripada sekolah.

Jelasnya lagi, segala siasatan berkenaan akan dianggap sebagai urusan dalaman pihak sekolah, melainkan sekiranya ia melibatkan siasatan polis.

"Siasatan adalah urusan dalaman pihak sekolah dan pihak lain tidak boleh campur. Tapi apabila sesuatu kes itu sampai ke peringkat siasatan polis, sekolah hanya akan membantu siasatan," katanya lagi.

Thursday, July 1, 2010

Tulang Rusuk Yang Bengkok


"Masa zaman ustaz Rosli dahulu, Ustaz ada bagi tazkirah tak kat aspuri?" Soalku kepada beberapa orang pelajar yang hadir sama bersolat diaspuri bagi menemani saya daripada keseorangan diri.

"Takde cikgu, ustaz buat perjumpaan besar di dewan makan saja"ujar salah seorang daripada mereka.

"O, takpe la kalau macam tu. Lain orang lain pendekatannya. Cikgu lebih suka untuk memberikan nasihat seusai selepas solat. Hati akan lebih tenang dan lebih mudah untuk menerima teguran. Itulah mengapa disarankan kepada ibubapa yang nak menasihati anak, suami nak menasihati isteri dan imam nak menasihati makmum, seeloknya dilakukan sebaik sahaja selepas solat"
peneranganku agak panjang kali ini agar mereka memahami mengapa cara begini yang kuambil.


Perbezaan Yang Disinergikan
Dalam artikel yang terdahulu, saya pernah menulis berkenaan "Bagaimana Mendidik Wanita?", satu penulisan yang bebentuk persoalan. Persoalan ini dilontarkan kepada pembaca dengan harapan para pembaca sekalian dapat memberikan sedikit idea ataupun pandangan tentang bagaimanakah cara yang terbaik dalam mendekati dan seterusnya mendidik jiwa-jiwa kaum hawa ini.

Wanita salah satu daripada jutaan makhluk ciptaan Allah yang mempunyai keunikannya tersendiri. Membaca buku 'Men from Mars, Women from Venus' sedikit sebanyak membuka minda dan sudut pandang saya kepada kehalusan jiwa dan ketebalan perasaan mereka. Memahami perbezaan sifat kaum ini dibandingkan dengan sifat kaum adam, membolehkan ketidaksamaan antara keduanya dijalinkan menjadi sinergi untuk mewujudkan satu kekuatan yang baru kepada kedua-dua belah pihak. Disebaliknya, jika kelainannya tidak dimengertikan maka itulah sebabnya kita melihat berlakunya keretakan hubungan disana sini.

Tulang Rusuk Yang Bengkok
Tazkirah buat pertama kali ini tidak menadakan semacam teguran tetapi ia lebih kepada bersifat umum, memberi mereka berfikir akan perkara basis kepada asas kewujudan, kesudahan, nikmat yang sering dilupakan, kehidupan sebumbung yang memerlukan persefahaman, kebaikan yang dikejari dan permusuhan yang harus diketepi dan tidak lupa menyelitkan sedikit berkenaan perasaan kasih kepada saudara semuslim di Palestin dengan membawakan isu terkini dan keseksaan mereka yang telah berabad lama untuk sama-sama dihayati dan dirasai.

Tidak saya nafikan pelbagai karenah telah didengari, dilihati dan dipendami sekian lama tentang kaum hawa ini. Namun bukan kaedah yang terbaik bagi orang baru dalam kehidupan dekat mereka untuk terus menegur secara kasar. Biarlah ia berperingkat dan memakan masa sedikit asalkan mereka dapat menerima dan tidak pula terus meletakkan satu dinding penghalang didalam pemikiran mereka. Dengan kata lain, mereka tidak terus lari.

Mendidik kaum ini memerlukan kesabaran yang tinggi, jauh sekali dengan aspura. Mereka lebih bersifat logik dan kurang sentimen perasaan. Justeru inilah dikatakan, memperbetulkan mereka haruslah dengan perlahan-lahan, jika dibiarkan ia akan terus bengkok, jika terlalu kuat ia akan patah, merekalah tulang rusuk yang bengkok.

Searching For My Ribs(tulang rusukku) To Be Straighten
Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
12.42am

2 Julai 2010
Rumah Warden,
Asrama SMK Yam Tuan Radin,
Port Dickson, Negeri Sembilan

Template by - Abdul Munir - 2008