Tuesday, June 16, 2009

Apa Yang Tersurat Dihati Ibu?



Wajah sayu orang kesayangan

“Permasalahan keluarga kita, jangan kita bicarakan dengan orang lain. Biarlah hanya kita sahaja yang ketahuinya” luah hati ibuku.

Dalam kepulangan saya daripada kampus ke halaman rumah, banyak yang saya rasakan perkara yang dibincangkan bersama dan perkara-perkara ini hanya dibincangkan kepada orang-orang tertentu sahaja dalam rumah tangga. Sememangnya perkara hal rumah tangga ini tidak dibawa keluar kepada orang luar daripada rumah ini, namun perbincangannya hanya berkisar kepada beberapa orang yang diberi kepercayaan sahaja.

Sebagai seorang anak yang kedua bongsu daripada tujuh orang adik beradik, saya merasakan pengalaman dan ilmu berkaitan dengan rumah tangga amatlah cetek jika nak dibandingkan dengan abang-abng dan kakak-kakak saya yang semuanya telah pun berumahtangga. Justeru kadang-kadang saya merasakan sukar untuk saya menegur hal-hal dalam keluarga yang dinampakkan perlu diperbaiki dan diperelokkan.

Walaubagaimana pun, alhamdulillah saya punyai kekuatan tersendiri dalam meningkatkan ketaqwaan dikalangan ahli keluarga saya. Semestinya, hidayah Islam dan Iman daripada Allah serta sirah perjuangan Rasulullah menjadi tunggak kekuatan utama dalam membawa islah ini. Kehadiran ibu disisi, saya merasakan suatu nikmat yang sangat perlu dimanfaatkan tanpa dilengah-lengahkan. Melalui ibu inilah, saya merasakan perkara yang dirasakan perlu disampaikan kepada seluruh anggota keluarga ini dapat disampaikan dengan baik dan maksudnya kesampaian. InsyaAllah tekadku ingin melihat seluruh anggota keluarga ini rindukan solat secara berjemaah kelak, diri ini perlu kedepan..


Dihati Ibuku

Hati ibu amat sensitif tatkala usia semakin melewati.

“Sudah 15 hari Kak Jie tak datang rumah, esok masuk hari ke-16”. Luahan yang berbaur sedikit kekecewaan dikeluarkan dari bibir orang yang amat saya kasihi.

Terkejut juga saat mendengar keluhan ini, namun sedarlah saya bahawa ibuku ini semakin mendahagakan kasih anak-anak beliau. Dalam satu hadis yang pernah saya jumpa yang maksudnya lebih kurangnya menyatakan bahawa manusia ini berasal daripada sifat keanak-anakan dan akan kembali sifat ini tatkala usianya meningkat tua. Ibarat seorang bayi disaat kecilnya memerlukan belaian dan kasih saying daripada kedua ibubapanya. Begitu jugalah orang tua kita, setelah usianya meningkat melebihi 60tahun, saat itu akan tergambarlah perubahan sifat dan tingkahlaku kedua orang yang kita kasihi ini.

Layanlah mereka dengan layanan terbaik hatta menggambarkan keduanya merupakan anak kecil yang sentiasa ingin dimanjakan. Jika kita mampu berbuat kedua ibubapa kita sentiasa senangi dan merasa puas dengan layanan dan kasih sayang yang kita tunjukkan, percayalah bahawa Allah juga merasakan senang dengan kita.


Adik beradik saya pada hari raya tahun2003


Menjadi Anak Yang diberi Kepercayaan

Seorang ibu tatkala ingin melepaskan anak teruna atau anak daranya kepada pasangan untuk mereka, apakah yang paling dirisaukan dan difikirkan dalam pemikirannya? “

“Mampukah anakku ini berdikari?”

Persoalan inilah yang seringkali bermain dikotak pemikiran mereka apabila persoalan rumah tangga dibangkitkan kepada mereka. Persoalan ini sentiasa bermain diminda Ibu dan jarang sekali berada difikiran bapa. Itulah perbezaan sifat antara lelaki dan perempuan, ibu dan ayah. Ayah punyai keyakinan yang lebih tinggi kepada anak-anak mereka berbandung ibu yang memerlukan bukti dan melihat dengan mata mereka sendiri akan kebolehan anak mereka ini.

“Mampukah anakku ini bagi makan kepada anak gadis orang ini”

“Pandaikah anakku ini membahagiakan hati suaminya nanti? Memasak pun kurang pandai”

Bagi anak lelaki, seorang ibu sangat merisaukan berkaitan hal kewangan dan keupayaan anaknya ini untuk mencari nafkah untuk isteri dan keluarga anaknya nanti manakala bagi anak perempuan pula, risaunya berkisar kepada kelembutan dan layanan yang boleh diberikan kepada bakal suami anaknya.

Justeru apa yang perlu dibuat dalam seorang anak ini bagi menghilangkan kerisauan ini. Jawapannya mudah sahaja. Jadilah anak yang diberi kepercayaan. Jika ibubapa kita telah memberikan kepercayaan dan merasakan kita ini mampu berdikari, insyaAllah mudahlah mereka melepaskan anak-anak mereka. Berbuatlah baik dan sentiasalah membantu mereka, bukan menunggu disuruh tetapi buatlah kerja dengan usaha kita sendiri. Jangan sesekali mengelak daripada melakukan suruhan kedua jika arahan itu tidak bersalahan dengan syarak.


Dipusara ayahanda


“Mak harap nanti Pa boleh mengimami solat jenazah mak jika mak pergi dulu...”

Suatu harapan yang besar diungkapkan lagi buat sekian kaliya. Harapan ingin melihat anak beliau ini menjadi anak yang soleh.

InsyaAllah akan aku tunaikan harapan tinggi ini jika bukan diri ini yang dijemput dulu bertemu Yang Maha Agung…



Yang menjadi kebajikan tidak putus bagi arwah ayah,

Tengku Abdul Ghafar B Tengku Ahmad
4.35pm,
16 Jun 2009
Pasir Panjang, Kuala Terengganu

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008