Sunday, August 31, 2008

Muhasabahlah Selagi Ada Masa




Ana tertarik dengan satu kolum akhbar Utusan pada hari ini yang bertajuk ‘Format Baru BN disokong’. Suatu yang menarik untuk dikongsikan dan tulisan akhbar ini seakan-akan menempelak kepada diri mereka sendiri(Barisan Nasional). Namun dalam hal ini ana mengambil dua konsep yang berbeza untuk kita berfikir yang pertama adalah kepentingan golongan muda dan yang keduanya adalah muhasabah ataupun postmortem yang berterusan perlu dilakukan.


Sementara itu, di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah melaksanakan beberapa perubahan yang sesuai dengan kehendak golongan muda di negeri ini bagi menarik penyertaan mereka dalam BN.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah mengamalkan dasar tersebut menerusi pelaksanaan Dasar Gelombang Kedua yang diperkenalkan ketika pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) 2006.

Menurutnya, langkah mendekati golongan muda ini dengan memberi penjelasan berhubung dasar kerajaan adalah perlu kerana mereka akan mengambil alih kepimpinan dari barisan pemimpin sedia ada.

-Sumber Utusan 1 September 2008-

Melihatkan kepentingan warisan kepimpinan inilah Barisan Nasional mengambil pendekatan untuk menarik kembali minat golongan muda kepada parti mereka. Memang tidak dinafikan golongan muda ini sentiasa mencetuskan perubahan demi perubahan sejak zaman berzaman. Golongan ini sentiasa sahaja mencipta nama dan sejarah tersendiri dalam membawa arus pemikiran dan pertumbuhan minda yang sihat.



Syabab @ Pemuda

“ Akulah syabab penggerak kampungku kelak” beritahuku kepada kakak senior sebaik sahaja selesai membaca novel ‘Syabab Musafir Kasih’ dengan semangat berkobar-kobar sebagai seorang pemuda. Novel ‘Syabab Musafir Kasih’ amat menarik untuk dibaca, pembawaan kealam remaja seterusnya semangat juang yang ditunjukkan oleh Syabab sebagai seorang pemuda yang kuat berusaha melakukan perubahan, kisah persahabatan yang mengambil contoh sirah nabi serta penjelasan berkenaan sukarnya keadilan dalam berpoligami juga ditekankan dalam novel ini.

Golongan pemuda juga merupakan pewaris kepada sesuatu kepimpinan, Ustaz Mustafa Masyur dalam bukunya Kearah Pembinaan Generasi Muslim menyebut “Bila suatu generasi mewarisi sesuatu dari generasi yang sebelumnya yang menempuh percubaan dan pengalaman di dalam bidang-bidang hidup seperti bidang perniagaan, pertukangan, pertanian dan sebagainya, maka lebih-lebih lagi dalam soal yang sedang dibicarakan ini, dimana setiap muslim akan mewarisi pengalaman dari generasi yang sebelumnya dalam bidang dakwah, lantaran inilah wahai saudara, kamu hendaklah memulainya pada tempat yang telah kami sampai dan hendaklah kamu menyambung perjalanan ini selepas kami dan Allah s.w.t melaksanakan cita-citamu”[1].

Kita melihat kepada pengubah atau gelaran terkenalnya mujaddid. Sejarah telah membuktikan bahawa sehingga kini belum lahir seorang pun mujaddid yang kamil(sempurna). Khalifah Umar bin Abd Aziz mungkindapat mencapai kedudukan yang mulia ini, tetapi beliau tidak sempat mencapainya[2]. Golongan mujaddid ini juga merupakan golongan pemuda, Khalifah Umar Abd Aziz meninggal dunia seusia beliau 39 tahun kerana diracuni. Begitu juga Assyahid Hasan Al-Banna syahid ketika berusia 28 tahun.


Muhasabahlah selagi ada masa

Menurut Hishammuddin, Exco Pemuda UMNO sudah pun mengumpul maklum balas daripada golongan muda sejak enam bulan yang lalu.

''Golongan yang terlibat ialah profesional muda, pekerja kilang dan pemuda motor.

''Setiap parti termasuk parti-parti dalam pakatan rakyat masih lagi berasaskan perkauman. Oleh itu BN paling sesuai. Saya yakin BN boleh,'' kata Hishammuddin.

Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Samsuddin berkata, pada masa ini wujud satu trend iaitu kononnya lebih 'hebat' jika para remaja menyokong pembangkang.

''Perkembangan ini menjadi satu halangan mental dalam menarik lebih ramai golongan muda kembali kepada BN.

''Justeru BN perlu mencari satu formula di mana golongan muda akan merasa lebih yakin dan serasi dengan BN berbanding pembangkang,'' katanya.

-sumber: Utusan 1 September 2008.-

Ana cukup tertatik dengan ucapan ketua penerangan UMNO itu, dikatakan bahawa menyokong pembangkang itu sudah menjadi satu trend dan pada ana bolehlah dikatakan golongan pemuda sekarang ini terasa malu jika masih menyokong kerajaan.

Golongan muda sekarang ini bukanlah golongan yang boleh disembunyi-sembunyikan fakta dalam zaman globalisasi ini. Segala malumat dapat disampaikan dengan mudah, justeru jika akhbar perdana seperti Utusan dan Berita Harian memutar belitkan fakta, mereka hanya dapat menipu golongan-golongan veteran-veteran dikampung sahaja.

Dalam ingin mengembalikan sokongan kepada Barisan Nasional, pada ana tidak lain dan tidak bukan adalah dengan mengubah sikap dan gerak laku parti tersebut agar menjadi lebih telus, adil, saksama, tidak korupsi, tidak menzalimi sebahagian golongan dan mengenyangkan perut sebahagian golongan yang lain. Segala format selain format perubahan ini tidak akan memberikan apa-apa kesan sekiranya Barisan Nasional terus menerus dengan takuk dan sikap yang sama. Muhasabahlah selagi ada masa….


Mahasiswa Agen Perubahan Masyarakat


Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad

10.05 am

1 Ramadhan 1429 H

1 September 2008

2-1-7 KHAR, UPSI


[1] Kearah Pembinaan Generasi Muslim – Mustafa Masyur

[2] Gerakan Tajdid Islami – Abul A’la Al-Maududi


Wednesday, August 27, 2008

BANTAH KONSERT AVRIL


Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras – kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril Lavigne walaupun sebelumnya Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, malang ia diluluskan kembali apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri .

Konsert ini adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan al Mubarak pada bulan september ini.

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan biadab terhadap ummat Islam , walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.

Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 29 Ogos 2008 sekurang – kurang berhadapan dengan suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam .

Pertama ummat Islam bakal menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan . Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk seorang artis simbol seks Avril Lavigne . Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka .

Kedua , berhadapan pula dengan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 ogos . Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak – anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme . Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik , bermoral dan berdaya saing , sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.

Pembatalan konsert sebelum ini, rupanya bukanlah kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelewatan memohon permit. Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.


Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan Kerajaan UMNO dan BN , di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah?. Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?

Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam . Andai mereka tidak peduli amaran ini , Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak – agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung .

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam . Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO dan BN , mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi insyaallah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura – pura Islam mereka .

Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa agar seluruh mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti sumpah saiful bahri tetapi diharap turut menunjuk sikap bagi membersihkan bumi ini dari maksiat dan mungkar .

Yang Menjalankan Tugas
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Sunday, August 24, 2008

PERSEDIAAN MENERIMA KEDATANGAN RAMADHAN

Dalam sedar tidak sedar, Ramadhan bakal kunjung tiba seminggu sahaja daripada sekarang. Namun yang menjadi persoalan sekarang adalah bagaimana persiapan kita menerima kunjungan Ramadhan Al-Mubarak 1429 H ini.

Keadaan di Malaysia kurang terasa akan bahang ketibaan Bulan Mulia ini. Antara sebab yang pertama adalah kerana masyarakat di Malaysia itu sendiri memang kurang penghayatan dalam menyambut Ramadhan ini. Media arus perdana juga kurang atau boleh dikatakan hampir tiada lansung menghebohkan akan ketibaan ini. Yang keduanya, suasana politik Malaysia yang semakin hangat menyebabkan masyarakat lebih menumpukan kepada isu Permatang Pauh, AUKU, Sumpah, Rasuah, BPR dan sebagainya yang menjadi suapan utama media-media utama Negara.

Keadaan dan suasana di Mesir pula berbeza sekali dengan Malaysia, itulah yang dinyatakan oleh Ust Anhar dalam kuliah beliau di Masjid Jamek Tanjong Malim baru-baru ini. Di Mesir pada waktu ini sudah heboh dengan hebahan akan kunjungan bulan mulia ini yang memang dinanti-nantikan oleh kebanyakan masyarakat di sana. Masyarakat Mesir tidak menantikan sepuluh malam terakhir untuk menunaikan solat malam tetapi mereka tunaikannya diawal Ramadhan lagi. Waktu dilaksanakan pula bukan seperti di Malaysia iaitu pada pukul 3 pagi tetapi seawall pukul 12 lagi. Tidak hairan jika mereka dalam mengkhatamkan al-Quran pada pertengahan bulan lagi kerana satu juzuk dihabiskan dalam solat terawih dan satu juzuk lebih lagi dalam qiamunlail yang dilakukan.



Persiapan Demi Persiapan

Menghadapi sesuatu yang besar memerlukan persiapan yang rapi, justeru bagi yang menganggap Ramadhan adalah suatu yang besar, persiapan demi persiapan telah dilakukan.


i) Berusaha mengkhatamkan al-Quran

“ Kalau kita nak khatamkan al-Quran pada bulan ramadhan nanti, kita harus berusaha mengkhatamkan al-Quran pada bulan Rejab atau Syaaban terlebih dahulu” nasihatku pada anak usrah, juga buat diriku yang daif ini.

Antara persiapan yang boleh dilakukan kita adalah menganggap rejab dan syaaban sebagai bulan Ramadhan dimana amalan-amalan ibadah kita telah dipergandakan.

Ramadhan bukanlah bulan mengejar mengkhatamkan al-Quran tetapi usaha mengkhatamkan perlu dilakukan tanpa menidakkan tajwid, tertib dan adab-adab membaca al-Quran.


ii) Menyucikan hati

Persiapan yang paling penting adalah penyucian hati itu sendiri. Menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara makhruh apatah lagi perkara mungkar yang terlarang.


iii) Solat diawal waktu

Juga diingatkan untuk kita sama-sama berusaha menunaikan solat fardhu pada awal waktu. Solat adalah perkara utama yang akan dihisab diakhirat kelak.

“ aku rasa tahu kenapa aku beberapa hari ini selalu lewat ke kelas” rungut diriku kepada seorang sahabat. “ kenapa?” penjelasan kepada soalan itu diminta.

“ Aku kurang jaga waktu solat, selalu je solat lewat sekarang, itulah sebabnya aku rasa” muhasabah diriku.


iv) Mencari ilmu berkaitan puasa

Tidak dinafikan peri pentinguntuk kita mencari ilmu berkiatan puasa dalam usaha untuk menjadikan puasa kita sempurna dan tidak sia-sia, lapar dan dahaga semata-mata. Mencari ilmu ini boleh didapati melalui pembacaan. Disarankan membaca Kitab Fikah Mazhab Syafie jilid 2, Zakat Puasa, haji dan Umrah. Jika tidak berkesempatan untuk membaca, boleh juga mndapatkan ilmu berkaitan puasa melalui kuliah-kuliah agama disurau atau masjid. Jangan menantikan ketibaan Ramadhan baru hendak mengaji.


Doa Kedatangan Ramadhan

الللهم باركلنا فى رجب و شعبان و بلغنا رمضان

“Ya Allah, berkatilah aku di Rejab dan Syaaban, serta sampaikan aku kepada Ramadhan”

Sebaiknya doa ini sentiasa dibaca dalam setiap doa selepas solat fardhu. Para Ulama-ulama’ membaca doa ini bukan hanya pada bulan rejab dan syaaban tetapi 6 bulan sebelum kedatangan Ramadhan lagi telah diamalkan.


Ramadhan’s Song

Bagi menimbulkan rasa kebersamaan ketibaan ramadhan ini, ana mendendangkan selalu lagu-lagu yang berkaitan Ramadhan. Antara lagu-lagu yang ada adalah Iktibar Ramadhan – Raihan, Harapan Ramadhan– mambai, Ramadhan – Umar al-Amiri dan banyak lagi. Memperdengarkan lagu-lagu ini membangkitkan semangat bagi memperbaiki Ramadhan kali ini untuk menjadi yang terbaik dalam hidup.

Disini ana sertakan video Ramadhan oleh Umar al-Amiri untuk sama-sama kita menghayati, mempersiapkan diri dan seterusnya memanfaatkan dengan sungguh-sungguh waktu pada bulan yang mulia ini.


Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad

12.49 am

23 Syaaban 1429 H

25 August 2008

2-1-7 KHAR, UPSI

Tuesday, August 19, 2008

Buat kedua kalinya, Hamzah disakiti...

Hamzah yang berhujan berpanas beberapa hari


“ Kesian Hamzah, buat kedua kalinya disakiti. Apalah dosa Hamzah sampai orang sanggup sakiti dia?” monolog aku sendirian tatkala melihat sebatang pin bengkok tercucuk pada tayar motorku.

Keadaan ini telah ku jangkakan. Entah macam mana aku telah dapat merasakan sesuatu yang berlaku pada motor kesayanganku, Hamzah ‘Asadullah ( Hamzah Singa Allah). Semacam ada keterikatan hati antara aku dan dia. Nama ini aku berikan kepada motorku apabila aku membawanya ke UPSI ini. Gelaran ini sesuai dengan semangat berani yang ditunjukkan oleh Hamzah, begitu kuat berjuang dan sanggup bermujahadah dalam membawa tuannya kesana kemari sepanjang pengajian dan perjuangan di jalan Allah.

Itulah yang membuatkan aku berbangga dengan Hamzah. Tak pernah dia meragam kerana penat berjalan, menghadapi apa-apa kesakitan walaupun telah lama berkhidmat dan aku sendiri telah lama tidak menukar minyak hitam dan memandikannya. Sebagai balasan dan tanda penghargaan, aku telah berikan pakaian baru ( tukar sticker ) dan bagi telinga baru.


Disinilah Hamzah disakiti


PILIHANRAYA KAMPUS

Kali pertama Hamzah disakiti adalah pada waktu aku semester 5, saat aku menjadi wakil calon kepada salah seorang calon yang bukan daripada puak aspirasi dalam PilihanRaya Kampus waktu itu. Itu belum lagi menjadi calon, sudah dibuat sedemikian rupa. Dan kali ini sekali lagi ia berlaku walhal aku tak melakukan apa-apa pun.

Memang dinafikan saat PRK adalah antara waktu hangat dan panas sepanjang waktu pengajian dimana terdapat perlawanan dalam merebut undi bagi memenangi kerusi yang dipertandingkan. Di UPSI kes-kes kotor seperti yang dilakukan kepada Hamzah adalah suatu yang jarang berlaku dan terpencil.


Melihat dengan lebih dekat


PERINGATAN

Kepada semua jentera penggerak PRK sama ada disebelah pihak aspirasi mahupun dipihak Pro Mahasiswa, ana ingin mengingatkan agar ntum semua berlaku adil dan tidak menzalimi sesiapa. Dalam berusaha menjadi pemimpin ntum seharusnya berjiwa bersih kerana ntum adalah bakal memimpin kelak. Jika kemenangan yang ntum kecapi adalah dengan cara keji seperti yang diperlakukan kepada Hamzah, ana percaya kepimpinan ntum tidak akan kekal lama dan akan perok peranda suatu hari nanti.

Kepada insan yang telah menyakiti Hamzah, ana maafkan nta@nti. Tapi jika perbuatan ini diulangi, ana sesekali tidak akan memaafkannya. Ingatlah Allah memerhatikan setiap perlakuanmu dan doa orang yang dizalimi amat mudah dimakbulkan oleh Allah. Berjuanglah dengan cara yang sebetulnya. Pemimpin yang baik adalah mereka yang mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh Islam. Wassalam.

Kelihatan jelas pin yang digunakan


Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad

12.10 am

18 Syaaban 1429

19 / 8 / 2008

2-1-7 KHAR, UPSI

Thursday, August 14, 2008

Teruskan Perjuangan Wahai Sahabatku..


Salam perjuangan kepada semua pejuang penegak keadilan. Malam ini terdetik untuk menulis sedikit coretan berkaitan dengan perjuangan. Betapa indahnya perjuangan yang jalannya dilalui dengan jiwa kental dan tabah menghadapi segala rintangan dan ujian dihadapan. Segala mehnah dan cabaran yang mereka tempuhi tidak sedikit pun menggentarkan hati mereka bahkan membuatkan iman mereka makin bertambah kuat dan teguh. Kerana apa jiwa mereka begitu kuat? Apa yang menyebabkan mereka sanggup menghadapi segala cabaran tersebut?

Tidak lain kerana mereka mengetahui matlamat utama mereka. Mencari keredhaan Ilahi. Mengetahui bahawa hidup di dunia bukanlah segala-galanya, namun kehidupan di alam akhiratlah yang lebih utama. Justeru mereka menfokuskan kehidupan mereka kepada apa yang sepatutnya manusia fokuskan. Merekalah orang-orang yang berjaya.

Perkara ini timbul tatkala aku melihat kembali video ‘kehidupanku’. Mengimbau kembali kehidupanku yang telah berlalu, mengingatkan akan apa sebenarnya tujuan kehidupan ini dan kemanakah kesudahannya.

Tanpa disedari aku telah pun berumur 22 Tahun. Sudah tahun akhir di Universiti pengajianku. Entah berapa lama lagi hayatku didunia ini. Sahabat-sahabat ada yang sudah pergi meninggalkanku tanpa aku jangkakan seusia itu mereka telah pergi. Dan itulah kematian, datangnya tidak dijemput dan kehadirannya tidak diketahui akan masanya.. Persediaan dan kesedaran akan kehidupan inilah yang bakal menentukan kemanakah kita selepas ini.

Buat semua pejuang penegak keadilan, teruskan usaha muliamu. Jangan takut dan jangan gentar jika engkau merasakan engkau benar dan berada dilandasan yang betul. Ku doakan segala usaha dan kerahan keringatmu mendapat keberkatan dari Pencipta yang Maha Agung. Al-fatihah kepada mereka yang telah dahulu meninggalkan kita. Siiru ala barakatillah..Assalamualaikum w.b.t.

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad

2.23 am

15 / 8 / 08

2-1-7 KHAR, UPSI

Sunday, August 10, 2008

Jangan Cemari Institusi Perguruan Kami!!!

Assalamualaikum, hari Konvokesyen bagi setiap IPTA & IPTS menjanjikan kenangan manis kepada semua graduan yang bakal menerima segulung ijazah setelah beberapa tahun menuntut di institusi perbukitan ilmu masing-masing. Ada dikalangan universiti tempatan telah pun mengadakan Hari Konvokesyen ini dan banyak lagi universiti lain yang masih belum mengadakannya dan akan berlansung dalam masa terdekat ini.

Universiti Pendidikan Sultan Idris bakal mengadakan Hari Konvokesyen pada 16 ogos nanti. UPSI yang merupakan antara universiti tertua di malaysia ini telah melahirkan ramai pejuang kemerdekaan dahulu dan tokoh pemikir dahulu mahupun sekarang. Mengisi hari-hari Konvokesyen ini, pihak bertanggungjawab yang menguruskan program ini telah merancang untuk mengadakan satu konsert yang dinamakan konsert Fiesta.

Selaku penuntut di Universiti terulung ini dan bakal guru kelak ana menyatakan bantahan kepada penganjuran konsert tersebut yang manfaatnya tidaklah seberapa tetapi mudharat yang bakal ditemui kelak. Disini ana sertakan satu surat terbuka yang ditulis oleh sahabat ana. sama- sama kita fikirkankan:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam perpaduan.
Surat terbuka ini ditulis adalah untuk mengajak pihak penganjur khususnya dan mahasiswa UPSI bakal guru amnya berfikir dengan fikiran yang bersih dan rasional. Penulisan ini adalah atas dasar rasa tanggungjawab saya untuk memberi teguran di samping bantahan terhadap sesuatu perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada masyarakat UPSI khususnya dan masyarakat Tanjong Malim umumnya.

Universiti Pendidikan Sultan Idris mendokong nama yang cukup bermakna berbanding universiti-universiti awam tanah air yang lain. Perkataan ”pendidikan” memberikan suatu gambaran yang cukup jelas di mana mahasiswa-mahasiswinya bakal menjadi guru yang akan mencorakkan masa hadapan negara. Sebagai seorang mahasiswa UPSI saya cukup berbangga kerana UPSI memiliki sejarah yang unggul yang mana dahulunya pernah melahirkan tokoh-tokoh yang berwibawa seperti Pendeta Za’ba, Harun Aminurrashid serta golongan guru-guru yang menyumbang kepada perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air yang tercinta.

Sungguh, atas dasar perkara yang saya sebutkan di atas, maka saya ingin menyatakan teguran dan bantahan secara terbuka terhadap anjuran Konsert Fiesta Bersama DiGi supaya semua mahasiswa UPSI sedar dan mengambil pengajaran. Minggu ini saya cukup terkejut melihat iklan konsert berkenaan yang mana artis-artis jemputannya terdiri daripada Aesar Mustapha, Dina, Boboy dan Azizi. Saya sungguh hairan, dalam kerancakan kempen Cikgu Bitara, Majlis Tilawah al-Quran (baru selesai) dan Kempen Semarakkan Islam yang sedang berlangsung, bagaimana konsert sebegini boleh diwujudkan di bumi pendidik UPSI yang mulia ini.

Saya juga tidak nampak di mana manfaatnya konsert sebegini dijalankan melainkan mendapatkan publisiti, menyuburkan budaya hedonism, serta menghiburkan mereka-mereka yang lalai.

Tunjukkan kepada saya didikan apa yang boleh mereka berikan? Tunjukkan kepada saya pedoman apa yang boleh mereka tunjukkan? Model sahsiah? Model personaliti? Apa contoh yang boleh kita ikut?

Sungguh!! Sangat memalukan. Saya tidak rela konsert sebegini mencemari UPSI.

UPSI bumi pendidik! Bumi para pejuang kemerdekaan!

Saya percaya, kebanyakan bekas penuntut SITC, MPSI, IPSI dan UPSI yang cintakan pendidikan semestinya tidak rela jika ianya terus dilangsungkan.

Tolonglah! Jagalah maruah UPSI!

Sudah cukup saya dengar mengenai khabar yang tidak enak didengar dari masyarakat sekitar UPSI. Tidak serik lagikah dengan teguran persembahan Malam Bintang yang dianjurkan pada Minggu Suai Kenal pelajar baru? Tidak serik lagikah dengan gema khutbah Tanjong Malim yang menyentuh soal Gegar U? Muhasabah dan perbetulkanlah. Janganlah kesilapan lama diulang lagi.

Masih ada masa. Hendak seribu daya. Taknak seribu dalih. Saya memohon agar seboleh-bolehnya konsert sebegini dibatalkan. Bukan hendak menghalang adanya konsert. Tapi biarlah yang bersesuaian. Andai kata ianya kumpulan Kopratasa, nasyid, Alqil Hayy, Mawi, M.Nasir, Ed Lazim atau penyanyi-penyanyi lagu puisi yang lain, boleh sahaja dipertimbangkan. Asalkan tidak melampau.

Persoalannya, bolehkah artis-artis jemputan Konsert Fiesta tersebut memenuhi kriteria tidak melampau? Tepuk dada tanyalah iman. Sia-sia Ops Cinta, Ops Couple, Ops Dating, Cikgu Bitara dan sebagainya. Punah semuanya. Nakkan penawar, racun pula yang diberikannya.

Harapan saya agar perkara ini diambil tindakan segera. Dari pihak mahasiswa UPSI hinggalah ke pihak pentadbiran Universiti. Semoga teguran dan bantahan saya ini mendapat perhatian yang serius.

CIKGU BITARA, PENDIDIK BANGSA

Rijaluddin Ahmad
Mantan Exco Kesenian, Kebudayaan dan Keraian
Kolej Harun Aminurrashid
Sesi 2007/2008


Sama-sama kita fikirkan. Jangan cemari Institusi Perguruan kami

guru prihatin,
Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad
10.10 am
2-1-7 KHAR, UPSI

Template by - Abdul Munir - 2008