Tuesday, March 10, 2009

Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong

Gambar hiasan: kanak-kanak yang menuntut hak mereka


Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala
Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas
beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa
Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang
telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957,
kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah
mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa
masalah yang besar dan serius. Banyak pelajar kita, beratus ribu
banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah
berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri
dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian
tinggi. Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak
bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah
berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan
panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar
bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa
Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama,
ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains
dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya
menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat
pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera,
pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains,
menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu
bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)? Tidak mereka
tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam
bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah
lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph. D.)
dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih
kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah
baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang
besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?



4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan
mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan
pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya
terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup
biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di
Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan
Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun! Tiba-tiba anak-anak kita yang
tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan
luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang
mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap
bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar
penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas
jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu
tidak maju sains dan teknologi.



5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan
PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju
dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam
bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu.
Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini
digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar
PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan
alasan itu. Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi
mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam
bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar
menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand,
Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan
negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam
bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa
Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat
menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah,
tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak
menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah
menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan
teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan
teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau
Taiwan.

Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains
dalam bahasa Inggeris.

Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di
Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains
dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan
kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.
Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina,
ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka
boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

Gambar hiasan: perarakan rakyat ke masjid negara

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar
pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa
manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara
kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan
cepat dalam bahasanya sendiri. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan
hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains
mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau
bahasa kebangsaan pengarang itu. Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak
datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel
Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian
dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah
dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik
dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula
meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan
antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk
pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik
dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak
menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum.
Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234)
murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains
dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak
menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada
511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab
dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid
menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran
matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan
peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa
Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346
murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris.
[Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai
"otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau
matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat
dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan
matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau
bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah
pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan
penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM,
UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah
Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan
90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat
kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar,
khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar. Di
beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak,
peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%.

Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang
cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA
(MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata
pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh
Profesor Emeritus Dato' Isahak Haron dari UPSI Januari 2008),
terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692
guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long
(dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di
seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik
dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama
dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya
untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu
`sudah berjaya' atau `akan berjaya', para pegawai di
Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains
dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah
boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C). Kalau cara yang
`mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar
yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin
meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan
menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik
diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini
tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak
diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak
rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan
`gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang
betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang
boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus
disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut
ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam
bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak
perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan
bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di
mana-mana sahaja ialah, `pendapat' atau `teori' yang
mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan
baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau
pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris
sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang
belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa
itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa
Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca
sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran
sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas
mengesahkan perkara ini.



16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk
membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa
asing (`foreign language') di sekolah kebangsaan untuk
memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah
mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.
Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di
luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah
diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya
diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan
berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah
salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta
manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan
Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang
tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan
Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku
berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik
sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah
Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan
berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku
Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara
Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah:
10 Rabi'ul Awal 1430 bersamaan 7 Mac 2009.

Dipetik daripada Blog Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
<http://profabdullah 1.wordpress. com/2009/ 03/08/ampun- tuanku-beribu- ribu-\
ampun-sembah- patik-semua- mohon-diampun/> , 8 Mac 2009.

[Non-text portions of this message have been removed]

0 comments:

Template by - Abdul Munir - 2008