Sunday, April 25, 2010

Aku Cinta PadaMu..

Ya Allah, dikesempatan yang Engkau berikan ini..Aku ingin menyatakan perasaan cinta dan sayangku kepadaMu. Sesungguhnya sangat banyak nikmat dan kesenangan yang kukecapi dalam kehidupan selama 24 tahun ini. Tidak terhitung dan tidak tertulis olehku jika ingin dibilang serta disenaraikan disini.


Namun disebalik kesenangan ini, ku juga ingin membuat pengakuan akan keterlalaian diri ini dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba. Sedikit benar akan masa yang ku luangkan untuk mengucapkan terima kasih dan mensyukuri nikmat yang Kau berikan padaku.

Hati ini milikMu dan kuserahkan ianya kepadaMu jua. Cinta perlu dinyatakan dalam menyuburkannya lagi agar ia terus mekar. Justeru hari ini, ku telah menyatakan kecintaan ini kepadaMu agar diriMu mengetahuinya dan menerima cintaku ini. Yang paling ku harap dalam pernyataan cintaku pada hari ini adalah Kau kekalkan perasaan cintaku ini. Hati yang selalu sahaja berbolak balik ini tidak akan mampu untuk bertahan tanpa peneguhan atau hidayah daripadaMu.

Kusedari akan masa yang paling baik untuk terus kunyatakan perasaan ini dan kuharap aku akan terus dapat bertemu, bermunajat kepadaMu disepertiga malam. Namun hati yang terlalu sensitif ini tetiba menitipkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan, ia datang dengan tiba-tiba disertakan dengan linangan air mata bercucuran tatkala alunan lagu nasyid Cinta Teragung memperdengarkan bait lirik yang sangat mencuit hati. Ku mengharapkan ia bukan kerana lirik tersebut tetapi susupan jernih hati yang inginkan kepada PenciptaNya.

Ya Allah, hidup suburkan hati ini dan jangan Kau matikan ia dengan kejauhan daripada hidayahMu. Ku ingin perasaan ini terus subur agar tiada lain yang ku harapkan melainkan KeredhaanMu dan kecintaanku kepadaMu agar ku bisa melihat wajah suciMu disuatu waktu yang pasti dihadapi kelak.



Yang MencintaiMu,
Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
4.18pm

Rumah Warden,

Asrama SMK Lukut,

Port Dickson, Negeri Sembilan

Sunday, April 18, 2010

Diriku yang banyak kekurangan


Tatkala jam hampir menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam, diri ini berada didepan komputer sambil jari jemari pantas menari diatas keyboard, menulis sesuatu untuk dipostkan diblog.

Umar al-khattab, disetiap sebelum tidur beliau, pasti tidak terlepas daripada bermuhasabah diri berkenaan perbuatan seharian semenjak membuka mata diawal pagi sehingga saat mata yang sama ingin menutup bagi merehatkan fizikal dan mental.

Diriku tidak sehebat sahabat ini, namun bermuhasabah sebelum menutup hari yang berlalu cuba diikuti.

Kelemahan Yang Melemahkan

Kelemahan diri ada yang boleh diceritakan dan ada juga dilarang untuk diperceritakan, cukup sekadar diri mengetahui kelemahan tersebut dan berusaha memperbaikinya dari masa ke masa. Sesuatu kelemahan dibahagian tertentu jika dibiarkan berpanjangan tanpa ada pemulih pembaikan, pasti akan melemahkan dibahagian yang lain pula.

Ibarat satu anggota yang saling berinteraksi antara satu sama lain, jika salah satu anggota sakit pasti anggota lain turut merasainya atau berkongsi kesakitan yang dialami. Satu contoh yang mudah adalah kesakitan pada bahagian gigi pasti akan membawa ke kepala. Mata tidak akan mampu untuk tidur, kepala terasa berdenyut-denyut, hidung boleh selsema, badan terasa lemah dan selera makan berkurangan. Pelbagai lagi anggota lain turut berkongsi sakit yang dirasai.

Perbaiki memerlukan Mujahadah

Kelemahan suatu adalah lebih sukar untuk dipulihkan daripada ingin membina sesuatu kekuatan. Jika kelemahan dapat dipulihkan pada suatu masa, kemungkinan ia untuk jatuh kembali sangat besar melainkan perubahan dan tekad telah tertanam kukuh dalam janji yang dibuat. Mujahadah untuk terus istiqamah.

Jadikan seseorang sebagai ikutan

Role model penting dalam kehidupan. Walaupun diri tidak sampai tahap menjadi seperti seseorang yang kita sanjungi, namun usaha akan tetap ada bila kita punyai peribadi contoh yang menjadi rujukan kepada kehidupan ini. Contohi kejayaan yang mereka kecapi, lihatkan peribadi dan Public Relation mereka. Contoh akan memudahkan sesuatu pembaikan.

Insan lemah,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad

12.19am

19 April 2010

Rumah Warden,

Asrama SMK Lukut,

Port Dickson, Negeri Sembilan.

Saturday, April 17, 2010

Pagi Yang ceria


Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang guru dan juga sebagai seorang warden, hujung minggu merupakan satu nikmat yang sangat dinantikan. Hujung minggu yang tiada kelas dan punyai masa yang panjang untuk melakukan kerja-kerja peribadi disamping menimba ilmu melalui pembacaan dan mengikuti pengajian agama disurau atau masjid yang disampaikan oleh orang yang hebat-hebat.

Pagi ini dirasakan sangat ceria. Pagi hari yang dimulai dengan solat subuh dan riadah bermain bola sepak bermain bola sepak bersama pelajar – pelajar asrama. Seterusnya bersarapan pagi bersama mereka dan saya luangkan juga sedikit masa untuk membasuh motor kesayangan, Hamzah Asadullah. Dan sekarang punyai masa untuk menulis dalam blog ini.

Semoga hujung minggu akan terus tiba pada minggu-minggu akan datang dan biarlah hujung minggu ini bergerak dengan perlahan-lahan. Suatu nikmat yang sangat disyukuri..

Yang punyai hujung minggu yang ceria,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad

11.54am

11 April 2010

Rumah Warden,

Asrama SMK Lukut,

Port Dickson, Negeri Sembilan

Wednesday, April 14, 2010

Parlimen Mahasiswa bakal jadi kenyataan

Pembentukan Parlimen Mahasiswa hanya dapat dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata proses pindaan perlembagaan yang membabitkan 18 universiti awam itu kini pada peringkat akhir.

"Untuk mewujudkan Parlimen Mahasiswa, kita perlu menunggu penggazetan pindaan perlembagaan universiti. Perkara ini kini berada pada peringkat Peguam Negara," katanya selepas melancarkan Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara di Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sedang dalam proses meminda perlembagaan universiti awam supaya ia selaras dengan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku).

Pada 7 Januari lalu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Mohamad Shafiq Abdul, telah menyerahkan kertas cadangan kerangka penubuhan Parlimen Mahasiswa kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dipertimbangkan.

Penubuhan Parlimen Mahasiswa itu dicadangkan golongan mahasiswa yang mahu satu saluran bagi menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menasihati golongan mahasiswa supaya tidak terbabit berkempen pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

"Kita akan memantau supaya golongan mahasiswa tidak turut serta dalam kempen pilihan raya itu," katanya.

- Bernama

Monday, April 12, 2010

::PERGINYA ULAMA' BESAR SHEIKH MUHAMMAD SAYYID TANTAWI::


11 MAC 2010, 25 RABI'UL AWAL 1431H

Syeikh Al-Azhar, Syeikh Mohamed Sayed Tantawi meninggal dunia semasa melakukan lawatan ke Arab Saudi hari ini.

Tantawi, 82, meninggal dunia di Riyadh - ibu negara Arab Saudi - selepas mengalami serangan sakit jantung, lapor agensi berita Al-Jazeera.

Tantawi banyak memberi sumbangan kepada dunia intelektual Islam dengan menghasilkan buku-buku agama, termasuk 15 jilid kitab tafsir al-Quran.

Tantawi dilahirkan pada tahun 1928. Beliau dilantik menjadi Sheikh Al-Azhar sejak 1996 di Universiti Al-Azhar - pusat pengajian sunah yang tersohor di dunia Islam.

Kematian ulama yang disegani itu sudah pasti meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada masyarakat Islam dan antarabangsa.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, anaknya, Amr Tantawi, berkata kematian bapanya merupakan satu kejutan yang tidak dapat digambarkan.

"Ahli keluarga allahyarham sudah membuat keputusan, Allah sudah memilihnya meninggal dunia di tanah Saudi, maka beliau akan dikebumikan di tanah perkuburan Al-Baqie, di Madinah, tanah suci kedua umat Islam," katanya.


Sheikh Al-Azhar meninggal dunia

KAHERAH - Syeikh Al-Azhar, Syeikh Dr. Mohamed Sayed Tantawi, seorang tokoh kontroversi di Mesir meninggal dunia semalam di Arab Saudi kerana diserang sakit jantung semasa menaiki sebuah pesawat, kata satu kenyataan akhbar.

Menurut agensi berita Mena, Sheikh Dr. Mohamed yang merupakan ketua Universiti Al-Azhar di Mesir berada di Riyadh untuk menghadiri anugerah Raja Faisal.

Syeikh Dr. Mohamed yang berumur 81 tahun itu menaiki sebuah pesawat pada awal pagi apabila beliau diserang sakit dan jatuh di tangga pesawat, lapor sebuah stesen televisyen Mesir.

Beliau kemudian dihantar ke Hospital Amir Sultan di Riyadh apabila doktor-doktor mengumumkan kematiannya.

Seorang pegawai Mesir memberitahu agensi berita AFP bahawa Sheikh Dr. Mohamed meninggal dunia kerana serangan jantung.

Menurut seorang anak lelakinya, Amr tantawi, berita kematiannya itu merupakan satu kejutan.

"Pihak keluarga memutuskan bahawa selepas tuhan memilihnya untuk meninggal dunia di tanah Arab Saudi, beliau akan dikebumikan di kawasan perkuburan Al-Baqie di bandar suci kedua, Madinah," katanya.

Sheikh Dr. Mohamed dilantik menjadi ketua Universiti Al-Azhar oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 1996.

Universiti Al-Azhar ditubuhkan pada abad ke-10 Masihi.

"Dunia Islam dan Arab telah kehilangan seorang ahli cendiakawan yang telah mendedikasikan kerja-kerjanya dan kepada setiap perkara yang mempunyai kebaikan untuk Islam, " kata Universiti Al-Azhar dalam satu kenyataan.

Ulama yang bercakap dengan nada lembut itu dan mempunyai janggut yang dinipiskan kerap dilihat memakai serban tradisi Universiti Al-Azhar yang berwarna putih.

Beliau merupakan tokoh yang kontroversi di Mesir.

Fatwa yang dikeluarkan melibatkan pelbagai topik seperti niqab, pengguguran bayi, serangan berani mati, wanita sebagai ketua solat dan berkhatan di kalangan wanita.

Namun, fatwa yang dikeluarkannya itu kerap mencetuskan perdebatan dalam dunia Islam.

Kebanyakan pihak menganggap beliau sebagai seorang kakitangan pemerintah yang berpindah ke Universiti Al-Azhar dengan tugas untuk menyebarluaskan budaya dan agama Islam di seluruh dunia sejajar dengan dasar pemerintah mesir.

"Beliau merupakan ketua Al-Azhar yang paling lemah kerana Sheikh Dr. Mohamed menganggap dirinya sebagai seorang kakitangan kerajaan," kata seorang penganalisis politik dan Islam, Kamal Habib.

Pada Oktober tahun lalu, satu perdebatan hangat berlaku selepas beliau melarang niqab iaitu pakaian yang menutup seluruh wajah perempuan di semua sekolah dan kediaman yang bersekutu dengan Universiti Al-Azhar kecuali di kelas yang mempunyai guru lelaki.

Banyak fatwa yang dikeluarkannya turut menjadi kontroversi.

Pada 2003, beliau menyatakan serangan berani mati ialah musuh kepada Islam.

Sheikh Dr. Mohamed turut menyatakan pelampau merupakan musuh kepada Islam.

Selepas serangan 11 September 2003, Sheikh Dr. Mohamed berkata: "tidak ada keberanian dalam apa jua cara untuk membunuh seorang individu yang tidak bersalah atau membunuh ribuan orang termasuk lelaki dan wanita serta kanak-kanak."

Beliau turut menolak desakan ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin laden berhubung satu perang jihad menentang Barat.

Baru-baru ini, satu majlis yang diketuai oleh ulama-ulama Islam yang diarahkan oleh beliau pada Januari lalu menyokong pembinaan halangan bawah tanah di sempadan Gaza, Palestin bagi menghalang penyeludup membawa barangan.

Pembinaan sekatan bawah tanah itu mencetuskan kutukan daripada pemimpin-pemimpin Hamas yang menguasai Gaza.

Sekatan bawah tanah itu ialah bagi menghalang barang-barang seperti makanan dan minyak termasuk senjata diseludup masuk ke Gaza.

Pada 2008, beliau mencetuskan kontroversi kerana berjabat tangan dengan Presiden Israel, Shimon Peres pada satu persidangan agama.

Sheikh itu yang mempunyai tiga anak dilahirkan pada 1928 di kampung Salim di wilayah Sohag kira-kira 290 kilometer ke selatan bandar raya Kaherah.

Pada 1966, beliau lulus dari Fakulti Teologi, Unievrsiti Al-Azhar. - AFP

Friday, April 9, 2010

MP Bandar Sibu meninggal dunia, lagi pilihan raya kecil


Ahli Parlimen Bandar Sibu Datuk Robert Lau Hoi Chew, 68, meninggal dunia awal pagi ini - membuka laluan kepada pilihan raya kecil yang ke-11 sejak 2008.

Lau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, memenangi kerusi itu pada 8 Mac 2008 dengan majoriti 3,549.

Beliau merupakan wakil rakyat kedua meninggal dunia dalam tempoh kurang tiga minggu ini.

Mendiang meninggal dunia di kediamannya di sini pagi ini setelah sekian lama menghidap barah.

Setiausaha sulitnya, Peter Hu mengesahkan Lau meninggal dunia pada pukul 11.10 pagi dan persiapan sedang diadakan untuk membawa jenazah mendiang ke kampung halamannya di Sibu.

Sunday, April 4, 2010

Maher Zain - Always Be There

Sebuah nasyid yang hebat dan punyai lirik yang sangat bermakna.. hayatilah..




Peminat Nasyid Kotemporari,
Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
9.25am,
5 April 2010
Rumah warden,
SMK Lukut,
Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pengurangan peruntukan buat Kementerian Pelajaran berikutan kesan kegawatan ekonomi global sama sekali tidak menjejaskan aktiviti ko-kurikulum pelajar

Pengurangan peruntukan buat Kementerian Pelajaran berikutan kesan kegawatan ekonomi global sama sekali tidak menjejaskan aktiviti ko-kurikulum pelajar di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementerian itu sama sekali tidak akan meminggir keperluan pelajar, agar perkembangan mereka selari dengan aspirasi meningkatkan mutu pendidikan seterusnya merealisasikan hasrat pemupukan ke arah perpaduan kaum.

"Aktiviti ko-kurikulum adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat, bermula di peringkat sekolah apabila semua pelajar berbilang bangsa dan agama dapat bersama-sama dengan satu semangat perpaduan.

"Walaupun dengan perlaksanaan langkah penjimatan, kerajaan yakin ia tidak akan menjejaskan hasrat untuk mewujudkan negara yang harmoni," katanya ketika berucap merasmikan Gala Ko-Kurikulum Peringkat Kebangsaan 2010 di Pusat Ko-Kurikulum Kem Tangok, di Bachok, hari ini.


Hari ini dan 3hari seterusnya, saya telah ditugaskan untuk menjadi pegawai dan hakim kepada kejohanan Olahraga peringkat Daerah yang berlansung di SM Tinggi Teknik Port Dickson.

Berkaitan berita yang disiarkan diatas, sememangnya pengurangan peruntukan buat Kementerian Pelajaran pada tahun ini masih menyebabkan aktiviti kokurikulum masih berjalan tetapi perjalanannya boleh diibaratkan sebagai dahulunya berlari dan sekarang sudah mengensot. sampai memang akan sampai ke destinasi namun penat dan sangat sukar. perit dan jerihnya sangat terasa.

Andai dahulunya kita berlari, kemudian diminta untuk berjalan pastinya perubahan itu tidak terasa begitu drastik. jika pun selepas itu diminta untuk merangkak pula, pastinya tidak ramai yang mengeluh kerana peringkat kesukaran itu berperingkat. Berbeda dengan apa yang berlaku sekarang. Dari atas terus menjunam ke bawah, jika tersilap mendarat pasti ada yang akan patah kakinya.

Dalam 4hari kejohanan ini, berpanas-panasan dibawah mentari tanpa dibekalkan apa-apa pakaian seperti t-shirt dan topi kejohanan(pengubat kepenatan) serta peruntukan makanan juga tiada, pengorbanan dan kekuatan semangat sebagai seorang guru baru pastinya masih tabah cekal bertahan. Bagaimana dengan guru-guru lama yang dulu dilimpahkan dengan segala kemudahan dan pertolongan sekarang yang hanya dapat adalah elaun bertugas sebanyak RM5 sehari.

Semoga semua guru tidak kira yang baru atau lama terus tabah menghadapi segala perubahan angin orang atasan yang memberikan impak besar kepada orang bawahan. Guru mesti memainkan peranan mendidik para pelajar sebaik mungkin agar mereka menjadi insan yang punyai bukan hanya tinggi inteleknya tetapi yang lebih penting adalah nilai keperibadian mereka dahulu mesti jernih dan suci daripada segala perkara kerosakan yang membawa keburukan.

Guru Yang Bertugas Dibawah Amanah Allah,

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad,
8.09am,
5 April 2010,
Rumah Warden,
SMK Lukut,
Port Dickson, Negeri Sembilan.

Thursday, April 1, 2010

USM cipta kaedah kesan daging babi

Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menemui kaedah untuk membezakan antara daging ayam dan daging babi dengan menggunakan sejenis campuran gula dinamakan “ribose”.

pig farm in melaka 110609 01Menerusi kaedah itu, daging kedua-dua haiwan berkenaan akan bertukar kepada warna tertentu apabila bertindak balas dengan bahan tersebut.

Ketua Penyelidik USM, Prof Azhar Mat Easa, berkata proses ujian itu amat mudah dan boleh dilakukan di rumah jika mempunyai peralatannya.

"Seseorang hanya perlu secebis daging dan mencampurkannya dengan gula berkenaan dan campuran ini kemudian dipanaskan dalam suhu tertentu untuk menukarkan warnanya," katanya pada sidang media di USM hari ini, yang turut dihadiri penyelidik bersama, Tan Thuan Chew dan Dr Abbas F M Alkarkhi.

Azhar, yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, berkata dengan menggunakan alat dikenali “spectrophotometer”, julat warna yang dihasilkan akan menentukan sama ada ia daging ayam atau daging babi.

Katanya, hasil ujian berkenaan akan mendapati warna daging ayam akan bertukar gelap sedikit berbanding daging babi.

NONE"Menerusi ujian berkenaan orang ramai khususnya pengguna Islam kini tidak perlu rasa was-was ingin menikmati daging ayam kerana keputusan akan diketahui dalam tempoh kurang dua jam untuk membezakannya dengan daging babi," katanya.

Azhar berkata, kaedah baru itu telah difailkan untuk paten dan ia juga boleh dimanfaatkan bagi mengatasi keraguan terhadap tahap halal daging terutamanya kepada Industri Kecil dan Sederhana.

Katanya, kaedah itu juga berguna untuk membezakan antara serbuk gelatin babi dan lembu serta boleh digunakan dalam industri makanan yang menggunakan daging serta industri daging beku.

Kos mesin spectrophotometer ialah sekitar RM25,000 manakala ribose berharga RM15 untuk setiap botol yang mengandungi sebanyak empat gram.

Template by - Abdul Munir - 2008