Tuesday, May 26, 2009

SEMINAR KURSUS MURTAD

MUKADIMMAH

Akhir-akhir ini kes-kes murtad dilaporkan semakin menjadi-jadi. Ada dakwaan yang menyatakan bahawa sehingga tahun 1999 ada sebanyak 5,000 deed pool, afidavit, notis dan iklan yang mengishtiharkan niat mahu meninggalkan agama Islam. Rasa prihatin umat Islam juga dapat dilihat dengan penganjuran diskusi murtad dan demonstrasi yang meledak dengan tiba-tiba bila seorang gadis melayu di Kuala Lumpur dikatakan telah dimurtadkan oleh lelaki Katolik pada tahun 1998.

Selain itu Mahkamah Syariah hari ini telah diberi bidangkuasa khas melalui Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri masing-masing untuk memutuskan pengisytiharan sama ada seseorang itu Islam atau sebaliknya. Malangnya masih tiada apa-apa kesalahan jenayah syariah yang berkaitan kejadian murtad diadakan. Oleh itu Seminar Krisis Murtad dianjurkan untuk memahamkan situasi sebenar jenayah murtad dewasa ini dan hubungkaitnya dengan hukum syarak dan perundangan semasa. Mudah-mudahan dengan kefahaman ini, semua pihak dapat bangun berusaha mempastikan tiada lagi gejala perosak aqidah di kalangan Umat Islam di Malaysia tercinta ini.

PROGRAM

Program : Seminar Krisis Murtad
Tarikh : 30 Mei 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi – 5.00 ptg
Tempat : Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
Shah Alam, Selangor

ANJURAN

Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Selangor &
Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah. Shah Alam

PEMBENTANG :

Asas-asas Ajaran Budhha sebagai Perbandingan Agama di Malaysia
Oleh : Dr Ridhuan Tee Abdullah
Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA)

Asas-Asas Ajaran Kristian Sebagai Perbandingan Agama di Malaysia
Oleh : Hj. Muhammad Abdullah Nicholas Sylvester
Pengasas Hidayah Center JIM

Asas-Asas Ajaran Hindu Sebagai Perbandingan Agama di Malaysia
Oleh : Ust Fitri Abdullah
Pengarah Unit Da'wah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia

Peruntukan Undang-undang dan Kesan Perundangan Melibatkan Permohonan Pengisytiharan Keluar Agama
Oleh : Tuan Mahamad Naser bin Desa
Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah), Jabatan Peguam Negara

Implikasi dan Hak-hak Muallaf Mengikut Hukum Syara'
Oleh : Tuan Hj Abdul Walid bin Abu Hasan
Ketua Unit Pembangunan Undang-undang Keluarga Islam dan Sistem Kehakiman Syariah, Jabatan Peguam Negara

Krisis Murtad dan Isu-isu Terkini
Oleh : Dr Mohd Azam Adil
Pensyarah Undang-undang UiTM

BAYARAN PENYERTAAN:
Agensi Kerajaan dan swasta : RM50
Individu / Pelajar : RM10

UNTUK PENYERTAAN , HUBUNGI :

Sdra Khairunnizam : 012-291 1335
Sdra Mohd Azmi : 019-384 2920
Ust. Firdaus : 012-613 7541

Tempat adalah terhad...

Monday, May 25, 2009

Berbohong secara kompulsif

Apabila anak berbohong secara kerap ia adalah petanda awal masalah yang lebih serius.


KANAK-KANAK berbohong. Inilah satu kenyataan yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Tiada arahan atau galakan diperlukan.

Berbohong seakan sudah sebati dalam jiwa sesetengah kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-belitkan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara yang akan dilakukan sewaktu bercakap bohong.

Namun, jika kekerapan seseorang anak berbohong menjadi kompulsif dan tanpa sebab, ibu bapa mungkin perlu 'campur tangan'.

Apabila kitaran penipuan bermula, ia akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap si anak, sekali gus menyukarkan kitaran tidak sihat ini dihentikan.

Oleh sebab itulah, ibu bapa perlu bertindak meneroka sebab anak berbohong dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat buruk itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong juga adalah petanda awal kepada masalah yang lebih serius.

Berbohong cara kompulsif biasanya dikaitkan dengan penderitaan anak ekoran gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khasnya akibat penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan gangguan perilaku.

Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong secara kompulsif turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Ini termasuk mencuri, ponteng sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.

Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak selesa dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian.

Apabila berlaku situasi seperti ini, penglibatan pakar-pakar kaunseling misalnya, amat penting untuk membantu kanak-kanak ini. Kaunselor-kaunselor dapat menolong melengkapkan ibu bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak yang lebih spesifik.

Mengapa berbohong?

Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong secara kompulsif.

Takut

Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak hanyalah 'perlindungan' sementara daripada hukuman.

Namun, terdapat dua perkara penting di sini. Pertama, anak yang berbohong besar kemungkinannya tahu mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Kedua, ibu bapa perlu menerima pembohongan itu kerana anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.

Tidak hairanlah apabila teriakan bertalu-talu, sikap pemarah dan ibu bapa yang terlalu melindungi anak membuatkan mereka ketakutan. Memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar sebelum menyalahkan anak membolehkan komunikasi dua hala berlangsung.

Tabiat

Kata orang, semakin kerap kita mempraktikkan sesuatu, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Begitu juga dengan bercakap bohong. Pembohongan berulang biasanya diperkukuhkan dengan pendekatan yang agresif. Salah satu kaedah paling efektif untuk menyelesaikan pembohongan berkala adalah memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong itu. Ini harus dilakukan tanpa rasa takut akan akibat yang bakal dihadapinya.

Meniru

Sebahagian besar anak 'terpanggil' untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong. Seandainya sukar untuk ibu bapa mengawal anak daripada meniru pembohongan di luar rumah, maka buangkanlah tabiat berbohong anda terlebih dahulu. Lebih berkesan jika mereka tidak meniru tabiat berbohong di rumah dan menjadikannya tabiat.

Perlukah saya menghukum?

PERASAAN takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong.

Terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa pertimbangkan sebelum menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan anak.

1. Hukuman sememangnya direka untuk mengurangkan perilaku yang teruk. Masalahnya, hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.

2. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau akibat meniru bukan satu kaedah efektif dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal berbanding berdepan dengan simptom-simptomnya.

3. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan dilakukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada rendah seperti, "Tahu tak, mak dan ayah rasa kecewa apabila Atan berbohong?"

Yang penting, ketahuilah niat setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justeru, gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesilapannya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://webhome. idirect.com/ ~readon/lies. html.

Wednesday, May 20, 2009

“Abg Tg, minta no telefon boleh?”

Alhamdulillah perjalanan program Pengkaderan Remaja Islam tamat dengan jayanya walaupun terdapat beberapa kekurangan pada awal perjalanan program tersebut. Program yang diuruskan oleh para pelajar lepasan SPM ini telah dirancang seawal sebulan yang lalu namun fasilitator yang mengendalikan peserta pula terdiri daripada mahasiswa yang telah pulang bercuti setelah tamat peperiksaan akhir semester.



Oleh kerana program berlansung diakhir semester pengajian dikebanyakan universiti, maka ramai dikalangan para mahasiswa Terengganu masih belum pulang ke kampung dan ramai lagi diantara mereka masih dalam tempoh peperiksaan. Justeru fasilitator yang hadir hanya beberapa orang sahaja dan bercukupan dengan jumlah peserta yang hadir juga tidak seperti yang dijangkakan.



Don’t Put Prejudge To Someone

Tajuk artikel ini mungkin kelihatan pelik dan pelbagai persepsi mungkin tergambar difikiran para pembaca saat membaca tajuk artikel ini. Mungkin ada yang telah beranggapan ayat tersebut dituturkan oleh seorang perempuan kepada diri saya. Saya tidak menafikan persepsi itu kerana begitulah realiti keadaan remaja sekarang terutamanya mereka yang masih di alam persekolah.



Penggunaan telefon bimbit dikalangan pelajar sekolah kelihatan semakin membarahkan penyakit pergaulan yang sedia parah kini.



“Teknologi ini tak boleh disekat, namun kitalah yang kena fikirkan cara menyalurkan teknologi ini kearah kebaikan” saya memberi pandangan kepada seorang kawan tatkala memikirkan kerosakan akhlak para pelajar asrama berhubung penggunaan telefon bimbit.





Ilmu Fasilitator

‘Don’t Put Prejudge To Someone’ adalah salah satu daripada pelbagai ilmu yang diperlu digunakan oleh seseorang fasilitator. Perkara inilah yang aku pelajari secara praktikal sebaik sehaja selesai Program Pengkaderan Remaja Islam ini. Teorinya telah pun aku ikuti dalam program Training Of Trainer(TOT) yang disampaikan oleh Ust Hasrizal Abd Jamil beberapa hari yang lalu.



“Abg Tg cuba tengok mana-mana peserta yang nampak kurang ok, kumpulkan pada satu kumpulan dan lepas itu asing-asingkan mereka. Barulah mereka tidak membuat bising” ucap seorang urusetia memberi cadangan untuk dilaksanakan oleh fasilitator.



Seseorang fasilitator tidak boleh meletakkan sesuatu persepsi awal kepada para peserta program. Meletakkan persepsi kepada para peserta seperti yang ini ok, yang ini tak ok, yang ini boleh memberi kerjasama dan yang ini akan menyusahkan kita bukan sahaja tidak berlaku adil kepada semua peserta tetapi juga akan merosakkan program secara keseluruhan apabila fikiran bakal terganggu dengan beberapa orang yang tidak disenangi. Jika inilah persepsi fasilitator, apalah gunanya mengadakan program jika semua peserta yang hadir diharapakan sudah sebaik malaikat?



Fasilitator Berpanjangan

Memang susah nak menafikan tanggapan awal kepada semua peserta dan kita juga dibolehkan untuk membaca kelakuan para peserta untuk kita memberikan pendekatan yang berbeza pada tahap pemikiran yang berbeza. Tidak boleh kita memukul rata kepada semua peserta sedangkan penerimaan method oleh para peserta adalah berbeza-beza.



Saya juga tidak menyangka, orang yang saya sangkakan tidak mendapatkan apa-apa daripada program ini setelah mengamati daripada respon yang ditunjuki beliau sepanjang program tersebut. Namun ada sesuatu yang boleh kita gunakan untuk terus memberi secara berterusan jika peserta menunjukkan minat untuk mendekati para fasilitator. Terus menunjuki jalan secara berpanjangan kepada mereka.



“Abg Tg, minta no telefon boleh?” Syed meminta izin saya.

“O, boleh saja. Nanti message la dan jangan lupa tuliskan nama dihujung message tersebut” saya menyatakan persetujuan sambil memberi pesanan.

“abang saya nak kahwin tak lama lagi, kalau abg Tg berkelapangan jemputlah datang. Saya datang ambil abg Tg tak apa kalau tak tahu jalan” satu jemputan dihulurkan tanpa kad.



“InsyaAllah boleh, itu pun jika berkelapangan. Nanti message la tarikhnya yer”, jawabku mesra.





Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
8.21 am
14 Mei 2009
Rumahku,

Pasir Panjang,
Kuala Terengganu.

Thursday, May 7, 2009

Mauizah: Mohon ampun, tutup keaiban dosa daripada terdedah


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Apr 30, 09 | 4:54:51 pm MYT

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?" (Surah Ali Imran ayat 135)

Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT. Istighfar juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan atau kesalahan.

Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum.

Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang 'ashi, apabila melakukan perkara keji atau menganiaya dan dedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat dan mohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya.

Sesal kepada Tuhan kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.

Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram.

Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengangampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa ayat 110)

Pada ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT dan beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang sangat suka mengampunkan dosa, serta amat Kasihan Belas kepada manusia.

Mukmin yang 'ashi (derhaka) hendaklah berkeyakinan bahawa dosanya akan diampun dan dilindung daripada pandangan orang ramai, dengan syarat mereka menyesali dan taubat bermula daripada hati yang telah insaf.

Sepenuh hati berazam tidak melakukan dosa lagi, lantas lisannya menyebut 'Astaghfirullah' atau 'Lailaha illa anta inni kuntu minaz zolimin' atau Allahummaghfirli wa liwalidaiyya.

Atau katalah apa saja yang menunjukkan mereka tidak akan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan.

Insya-Allah, Tuhan akan terima taubat dan ditudungnya dosa mereka. Diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya.

Timbul rasa malu dan gerun, akhirnya akan jadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun." (Surah An-Nashr ayat 3)

Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan yang memohon ampun pada waktu sahur (sebelum fajar)." (Surah Ali Imran ayat 17)

Sifat orang mukmin ialah mereka berusaha bangun sebelum fajar untuk beristighfar kepada Allah SWT. Boleh beristighfar pada siang hari, tetapi kemungkinan beristighfar sekadar meniru orang lain.

Adapun bangun sebelum fajar adalah lambang keikhlasan kepada Allah SWT, ini kerana kebanyakkan manusia masih lena tidur.

Sesetengah sifat orang mukmin ialah hanya sedikit tidurnya pada waktu malam. Orang yang berkeadaan begini pada siang harinya tak mungkin melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT.

Sebaliknya jika seseorang beristighfar dan berzikir pada waktu malam kerana tarik perhatian jiran sebelah, supaya jirannya tahu dia bangun beramal waktu malam, nescaya tiada kesan yang positif pada siang harinya, kerana dia beramal sekadar tarik perhatian manusia.

Rasulullah s.a.w. amat gemar beristighfar dengan: "Subhanaka Allahumma wa bihamdika Allahumma Ighfirli. Innaka Antat-Tauwwabur Rahim" Yang bermaksud: "Maha suci Engkau (daripada sifat kekurangan), ya Allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuhanku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Engkau Amat penerima taubat lagi Maha Penyayang."

Lafaz istighfar hanya dihujung kalimah berbunyi "Ighfirli", tetapi dimulai dengan kata kata sanjungan dan bunga pujian.

Iaitu tasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Bertahmid memuji-Nya dengan segala Kemuliaan yang tidak terhingga.

Sebelum meminta sesuatu dari Tuhan lebih dahulu memuji-Nya dengan kata sanjungan. Inilah kaedah yang amat disukai oleh Allah SWT kerana meletakkan-Nya di tempat paling suci dan mulia, sesuai dengan sifat Keagungan Zat-Nya.

Justeru jika seseorang itu rajin bertasbih menyebut 'Subhanallah' dengan penuh kesedaran, misalnya menyebut 'Subhanallah' yang bermaksud Maha Suci Allah dari kejahilan, bererti Dia-lah Tuhan yang Maha Berilmu.

Sebut berulangkali 'Subhanallah' Maha Suci Allah dari sifat kelemahan yang lain, bererti Dia-lah Tuhan penuh dengan segala sifat Kesempurnaan. Sanjunglah Allah SWT dengan tasbih dan tahmid.

Template by - Abdul Munir - 2008