Wednesday, September 1, 2010

Kes 'bini puaka': Mahkamah putuskan 24 Sept

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan memutuskan pada 24 September ini sama ada wujud kes terhadap lima mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang menghadapi dakwaan cubaan khianat dengan api dan menceroboh sebuah dewan kuliah di universiti itu.

Hakim Rozana Ali Yusoff berkata, beliau akan meneliti hujah pihak peguambela dan pendakwaraya serta bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah.

Seramai 19 saksi pendakwa telah memberi keterangan. Saksi terakhir memberi keterangan di mahkamah pagi ini ialah Detektif Koperal Mohd Yaakob Ramli.

Beliau merupakan pegawai siasatan jenayah di ibu pejabat polis Daerah Brickfields yang membuat tangkapan terhadap Mohd Saufi Jelani pada 19 November tahun lalu.

Sebelum itu, mahkamah diberitahu wujudkan keraguan sama ada jenayah itu dilakukan oleh tertuduh, sedangkan ia tidak dilihat pengawal keselamatan yang menjadi saksi pendakwaraya

"Yang cuma dibawa (keterangan bahawa) oleh kerana tertuduh 1 (Mohd Izzuddin Helmi Mohd Zaini ) berada di situ pada jam 2 hingga 4 pagi pada 24 Jun dan berada di situ (kerana) menunggang motosikal, OKT telah dituduh melakukan khianat," kata peguam Mohd Arfizi Ramli yang mewakili Mohd Izzuddin Helmi.

Dalam hujahnya pagi tadi, Mohd Arfizi berkata Mohd Izzuddin berada dalam keadaan resah sewaktu ditahan oleh pengawal keselamatan merupakan satu "reaksi biasa".

"(Ini kerana) beliau ditahan dan ditanya kenapa digelapkan (nombor pendaftaran motosikal). Sudah tentu OKT berada resah.

"Di dewan, OKT kata, (dia) sanggup padam tulisan. Ketika disoal balas oleh pihak pembelaan, tiada keterangan yang jelas bahawa beliau melakukannya," hujah Mohd Arfizi lagi.

"Beliau dikelilingi lima pengawal keselamatan UM dan meletakkan kesalahan kepada OKT, sudah tentu beliau merayu dan tolong untuk memadam tulisan itu," tambahnya.

Kelima-lima mahasiswa UM itu - Mohd Izzuddin, Shazni Munir Mohd Ithnin, Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli, Muhammad Aizat Roslan dan
Muhammad Saufi Jelani - dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri perdana menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan Akademi Pengajian Islam UM pada 24 Jun tahun lalu.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Sementara itu, peguam Mohd Razlan Jalaluddin mewakil Shazni Munir, dalam hujahnya berkata, saksi pertama pendakwaraya iaitu seorang ahli kimia, dalam keterangannya sebelum ini mendakwa "tidak ada kesan bahan hidrokarbon mudah terbakar" pada barang kes.

"Kajian secara jelas tidak ada kehadiran hidrokarbon mudah terbakar," katanya sambil mendakwa kehadiran bahan yang meruap atau meresap adalah "satu anggapan".

Manakala peguam Zulhasmi Shariff yang mewakili Muhammad Aizat dan Muhammad Saufi pula, dalam hujahnya, bersetuju dengan Mohd Razlan bahawa tidak ditemui bahan untuk mencetuskan api pada permaidani.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Aidatul Azura Zainal Abidin pula menyampaikan hujahnya apabila perbicaraan bersambung petang ini.

Katanya, bau petrol yang dihidu itu, berdasarkan keterangan beberapa saksi pendakwaraya dalam prosiding tersebut.

"Dalam kes ini, bau petrol yang dihidu adalah satu fakta yang tidak perlu dijelaskan kewujudannya.

"Sebilangan saksi pendakwaan adalah pengguna (petrol) dan (dalam) keadaan biasa, pada setiap hari, (mereka) menggunakan petrol dan mengenalpasti bau petrol yang melekat pada fikiran mereka," katanya.

Menurutnya lagi, walaupun keputusan ujian kimia menemui keputusan negatif terhadap calitan petrol yang diambil, beliau memohon "budi bicara dan ketelitian mahkamah untuk menentukannya".

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008