Friday, May 21, 2010

Fakhrur Razi: Abuya takkan hidup balik

Pelbagai pihak diminta menghentikan spekulasi kononnya kematian bekas pemimpin pergerakan Al-Arqam Ashaari Muhammad mewujudkan perbalahan dalaman antara pengikut dan anggota keluarganya.

Anak lelaki sulungnya, Fakhrur Razi berkata tiada sebarang perbalahan berlaku antara anggota keluarga dan pengikutnya seperti yang didakwanya cuba digambarkan dalam laporan media.

"Apa yang dibacakan oleh adik ipar saya Sheikh Lokman Hakim (Abdul Rahim Pfordten) itulah pandangan kami.

"Kami cuma mahu teruskan sebuah model ekonomi untuk umat Islam. Harap semua pihak hentikan spekulasi. Anggota keluarga kami masih bersedih (atas pemergian Ashaari)," katanya

Dalam satu kenyataan semalam, Sheikh Lokman antaranya menjelaskan, pihaknya mengambil langkah selamat dengan menyatakan "menyatakan Abuya pulang jika kita teruskan perjuangan" kerana bimbang syarikat Ashaari, Global Ikhwan Sdn Bhd lesu dan kehilangan pekerja

Menurut Sheikh Lokman, persembahan pentomen bertajuk 'Kalahkan nafsu Abuya pulang' bukan bermaksud Ashaari akan hidup balik, sebaliknya "kembali ke negara asal dari mana dia datang".

Keluarga dan pengikut Ashaari atau Abuya hari ini dilaporkan mula berbalah berhubung kepercayaan kononnya Ashaari tidak meninggal dunia dan akan kembali dalam masa terdekat.

Sheikh Lokman - juga menantu Asaari- semalam turut dilaporkan mengakui kepercayaan itu tidak benar dan disebarkan semata-mata untuk menenangkan emosi pengikut Abuya demi menyelamatkan empayar perniagaan Global Ikhwan.

Bagaimanapun, Penasihat Ekonomi dan Korporat Global Ikhwan, Dr Aziz Hashim dilaporkan mempertahankan kenyataannya kelmarin bahawa Abuya cuma ghaib dan akan kembali dalam masa terdekat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Fakhrur Razi yang kini memangku tugas ayahnya sebagai pengerusi Global Ikhwan menjelaskan, pelbagai usaha seperti penganjuran konsert mengenang kematian Abuya hanyalah untuk "memotivasikan pengikutnya".

"Program sebegini biasa. Kita biasa buat untuk memberikan kesedaran kepada orang orang ramai," katanya.

Diminta mengulas desakan seorang anak saudara Ashaari - Mohd Fakhruddin Abdullah - supaya seorang isterinya Hatijah Aam ditahan kerajaan bagi "mengelak penyelewengan terus berleluasa", Fakhrur Razi berkata:

"Itu hak dia. Tetapi tidak mungkin polis akan ambil tindakan berdasarkan pandangan seorang individu.

"Pihak polis lebih faham (keperluan menahan seseorang)," katanya yang mendakwa Hatijah menjadi perancang utama, termasuk mengeluarkan 'fatwa' kononnya Asaari tidak meninggal dunia.

Hatijah ketika dihubungi pagi ini bagaimanapun hanya memilih 'diam seribu bahasa' dan enggan memberikan sebarang ulasan

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008