Monday, March 15, 2010

MP Bebas dicabar kosongkan kerusi

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mencabar kesemua ahli parlimen Bebas mengosongkan kerusi parlimen bagi mendapatkan mandat baru daripada pengundi kawasan masing-masing.


Menurutnya, sekiranya mereka takut tidak dapat bertanding lagi sebagai calon jika meletak jawatan, mereka boleh memilih satu lagi kaedah iaitu dengan tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan berturut-turut.


Menurut peruntukan di bawah perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, maka Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.


"Ada peruntukan 52(1), jika seseorang ahli parlimen tidak menyertai persidangan dalam enam bulan, kerusi dia kosong dan dia masih boleh bertanding sebagai calon," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.


Beliau berkata demikian semalam ketika diminta mengulas lima wakil rakyat yang kini berada di blok Bebas di parlimen.


Empat daripada mereka adalah bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baharu), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).


Zahrain, Tee Beng dan Mohsin sebelum ini mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi ahli parlimen Bebas, manakala Zulkifli dipecat daripada PKR.


Seorang lagi ahli parlimen Bebas adalah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas) yang bertanding dan menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.


Tindakan beliau kemudian dilihat sering menentang pendirian PAS dan Pakatan Rakyat sehinga beliau didesak meletak jawatan.


"Jadi lebih baik kelima-lima yang bebas ini meletak jawatan (tidak hadir parlimen), kembali ke kawasan masing-masing untuk dapatkan mandat baru," tambah Karpal.


0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008